Showing posts with label pandangan saya. Show all posts
Showing posts with label pandangan saya. Show all posts

Monday, December 21, 2009

ENJIN BESAR PUN BOLEH HILANG BERTAHUN-TAHUN?


Insiden kehilangan enjin jet berharga RM50 juta di Gudang Material Udara I (Matra I), Sungai Besi semakin membingungkan saya. Mana tidaknya, fakta-fakta kes boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Fakta-fakta :

1. Enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disedari hilang pada 2007

2. Disedari telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari sebuah negara yang berpangkalan di Amerika Selatan.

3. Syarikat antarabangsa itu berminat membeli enjin itu kerana harganya yang murah, kerana merupakan alat ganti yang dikategorikan sebagai rosak yang akan diperbaiki

4. TUDM mula menggunakan pesawat tempur enjin berkembar buatan Amerika Syarikat (AS) itu pada 1974 tetapi hanya enam unit masih digunakan, masing-masing model RF-5E Tigereye dan F-5E Tiger II yang berpangkalan di Butterworth.


5. Selain Malaysia, model itu masih digunakan oleh Singapura, Indonesia dan beberapa negara di timur tengah serta Eropah


6. Difahamkan, khidmat pesawat itu pernah digantung beberapa tahun lalu berikutan cadangan menggantikannya dengan pesawat baru.


7. Enjin tersebut lengkap dengan 'after burner' (sistem turbo).


8. Enjin yang masih berkeadaan baik itu dibawa dari Skuadron 12 Scorpion Butterworth ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur dan sepatutnya diserahkan kepada satu daripada tiga kontraktor swasta yang dilantik kerajaan untuk penyelenggaraan.

9. Ia dipercayai dilakukan secara terancang dengan pembabitan orang dalam TUDM sendiri.


10. Taktik pengkhianat memang licik dan berpengetahuan luas dalam hal berkaitan enjin pesawat tempur. Mereka tahu enjin itu tiada apa-apa nilai tanpa rekod perkhidmatan dan penyelenggaraan.

11. Akhbar hari ini melaporkan, Seorang Brigedier Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarah bersara kerana terbabit dalam kes kehilangan enjin pesawat F-5E TUDM serta pelbagai penyelewengan lain dalam pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.



Saya tertanya-tanya :


Bagaimana enjin seberat dan sebesar itu boleh dibawa keluar dari Malaysia tanpa dikesan?


Enjin besar ini dihantar dengan apa sehingga Kastam dan lain-lain tidak dapat mengesan?


Pembeli sudah pasti bukan seorang petani....


Sejak bilakah pembeli dan penjual berbincang untuk urusan jual beli? Takkan masa LIMA ?


Kenapa hari ini baru kes ini dibongkarkan?


Kalau kes dibongkar awal, rasanya penjual tidak sempat bawa keluar enjin sepantas kilat...


Siapa Menteri Pertahanan ketika itu?

Dan.....





Friday, October 30, 2009

IMAGINASI SAYA SEKARANG...




"Kita kena ingat, kita study bukan semata-mata kerana exam, tapi kerana ilmu yg kita nak pelajari demi redha Allah s.w.t."

Haris memulakan pengisian usrah selepas solat Jumaat tadi sambil berkongsi pengalaman kehilangan 2 telefon bimbit kesayangannya kepada sahabat-sahabat tadi. Sengaja saya rapati dan bersama dalam kumpulan usrah sahabat-sahabat saya dari Fakulti Kejuruteraan selepas solat sunat tadi. Alhamdulillah, kagum saya melihat mereka yang masih komited dalam usrah walaupun masih sibuk di musim peperiksaan ini.

Saya suka bersahabat dengan mereka kerana pada pandangan saya, cabaran bidang mereka menyebabkan mereka semakin kuat. Sebab itu saya menyatakan pandangan saya dalam usrah tadi bahawa, beza mereka yang belajar dalam bidang yang kritikal dengan bidang-bidang lain yang mungkin lebih mudah ialah pemikiran mereka juga semakin cepat matang dan kritikal. Saya kira, mereka adalah aset penting untuk Islam.

Lalu saya bawakan contoh perbandingan yang saya perolehi daripada Ustaz Ali Turk (tokoh yang saya ceritakan dalam post "Belajar Dari Turki"). Beliau menceritakan perbandingan yang dibuat oleh Badiuzzaman Said Nursi : Ketika pipit terbang di langit, helang adalah pemangsa. Pipit semakin kuat, kreatif dan bijak kerana adanya helang yang sentiasa mahu menyerang. Cabaran mematangkan kita. Maka, saya simpulkan di sini, begitulah ibarat mereka yang menghadapi cabaran, sama ada dalam pelajaran dan kehidupan, mereka mampu menjadi "pipit" yang hebat.

Sains dan Islam?



"Kamu tahu, antara pakar yang menemui Alkohol ialah Jabir Ibnu Hayyan, pakar kimia Islam? Mungkin namanya disembunyikan, tapi itulah realiti".

Prof. Dr. Yussof Othman menjelaskan kepada saya, Faiz dan Nazri beberapa bulan lepas sambil menceritakan kisah hidupnya bersama rakan-rakannya dari Barat berkaitan alkohol dalam makanan. Pertemuan yang kami adakan ketika itu membangkitkan semangat saya dan rakan-rakan untuk mengkaji Tamadun Keilmuan Islam yang telah memeberikan momentum hebat kepada dunia satu ketika dahulu. Tamadun yang terbina di Sepanyol inilah juga yang telah membawa revolusi sehingga barat pada hari ini mencapai kemajuan hasil sikap mereka yang "gilakan" ilmu walau terpaksa belajar dari ilmuwan Islam.

Benar, sistem dualisme pada hari ini dalam sistem pendidikan telah menyebabkan kita semakin jauh dengan tamadun keilmuwan yang telah dibina satu ketika dahulu. Mereka di bidang agama sesetengahnya menganggap bidang sains itu sebagai alat menjauhkan manusia dari Pencipta. serta mendewa-dewakan materialisme Ada pula yang memandang agama sebagai penghalang pembangunan. Saya kira, persepsi sedemikian menyebabkan kita semakin jauh sama ada dari sudut ketaqwaan, kemajuan dan nilai-nilai keinsanan.


"Masyarakat zaman Sultan Muhammad al-Fateh sangat titik beratkan ilmu fizik seolah-olah ianya sebagai salah satu pelengkap hidup mereka", jelas Ustaz Hasrizal Jamil dalam satu pengisian berkaitan al-Fateh yang saya ikuti dahulu.

Benar, ilmu fizik menyebabkan mereka mengkaji berapa ketebalan tembok Constantinople? Ukuran yang tepatlah juga yang membolehkan seorang banduan diselamatkan dari Maharaja Constantinople yang zalim itu. Akhirnya, dialah menjadi pencipta meriam yang dimanfaatkan al-Fateh.Mereka mendapat jawapan berapa saiz peluru meriam yang relevan untuk merobek kubu yang dibanggakan itu? Inilah hasil taqwa yang disenergikan dengan pengetahuan ilmu sains suatu ketika dahulu.

Mungkin bolej kita ambil kata-kata daripada Albert Einstein :

“Science without religion is lame; religion without science is blind.”

Imaginasi saya

"Kamu, tahu, permintaan terhadap sekolah swasta hari ini tinggi. Kalau kamu buka sekolah swasta, saya akan kempen kawan-kawan saya, hantar di sekolah kamu".

Begitulah provokasi Ustaz Rushdan kepada saya, Faisal, Imanuddin dan Syauqi (sekarang di UK) ketika kami menziarahinya pada hari raya 'Idulfitri yang lepas. Kami sudah memahami Ustaz Rushdan, "guru provokasi" kami sejak di SMKAK. Tapi, memang benar, saya bersama sahabat saya Mubarak pernah terlibat dengan latihan industri di salah sebuah sekolah swasta. Memang ibu bapa mempunyai harapan tinggi kepada sekolah swasta walaupun mereka tidak banyak wang.

"Sebenarnya, Ustaz Khairuddin Aman Razali al-Takiri menubuhkan sekolah ini atas dasar kebajikan. Kekadang, ada yang Ustaz potong yuran bagi keluarga yang tidak berkemampuan. Kami yang berkhidmat di sini juga mesti bekerja atas dasar kebajikan, bukan mencari kekayaan".

Jelas Ustaz Ismail, pengetua di situ apabila saya timbulkan persoalan berkaitan beberapa ibu bapa yang tidaklah begitu kaya, namun masih mahu menghantar anak mereka ke situ. Saya agak terkesima apabila menyemak beberapa borang yang diisi oleh ibu bapa murid-murid di situ. "Saya berharap agar anak saya menjadi anak yang soleh". Itulah yang dicatatkan oleh salah seorang ibu bapa pada ruangan "harapan" dalam borang tersebut. Gajinya tidak seberapa, harapannya besar, maka dia sanggup berkorban demi anak tercinta.

Pada saya, ramai ibu bapa yang risaukan sistem dualisme yang diadaptasi di sekolah pada hari ini menyebabkan mereka sanggup menghantar anak ke sekolah swasta. Kesedaran ini semakin timbul, selari dengan perubahan kefahaman masyarakat. Maka saya berfikir, tidak salah saya sambut ideal guru pidato yang saya kasihi itu. Saya mula berimaginasi, " Saya teringin menubuhkan Institut/sekolah Tahfiz Sains Profesional".

"Hang berlagak, dapat tawaran Engineering UIAM dulu, tak mau pergi," itulah salah satu kata-kata provokasi yang selalu dimainkan sahabat baik saya, Faisal sambil mentertawakan saya. "Pak Can, toksah dok ungkit kisah lama", itu saja yang saya mampu balas. Teringat satu ketika dahulu, tindakan yang mungkin "gila" pada pandangan sesetengah orang lain, apabila saya tetap teruskan pengajian saya di Darul Quran JAKIM. Secara jujurnya, pada ketika itu, saya hampir sudah berputus asa untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang sains kerana semangat dan cita-cita saya kecil. walaupun sebelum itu, saya memang sudah jatuh cinta pada fizik. Namun, saya berpandangan, masih belum terlambat untuk saya mempromosikan sinergi "al-Quran dan sains". Saya masih bercita-cita untuk melihat "Institusi/sekolah Sains Profesional".

Saya berpandangan ianya mampu menjadi model sekiranya dapat direalisasikan. Bahkan sekiranya berjaya, ideal ini tidak menjadi masalah untuk dikongsi bersama mana-mana kerajaan negeri atau kerajaan pusat sendiri untuk mengatasi virus dualisme dalam sistem pendidikan hari ini. Yang penting, biar ada model untuk dilihat keberjayaannya.

Sinergi

Saya bukan arif dalam bidang sains. Saya perlukan sahabat dari bidang sains untuk membantu sebagai tenaga pemikir. Saya bukan pakar dalam bidang hafazan. Justeru, saya akan manfaatkan sahabat-sahabat yang telah saya anggap sebagai "adik-beradik" di bidang Qiraat dan Hafazan" yang masih di Mesir sebagai tonggak utama. Saya nantikan kepulangan anda sebagai tempat rujuk saya dan pembimbing saya. Saya juga terbayangkan wajah sahabat-sahabat di UPSI baru-baru ini bersama Naqiuddin dan sahabat-sahabat Sekretariat Bertindak Pendidikan Islam Nasional (SPIN) yang saya kira antara tempat rujuk saya dalam mengendalikan sistem. Ayuh, kita sinergikan al-Quran dan Sains".

Saya pasti tidak mampu, namun saya masih percaya pada kuasa sinergi. Saya masih ingat perumpamaan Badiuzzaman Said Nursi yang dibawakan oleh Ustaz Ali Kurt pada malam pertemuan kami itu berkaitan "teori 3 alif". 3 alif(no. 1 dalam no. arab) bila berpisah, nilaiannya ialah 1 + 1 + = 3. Tetapi bila bersatu, diletak sebaris, nilaiannya seratus sebelas (111). Inilah kuasa sinergi yang saya rasakan boleh disatukan bagi memberi impaks maksima. Kebolehan, kekuatan dan bidang kita mungkin berbeza namun bila disatukan kesannya hebat. Beruntung saya, walau saya lemah, saya masih ada sahabat-sahabat kuat dari pelbagai bidang di sekeliling.


Konklusi

Cita-cita saya, tidak mahu biarkan manusia menganggap sains sebagai Tuhan, namun sains adalah medium untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Mungkin pembaca menganggap, saya hanya seperti Mat Jenin, namun pandangan saya, tidak salah saya berimaginasi kerana rindukan "Andalus" yang telah hilang. Bahkan Albert Einstein pernah menyatakan :
"Imagination is more important than knowledge."

Apakah imaginasi saya hanya tinggal imaginasi? Wallahua'lam. Cuma persoalan yang timbul di benak pemikiran saya, siapa yang sanggup bersama untuk membantu merealisasikan imaginasi saya?

Sama-sama doakan agar saya tidak menjadi Mat Jenin kedua semata-mata.

Thursday, October 1, 2009

KENAPA TERLALU MEMUSUHI USRAH?

Apabila meletupnya isu denda yang dikenakan terhadap beberapa siswi di sebuah kolej di UKM pada 14 Ogos lalu, ramai yang melenting. Lebih sebulan berlalu, namun bila ianya ditimbul, semakin panas diperbincangkan. Bayangkan usrah yang hanya diadakan sementara menanti waktu Zohor diserbu seolah-olah menyerbu mereka yang sedang membuat bom. Sedangkan makulumat yang saya terima mereka berdiskusi berkaitan Ramadhan. Apa salahnya?

Serbuan felo pada hari itu telah dipanjangkan kepada pengetua kolej tersebut yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Islam. Maka siswi yang juga dikalangan penuntut di Fakulti Pengajian Islam pun telah didenda oleh pengetua yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam. Denda yang asalnya berjumlah RM50 setiap seorang untuk setiap kali aktiviti usrah diberi diskaun. RM50 x 4 kali usrah x 8 orang = RM1600. Mungkin kerana sempena Ramadhan yang akan tiba ketika itu, diskaun diberikan. RM50 seorang x 8 orang = RM400. Namun, denda tetap dikenakan.

"Usrah ni ape? Saya x tahu..."

Ada yang menimbulkan persoalan begini apabila timbulnya isu ini. Saya tidak salahkannya kerana tidak tahu. Mungkin ini kesan apabila usrah selalu disembnyikan. Dengan kata mudahnya, kalau kita tidak menghalang study group atau diskusi ilmiah, begitulah lebih kurangnya usrah. Mengapa hendak dihalang? Kalau ada yang membicarakan persoalan 1 Malaysia yang digagaskan oleh Dato' Seri Najib atau gagasan yasng dibawa oleh PMUKM sebagai "1 UKM, 1 keluarga" saya kira usrah lebih dari itu. Dari sudut bahasanya, usrah dalam Bahasa Arab bermaksud "keluarga". Bukankah baik aktiviti yang boleh merapatkan perpaduan yang diimpi-impikan. Saya kira, orang yang menggagaskan "1 UKM, 1 keluarga" sepatutnya menjadi orang prtama yang kehadapan membela sahabat-sahabat saya ini.

Kalaulah yang nak dibicarakan berkaitan akta yang menghalang himpunan melebihi 5 orang kecuali mendapat keizinan Naib Canselor, maka saya kira mungkin perlu diberikan kepada setiap pelajar buku rekod seperti rekod keluar masuk asrama di sekolah satu ketika dahulu. Maka setiap kali mahu melaksanakan study group termasuklah makan di kafetaria, beraturlah mahasiswa beramai-ramai di depan bilik Naib Canselor atau wakilnya untuk meminta tandatangan keizinan "menyertai himpunan melebihi 5 orang".

Kalaulah begini, saya rasa, kayalah pengurusan kolej. Mendenda mereka yang sedang makan di kafetaria beramai-ramai. Begitu juga mereka yang bermain futsal dan lain-lain lagi. Entah-entah, hendak solat jemaah pun kena minta kelulusan kertas kerja terlebih dahulu atau mesti dikerjakan bergilir-gilir. 4 orang, 4 orang, 4 orang...... Aduh..... RM50 x seorang x setiap perjumpaan.........

Saya sangat optimis, sahabat-sahabat saya tadi bukanlah merekrut pengganas dalam usrah yang dijalankan. Pandangan stereotaip oleh beberapa individu perlu dibuang. Saya rasa, sekiranya masih berpandangan demikian, mungkin mereka yang sedemikian perlu juga menyertai usrah yang dijalankan. Saya juga mengalu-alukan mereka untuk menyertai usrah bersama saya. Kita lihat, dan kita diskusikan apa yang tidak kenanya.

Sebab itu saya memandang, mari kita zahirkan usrah beramai-ramai. Kita lihat, siapa lagi yang hendak menghalang. Justeru, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian, kita zahirkan usrah di mana-mana, biar ia menjadi syiar. Siapa yang tidak berpuas hati dan masih berpandangan negatif terhadap usrah, kita ajak mereka duduk bersama. Kita berbicara secara intelektual.

Saya seru sekali lagi kepada barisan nuqaba', kita bumikan usrah secara besar-besaran. Biar orang tahu apakah itu usrah......





Thursday, June 11, 2009

SAYA SETUJU NAJIB LANCARKAN GAGASAN 1MALAYSIA BESAR-BESARAN


Seronok saya mendengar berita Dato' Seri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia ingin melancarkan gagasan yang beliau bawakan di awal pemerintahannya iaitu "1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" secara besar-besaran. Saya pernah memberi pandangan ini dalam satu wacana yang saya ikuti di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi berkaitan konsep 1Malaysia ini. Dalam wacana tersebut saya menyatakan betapa saya berharap agar Dato' Seri Najib dapat menyebar luaskan gagasan ini ke seluruh Malaysia.

Apabila Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa gagasan 1Malaysia akan dilancarkan secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 27 Jun ini, saya merasakan sayalah antara orang yang gembira. Seolah-olah harapan saya selama ini menjadi realiti. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Dato' Seri Najib dan kerajaan Barisan Nasional. Inilah yang saya nantikan.

Mungkin ada yang berbeza pandangan dengan saya, namun saya akan menerima dengan terbuka. Saya akan menjelaskan pandangan saya. Kajian yang dibuat, arus politik baru yang berlaku dan melaju pada hari ini bukan sahaja dari kekuatan Pakatan Rakyat. Namun, kuasa media alternatif merupakan salah satu faktor perubahan ini. Media baru telah menyebabkan rakyat membuka mata. Banyak perkara yang tidak didapati dalam media arus perdana namun media alternatif membongkarnya. Maka rakyat tidak mudah ditipu. Dulu rakyat ditipu secara senyap, tidak diketahui pucuk pangkalnya. Namun hari ini, rakyat tidak mudah ditipu kerana rakyat adalah hakim negara. Apabila, rakyat mendapat banyak maklumat, mereka tidak mudah ditipu. Mudahlah mereka memberi hukuman. Akibatnya, PRU 12 adalah hasilnya.

Walaubagaimanapun, tren ini masih belum menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Masih ada yang belum mendapat maklumat secukupnya. Atas hakikat inilah terdapat rakyat di kawasan pedalaman yang masih belum berubah. Jadi, sekiranya Dato' Seri Najib dan pimpinannya ingin melancarkan gagasan beliau secara besar-besaran, saya sangat bersetuju. Harapan saya, biar sampai ke seluruh kawasan sama ada bandar atau luar bandar.

Mengapa saya berkata begitu? Sebelum ini rakyat tidak berubah kerana mereka ditipu secara senyap. Jika mereka ditipu secara terang-terangan, mudahlah mereka menghukum. Contoh mudah, dalam kisah Madu Tiga, isteri pertama dan kedua tidak sedar bahawa P Ramlee telah berkahwin lagi kerana beliau 'pandai bersilat' dan menipu secara senyap. Bayangkan sekiranya P Ramlee memberitahu bahawa dia tidak bermain kayu tiga atau berpoligami, dalam pada masa yang sama tangannya memimpin seorang perempuan. Sudah pasti isteri tuanya tidak mempercayainya kerana jelas bahawa P Ramlee menipu secara terang-terangan. (sekadar contoh, bukan bermakna saya menolak poligami yang ada dalam Islam)

Jadi, pandangan saya biarkan rakyat ditipu secara terang-terangan. Biar mereka bertindak sebagai hakim negara dengan bukti-bukti kukuh. Benarkah Dato' Seri Najib boleh membawa 1Malaysia sedangkan UMNO masih bertapak. Dato' Seri Najib ingin membawa 1Malaysia sedangkan UMNO masih berminat bermain dengan perjuangan dan membakar isu perkauman. Pada pandangan saya, Dato' Seri Najib mungkin boleh membawa gagasannya dengan syarat UMNO mesti dikuburkan.

Biar rakyat tahu benarkah rakyat didahulukan dalam pemerintahan Dato' Seri Najib? Ujikaji pertama di awal pemerintahannya sudah membuktikan sebaliknya apabila kemahuan rakyat di Perak yang inginkan kerajaan negeri yang kukuh dengan mengadakan pilihanraya Dewan Undangan Negeri Perak semula tidak diutamakan. Tidak mengapa, kita tengok apa pula lepas ini. Biar rakyat menjadi hakimnya.

Biar rakyat lihat, benarkah prestasi diutamakan dalam kepimpinan Dato' Seri Najib? Sedangkan ujikaji di awal pemerintahannya juga menunjukkan barisan menterinya di kalangan mereka yang boleh diragui integritinya. Prestasi kehakiman dan keselamatan di Malaysia juga dapat dinilai benarkah slogan ini? Tidak mengapa, kita tengok apa pula lepas ini. Biarkan juga rakyat menjadi hakimnya.


Saya amat yakin, perlancaran secara besar-besaran gagasan ini akan mempercepatkan lagi proses transformasi Malaysia. Biar rakyat ditipu secara terang-terangan kerana mereka adalah hakim negara. Kumpulkan segala bukti-bukti. Berikan hukuman selayaknya. Saya sangat optimis akan kesannya kerana kebanyakan ahli akademik yang saya temui juga menyatakan pandangan mereka bahawa slogan dan gagasan ini masih kosong. Tidak mengapa, kita tengok apa pula lepas ini. Biarkan rakyat menjadi hakimnya. Kita tidak lupa kepada isu PPSMI, ISA dan lain-lain lagi. Ahli akademik juga rakyat. Ahli politik juga rakyat. Saya dan pembaca juga rakyat. Maka kumpulkan bukti-bukti dan nantikan apa hukuman kita nanti.

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP