Tuesday, November 17, 2009

Banjir: GAMIS Seru Mahasiswa Turun Kepada Masyarakat



Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk turun kepada masyarakat bagi membantu mangsa banjir. Pada masa sekarang ini di negeri di Utara dan pantai timur sedang berhadapan dengan banjir yang melanda ekoran daripada hujan yang lebat di kawasan yang terbabit.

Pada masa sekarang merupakan cuti semester bagi mahasiwa, ekoran daripada itu GAMIS menggesa mahasiswa untuk turun membantu masyarakat yang berhadapan dengan banjir bagi memanfaatkan cuti mereka, tidak kira atas kapasiti apa sekalipun, samaada persatuan mahasiswa anak negeri, kelab mahupun atas nama individu.

Pihak GAMIS juga amat mengharapkan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa banjir dengan kadar segera dari semua pihak terutama bagi pihak yang bertanggungjawab, samaada dari segi kewangan, barang keperluan dan sebagainya. Juga mengharapkan kerja-kerja amal dapat dibantu terus kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mangsa.

Presiden GAMIS, Sdr Idris Yussoff memaklumkan diperingkat GAMIS telah mengadakan perbincangan dan menghubungi GAMIS-GAMIS negeri yang terbabit dengan banjir bagi mewujudkan jawatankuasa bertindak bagi menggerakkan seluruh tenaga mahasiswa untuk turun kepada masyarakat.

diperingkat GAMIS sedia menggerakkan GAMIS-GAMIS peringkat negeri yang terlibat dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi membantu mangsa-mangsa banjir dan kami akan cuba sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan semampu yang boleh kepada masyarakat bagi meringankan beban.” Ujar Idris.

Tambah beliau lagi pada waktu inilah masa yang sesuai untuk mahasiswa turun membantu dan berdamping dengan masyarakat , disamping mengisi masa cuti semester dengan melakukan kebajikan kepada masyarakat setempat.

Antara negeri yang terbabit dengan banjir antaranya ialah Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan juga Terangganu. Terbaru negeri kedah dan Perak, kawasan yang terbabit melibatkan ribuan mangsa yang terpaksa dipindahkan.

kenyataan media Presiden Gabungan Islam Semalaysia (GAMIS)

Friday, November 13, 2009

ISU TAULIAH : JAIS PERLU BERTINDAK LEBIH MATANG



Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) menggesa agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) lebih matang dalam tindakan agar ianya selari dengan misi jabatan itu "Menguruskan hal ehwal Islam secara Hikmah, Amanah dan Berkesan".

Menurut Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, pendirian ini dibuat agar JAIS bertindak lebih matang dalam tindakan. GAMIS memandang, JAIS perlu lebih bijak dalam menguruskan isu tauliah yang dibangkitkan ramai pihak baru-baru ini demi maslahah dakwah dan perkembangan Islam di Malaysia amnya.

Isu tauliah ini hangat dibincangkan selepas negara telah dikejutkan dengan penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh JAIS semasa menyampaikan kuliah agama di sebuah kediaman peribadi di Taman Sri Ukay Hulu Klang. Beliau ditahan atas alasan mengajar agama tanpa tauliah di hadapan kira-kira 100 hadirin.

Lebih mengecewakan, Berita Harian hari ini melaporkan, Pegawai Penguat kuasa JAIS, Ahmad Tarnuzi Nokin, berkata pentauliahan itu perlu walaupun hanya untuk mengajar seseorang bakal saudara baru mengucapkan dua kalimah syahadah, selain mengaji mukaddam. Tarnuzi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili penceramah agama bebas, Dr Abdullah Yasin, dalam perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad.

"Kenyataan dalam akhbar hari ini seolah-olah menunjukkan JAIS menolak pengembangan dakwah di Selangor sedangkan kita sepatutnya menyahut seruan Rasulullah s.a.w. yang menyeru umatnya "menyampaikan walaupun hanya satu ayat". Berapa ramai pendakwah yang mempunyai tauliah JAIS hari ini? Saya berpandangan, kalaulah begini, gerakan dan usaha dakwah serta islah di Selangor akan semakin lembab", ujar Mohd Idris.

Beliau tidak menolak pandangan bahawa tauliah ini perlu demi kemaslahatan tertentu. Namun, persoalannya berapa banyak maslahah yang akan terhalang hanya beralasankan beberapa mafsadah yang berlaku? Kenyataan ini juga seolah-olah satu penghinaan kepada para pendakwah yang pernah mengajar syahadah dan mengajar al-Quran termasuk di kampung-kampung tetapi tidak memiliki tauliah JAIS.

Isu tauliah JAIS ini mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk NGO, parti-parti politik dan tokoh tanah air yang memandang seolah-seolah tindakan JAIS akan menyebabkan ruang lingkup dakwah semakin sempit. GAMIS menyeru agar isu ini bukan sahaja dipandang dari sudut pembelaan terhadap individu-individu tertentu semata-mata, namun ianya haruslah melihat kepada kesannya kepada masyarakat pada masa akan datang.

* Kenyataan Media, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia

Monday, November 9, 2009

KISAH TALUT DAN JALUT DALAM AL-QURAN


Sesungguhnya, setiap kisah dari al-Quran masih tetap relevan pengajarannya. Tidak hanya sekadar menjadi sejarah dan "cerita sebelum tidur" semata-mata. Salah satu kisah menarik dalam surah al-Baqarah ialah kisah Talut dan Jalut. Mari kita hayati dan mengkaji pengajarannya untuk generasi kita hari ini....


[246]Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

[247] Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

[248] Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".

[249] Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

[250] Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir"

[251] Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

[252] Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

SAYA MEMBUAT PROVOKASI KERANA...


"Anta ni Pijan, kenapa lemah sangat? Ana rasa soalan yang ditanya malam tu tidak terlalu sukar untuk anta bahaskan.Bila ana tambah sikit je, anta terus lemah semangat, terus berhenti berhujah dan terus duduk. Kecewa ana," saya meluahkan perasaan saya kepada adik usrah saya itu dalam perjalanan pulang kami dari kuliah subuh di Labu, Negeri Sembilan.

"Abang tu, provok lebih sangat. Tension ana," jawapan ringkas Hafizan sambil terkebil-kebil matanya menahan mengantuk sambil memandu. Mana tidaknya, naqibnya ini "menzalimi" dirinya semalam. Memandu lebih 100 km dari Bangi ke Darul Quran untuk berforum. Pukul 12 tengah malam teruskan perjalanan pula kira-kira 140 km untuk ke Labu Negeri Sembilan. Saya membiarkan Hafizan memandu sedangkan saya hanya tidur. Kami hanya tidur di jalanan. Saya tambah bersimpati apabila Hafizan meneruskan ceritanya, beberapa kali hampir kemalangan kerana terlelap malam itu. Saya tidak tahu apa-apa kerana sekadar tenang tidur di kerusi hadapan. Luahan Hafizan tadi menyebabkan saya berfikir panjang. "Teruk sangatkah aku membuat provokasi kepada dia dan sahabat-sahabat lain?". Lalu, saya terkenang nostalgia-nostalgia silam....

Nostalgia

Ramai yang telah menjadi mangsa "kezaliman" tindakan provokatif saya termasuklah pimpinan yang bersama saya, sahabat-sahabat seusrah, peserta program dan lain. Pernah saya melayan adik-adik usrah saya dengan lemah lembut. Tetapi banyak juga yang saya berkasar. Sama ada tindakan, lisan atau soalan. Saya berpandangan, marhalah tarbiyyah itu wajib berubah dan bukan statik. Maka metodologi setiap marhalah juga perlu berubah.

Saya masih ingat nostalgia saya menengking adik-adik usrah saya sehingga menangis. Saya bangkitkan beberapa tindakannya yang saya rasa tidak sesuai. Ada yang saya sengaja tokok tambah untuk "memanaskan" keadaan. Saya kira inilah yang menyebabkan saya sangat dibenci ketika itu. Kebencian ketika itu mungkin menyebabkan seorang adik usrah saya sudah tidak boleh memandang wajah saya. Meraung, menangis sehingga tidak mampu bangun lagi. "Ana down sangat. Ana dah tak yakin pada diri ana. Ana tahu, ana hina! Tak layak berusrah dengan abang!", luah adik saya itu sambil menangis teresak-esak. Saya sengaja menunjukkan reaksi yang tidak bersimpati kepadaanya. "Biarkan sebentar dia melayan air matanya, saya nak tengok dia dengan hidup baru esok", bisik hati saya sambil dalam keadaan optimis. Maafkan saya, saya rela dibenci.

Ada adik seperjuangan saya yang kini sudah menjadi mahasiswa di UIAM Kuantan. Saya suka sengaja berbeza pandangan dengannya. Cetuskan soalan kontrovesi dengannya. Saya suka sikapnya yang "gilakan" membaca dan belajar. Dia juga antara mangsa soalan provokatif saya. Tidak kira sama ada bila bertemu, YM dan sebagainya. Apabila dia keluarkan pandangan dari soalan saya, saya akan keluarkan pandangan kontra dengannya walaupun sebenarnya pendirian saya adalah sama sebenarnya. Saya sebenarnya kagum dengan pengetahuannya. Namun, saya rasa rugi kalau orang sebegini tidak diasah agar menjadi manusia hebat satu hari nanti.

"Ana rasa soalan macam ni ana tak jawab pun tak apa. Sebagai pimpinan, anta/ti pun boleh buat keputusan sendiri. Takkan semua benda nak kena tanya ana?" pernah saya timbulkan soalan kembali kepada beberapa pimpinan persatuan saya apabila dibangkitkan soalan yang remeh temeh pada pandangan saya. Ayat saya mungkin pedas, saya harap sahabat-sahabat dapat maafkan keterlanjuran saya. Namun, pandangan saya, sebagai pimpinan, ada beberapa perkara yang perlu kepada "ijtihad-ijtihad" kecil yang boleh dibuat walaupun bukan seorang presiden atau yang dipertua. Saya hanya tidak mahu melihat pimpinan saya malas berfikir.

"Ana tak pernah menikmati kemanisan usrah", luah Nazri kepada saya dan sahabat-sahabat sambil menceritakan kisah hidupnya sejak di sekolah dan Darul Quran. "Anta mungkin bernasib malang "terpaksa" bersama usrah ana ketika ini. Ana tidak akan melayan anta macam marhalah "ta'rif". Tidak akan "dibelai" tapi mungkin "dipukul". Maafkan ana," itu sahaja yang mampu saya jawab. Saya selalu mengingatkan beberapa ahli usrah saya perkara tersebut. Bagi saya, beberapa ahli usrah saya agak sudah lewat untuk "dibelai". Bagi saya, pada marhalah awal mungkin setiap soalan yang ditanya perlu dijawab dengan jawapan berbentuk ayat penyata. Namun, pada marhalah berikutnya, mungkin soalan akan dijawab dalam bentuk soalan. Saya mohon maaf, jika tindakan sedemikian menyebabkan ada yang tidak senang berusrah dengan saya.

Ramai menjadi mangsa "kezaliman" saya. Ada kalanya saya akan menyampuk pembentangan dan perbincangan dengan soalan-soalan provokasi apabila saya kurang berpuas hati dengan hujah dan pandangan. Ada yang semakin rancak setelah disoal dan ada yang hilang ideal apabila disanggah. Bagi saya, tidak mengapa. Ini proses latihan. Latihan agar lebih bersedia pada masa akan datang dan latihan keyakinan.

Saya bukan ingin membalas dendam. Tetapi saya rasakan elemen provokasi releven untuk kaderisasi yang lebih berkualiti. Saya berterima kasih kepada para guru yang berjiwa murabbi serta senior-senior yang banyak melemparkan elemen provokatif kepada saya satu ketika dahulu. Jasa mereka sedikit sebanyak membantu saya meneruskan perjuangan yang masih jauh ini.

Edward De Bono dan pemikiran lateral

Saya sempat menelaah pandangan Edward De Bono dalam melatih pemikiran lateral.Saya melihat, kaderisasi masa hadapan penting untuk memiliki pemikiran lateral ini. Minda akan semakin kuat, ligat, lasak dan kreatif. Pemikiran Lateral inilah yang akan mencambahkan idea-idea baru dalam gerakan dan menyuburkan metodologi yang pelbagai dalam mencapai matlamat. Saya lihat, minda perlu diasak agar tidak malas dan banyak beralasan. Dua penyakit ini iaitu "malas dan banyak alasan" semakin membarah di kalangan anak muda.

Salah satu teknik pemikiran lateral ialah "provokasi". Edward De Bono telah mencipta satu perkataan yang baru yang disebut PO.Perkataan ini bermakna “apa yang mengikuti selepas ini adalah provokasi semata-mata”.Ayat provokasi mengandungi idea-idea provokatif. Fungsi idea-idea itu ialah sebagai batu loncatan yang digunakan oleh minda supaya kita dapat melompat keluar daripada pola-pola rutin. Setelah kita membina idea provokasi, kita akan menggunakan operasi “mengerakkan” untuk membawa idea tersebut ke hadapan.Edward De Bono mengemukakan lima sumber provokasi iaitu provokasi tidak sengaja, penyongsangan, lari,angan-angan kosong dan gila-gila.

Saya hanya mahu menjadi "helang palsu"

Sebelum ini saya pernah membawakan perbandingan yang dibuat oleh Badiuzzaman Said Nursi : Ketika pipit terbang di langit, helang adalah pemangsa. Pipit semakin kuat, kreatif dan bijak kerana adanya helang yang sentiasa mahu menyerang.

Bagi menjawab soalan persoalan yang menjadi topik artikel ini, ingin saya jelaskan, saya hanya mahu menjadi "helang palsu" semata-mata. Bukan helang yang ingin menjadikan pipit sebagai makanan, akan tetapi "helang" yang ingin melihat "pipit-pipit" yang lebih baik darinya. "pipit" yang kuat, kreatif, bijak dan sebagainya. Saya sedia infaqkan diri saya sebagai "helang palsu" yang rela dibenci, asalkan "pipit-pipit" semakin kuat.

Artikel ini sekadar penjelasan tindakan saya yang mungkin boleh mencetus ketidak senangan di hati beberapa sahabat-sahabat saya. Saya yakin, pasti ada salah silap dan keterlanjuran. Saya mohon maaf jika ada keterlanjuran dalam proses ingin menjadi "helang" ini.

Sunday, November 1, 2009

LAPORAN AUDIT NEGARA : ADA YANG GELABAH, ADA YANG MENANGIS...

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mendesak agar pembongkaran hasil Laporan Audit Negara diteruskan dan tidak "disejukkan". GAMIS memandang, isu ini adalah isu yang serius memandangkan ianya akan memberi kesan kepada pelbagai sektor pembangunan Malaysia hari ini dan akan datang serta ia melibatkan tanggungjawab menguruskan harta rakyat.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Isu Laporan Audit Negara 2008 ini menjadi panas seketika apabila Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan tersebut pada 19 Oktober lalu di parlimen. Namun, GAMIS memandang, isu ini seolah-olah semakin "sejuk" untuk diambil tahu. Mungkin isu-isu politik semasa lebih "panas" untuk dibincangkan sedangkan isu ini adalah isu besar di Malaysia.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kerajaan mungkin terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh. Dalam laporan lain, Ketua Audit Negara turut mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang 'tidak masuk akal'.

Selain itu, laporan tersebut menunjukkan bahawa beberapa pembayaran yang mencurigakan telah di buat oleh pihak MARA kepada pembekal mereka untuk barangan yang nilainya jauh melampaui harga pasaran. Adalah dangkal dan tidak masuk akal apabila mengetahui pihak MARA membelanjakan lebih RM80,000 bagi dua unit laptop (komputer riba) berjenama Acer Aspire 5052 sedangkan harga pasaran hanya RM4,500 sahaja untuk seunit laptop jenis dan spesifikasi tersebut di pasaran awam. MARA juga membeli komputer meja (desktop) pada harga hampir RM7,600 seunit, sedangkan di pasaran kita boleh mendapati komputer meja yang canggih lengkap dengan perkakasannya dengan harga kurang dari RM2,000.

Laporan Audit Negara 2008 juga turut mendedahakan, Kementerian Pelajaran membelanjakan hampir RM60,000 untuk kerja membekal, menanam dan penyelenggaran taman Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan dari pembekal tempatan secara pembelian terus, dan membayar harga pokok-pokok yang terlalu mahal. Menurut laporan tersebut, kementerian berkenaan telah membayar sehingga RM4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM9,000 bagi 12 pokok pinang merah, sedangkan pokok kemboja dan pinang merah bagi jumlah yang sama, masing-masing boleh dibeli dengan harga RM585 dan RM1,560.

GAMIS memandang, sekiranya isu ini tidak ditangani secara serius, ianya turut akan merosakkan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Pemantauan yang telus perlu dilaksanakan agar rakyat tidak tertipu dengan beberapa janji yang nampak seolah-olah menguntungkan rakyat namun hakikatnya ada individu-individu tertentu yang mengaut keuntungan di atas nama kebajikan kepada rakyat.

"GAMIS megalu-alukan pakej ‘netbook’ termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun kepada mahasiswa. Namun, pemantauan perlu dibuat terhadap siapa yang menerima tender sedemikian? Berapa kos sebenar mengikut harga pasaran? Ini bukanlah isu percaya atau tidak kepada pihak kerajaan, akan tetapi rakyat menanti-nantikan ketelusan pihak kerajaan agar rakyat tidak tertipu dengan kebajikan yang diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu. Jika tidak ada masalah, apa yang perlu ditakutkan?" ujar Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff.

"Saya berpandangan, rakyat masih belum lupa isu Laporan Akauntan Negara 2006 yang pernah mendedahkan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah membayar RM224.94 bagi satu set pemutar skru berbanding harga pasaran hanya RM40. Persoalan di sini, siapa yang didakwa setakat ini? Apa Tindakan yang diambil?" ujar Mohd Idris lagi mempersoalkan tindakan kerajaan setakat ini bagi membuktikan keseriusan kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

GAMIS mengalu-alukan penubuhan pasukan khas peringkat tinggi yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Namun, apa yang dinantikan bukan sekadar pasukan khas akan tetapi tindakan susulan agar penyelewengan harta rakyat tidak lagi berlaku. Sudah berapa banyak badan khas yang telah ditubuhkan namun tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab masih di tahap yang minimum.

"Saya anak seorang pesawah. Saya memahami penderitaan rakyat bawahan yang menghadapi kesulitan hidup. Mungkin ada pihak yang gelabah dengan pembongkaran demi pembongkaran peyelewengan hak rakyat. Namun, jangan kita lupa berjuta rakyat yang sedang menangis kerana harta mereka sedang dirompak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Justeru, semua pihak termasuklah pimpinan dan ahli parlimen yang telah dilantik oleh rakyat mesti mengesat air mata rakyat. Jangan hanya kerana isu EGM dalam PAS, ADUN lompat parti dari PKR dan agenda membumikan 1 Malaysia oleh Barisan Nasional, para "perompak" terus terlepas. Mahasiswa juga tidak hanya harus sekadar dibuai mimpi menanti hasil bajet 2010 terhadap mahasiswa, dalam masa yang sama masalah rakyat diketepikan ", tambah Mohd Idris lagi.

GAMIS berharap, semua pihak harus menjadi pendesak bagi "memanaskan" lagi isu ini agar rakyat terus dibela demi kemakmuran Malaysia yang seharusnya dinikmati oleh semua rakyat. SPRM perlu telus dalam siasatan disamping para pimpinan sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tidak boleh menghampakan harapan rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya yang lepas.

* Kenyataan media, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, GAMIS

Friday, October 30, 2009

IMAGINASI SAYA SEKARANG...




"Kita kena ingat, kita study bukan semata-mata kerana exam, tapi kerana ilmu yg kita nak pelajari demi redha Allah s.w.t."

Haris memulakan pengisian usrah selepas solat Jumaat tadi sambil berkongsi pengalaman kehilangan 2 telefon bimbit kesayangannya kepada sahabat-sahabat tadi. Sengaja saya rapati dan bersama dalam kumpulan usrah sahabat-sahabat saya dari Fakulti Kejuruteraan selepas solat sunat tadi. Alhamdulillah, kagum saya melihat mereka yang masih komited dalam usrah walaupun masih sibuk di musim peperiksaan ini.

Saya suka bersahabat dengan mereka kerana pada pandangan saya, cabaran bidang mereka menyebabkan mereka semakin kuat. Sebab itu saya menyatakan pandangan saya dalam usrah tadi bahawa, beza mereka yang belajar dalam bidang yang kritikal dengan bidang-bidang lain yang mungkin lebih mudah ialah pemikiran mereka juga semakin cepat matang dan kritikal. Saya kira, mereka adalah aset penting untuk Islam.

Lalu saya bawakan contoh perbandingan yang saya perolehi daripada Ustaz Ali Turk (tokoh yang saya ceritakan dalam post "Belajar Dari Turki"). Beliau menceritakan perbandingan yang dibuat oleh Badiuzzaman Said Nursi : Ketika pipit terbang di langit, helang adalah pemangsa. Pipit semakin kuat, kreatif dan bijak kerana adanya helang yang sentiasa mahu menyerang. Cabaran mematangkan kita. Maka, saya simpulkan di sini, begitulah ibarat mereka yang menghadapi cabaran, sama ada dalam pelajaran dan kehidupan, mereka mampu menjadi "pipit" yang hebat.

Sains dan Islam?



"Kamu tahu, antara pakar yang menemui Alkohol ialah Jabir Ibnu Hayyan, pakar kimia Islam? Mungkin namanya disembunyikan, tapi itulah realiti".

Prof. Dr. Yussof Othman menjelaskan kepada saya, Faiz dan Nazri beberapa bulan lepas sambil menceritakan kisah hidupnya bersama rakan-rakannya dari Barat berkaitan alkohol dalam makanan. Pertemuan yang kami adakan ketika itu membangkitkan semangat saya dan rakan-rakan untuk mengkaji Tamadun Keilmuan Islam yang telah memeberikan momentum hebat kepada dunia satu ketika dahulu. Tamadun yang terbina di Sepanyol inilah juga yang telah membawa revolusi sehingga barat pada hari ini mencapai kemajuan hasil sikap mereka yang "gilakan" ilmu walau terpaksa belajar dari ilmuwan Islam.

Benar, sistem dualisme pada hari ini dalam sistem pendidikan telah menyebabkan kita semakin jauh dengan tamadun keilmuwan yang telah dibina satu ketika dahulu. Mereka di bidang agama sesetengahnya menganggap bidang sains itu sebagai alat menjauhkan manusia dari Pencipta. serta mendewa-dewakan materialisme Ada pula yang memandang agama sebagai penghalang pembangunan. Saya kira, persepsi sedemikian menyebabkan kita semakin jauh sama ada dari sudut ketaqwaan, kemajuan dan nilai-nilai keinsanan.


"Masyarakat zaman Sultan Muhammad al-Fateh sangat titik beratkan ilmu fizik seolah-olah ianya sebagai salah satu pelengkap hidup mereka", jelas Ustaz Hasrizal Jamil dalam satu pengisian berkaitan al-Fateh yang saya ikuti dahulu.

Benar, ilmu fizik menyebabkan mereka mengkaji berapa ketebalan tembok Constantinople? Ukuran yang tepatlah juga yang membolehkan seorang banduan diselamatkan dari Maharaja Constantinople yang zalim itu. Akhirnya, dialah menjadi pencipta meriam yang dimanfaatkan al-Fateh.Mereka mendapat jawapan berapa saiz peluru meriam yang relevan untuk merobek kubu yang dibanggakan itu? Inilah hasil taqwa yang disenergikan dengan pengetahuan ilmu sains suatu ketika dahulu.

Mungkin bolej kita ambil kata-kata daripada Albert Einstein :

“Science without religion is lame; religion without science is blind.”

Imaginasi saya

"Kamu, tahu, permintaan terhadap sekolah swasta hari ini tinggi. Kalau kamu buka sekolah swasta, saya akan kempen kawan-kawan saya, hantar di sekolah kamu".

Begitulah provokasi Ustaz Rushdan kepada saya, Faisal, Imanuddin dan Syauqi (sekarang di UK) ketika kami menziarahinya pada hari raya 'Idulfitri yang lepas. Kami sudah memahami Ustaz Rushdan, "guru provokasi" kami sejak di SMKAK. Tapi, memang benar, saya bersama sahabat saya Mubarak pernah terlibat dengan latihan industri di salah sebuah sekolah swasta. Memang ibu bapa mempunyai harapan tinggi kepada sekolah swasta walaupun mereka tidak banyak wang.

"Sebenarnya, Ustaz Khairuddin Aman Razali al-Takiri menubuhkan sekolah ini atas dasar kebajikan. Kekadang, ada yang Ustaz potong yuran bagi keluarga yang tidak berkemampuan. Kami yang berkhidmat di sini juga mesti bekerja atas dasar kebajikan, bukan mencari kekayaan".

Jelas Ustaz Ismail, pengetua di situ apabila saya timbulkan persoalan berkaitan beberapa ibu bapa yang tidaklah begitu kaya, namun masih mahu menghantar anak mereka ke situ. Saya agak terkesima apabila menyemak beberapa borang yang diisi oleh ibu bapa murid-murid di situ. "Saya berharap agar anak saya menjadi anak yang soleh". Itulah yang dicatatkan oleh salah seorang ibu bapa pada ruangan "harapan" dalam borang tersebut. Gajinya tidak seberapa, harapannya besar, maka dia sanggup berkorban demi anak tercinta.

Pada saya, ramai ibu bapa yang risaukan sistem dualisme yang diadaptasi di sekolah pada hari ini menyebabkan mereka sanggup menghantar anak ke sekolah swasta. Kesedaran ini semakin timbul, selari dengan perubahan kefahaman masyarakat. Maka saya berfikir, tidak salah saya sambut ideal guru pidato yang saya kasihi itu. Saya mula berimaginasi, " Saya teringin menubuhkan Institut/sekolah Tahfiz Sains Profesional".

"Hang berlagak, dapat tawaran Engineering UIAM dulu, tak mau pergi," itulah salah satu kata-kata provokasi yang selalu dimainkan sahabat baik saya, Faisal sambil mentertawakan saya. "Pak Can, toksah dok ungkit kisah lama", itu saja yang saya mampu balas. Teringat satu ketika dahulu, tindakan yang mungkin "gila" pada pandangan sesetengah orang lain, apabila saya tetap teruskan pengajian saya di Darul Quran JAKIM. Secara jujurnya, pada ketika itu, saya hampir sudah berputus asa untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang sains kerana semangat dan cita-cita saya kecil. walaupun sebelum itu, saya memang sudah jatuh cinta pada fizik. Namun, saya berpandangan, masih belum terlambat untuk saya mempromosikan sinergi "al-Quran dan sains". Saya masih bercita-cita untuk melihat "Institusi/sekolah Sains Profesional".

Saya berpandangan ianya mampu menjadi model sekiranya dapat direalisasikan. Bahkan sekiranya berjaya, ideal ini tidak menjadi masalah untuk dikongsi bersama mana-mana kerajaan negeri atau kerajaan pusat sendiri untuk mengatasi virus dualisme dalam sistem pendidikan hari ini. Yang penting, biar ada model untuk dilihat keberjayaannya.

Sinergi

Saya bukan arif dalam bidang sains. Saya perlukan sahabat dari bidang sains untuk membantu sebagai tenaga pemikir. Saya bukan pakar dalam bidang hafazan. Justeru, saya akan manfaatkan sahabat-sahabat yang telah saya anggap sebagai "adik-beradik" di bidang Qiraat dan Hafazan" yang masih di Mesir sebagai tonggak utama. Saya nantikan kepulangan anda sebagai tempat rujuk saya dan pembimbing saya. Saya juga terbayangkan wajah sahabat-sahabat di UPSI baru-baru ini bersama Naqiuddin dan sahabat-sahabat Sekretariat Bertindak Pendidikan Islam Nasional (SPIN) yang saya kira antara tempat rujuk saya dalam mengendalikan sistem. Ayuh, kita sinergikan al-Quran dan Sains".

Saya pasti tidak mampu, namun saya masih percaya pada kuasa sinergi. Saya masih ingat perumpamaan Badiuzzaman Said Nursi yang dibawakan oleh Ustaz Ali Kurt pada malam pertemuan kami itu berkaitan "teori 3 alif". 3 alif(no. 1 dalam no. arab) bila berpisah, nilaiannya ialah 1 + 1 + = 3. Tetapi bila bersatu, diletak sebaris, nilaiannya seratus sebelas (111). Inilah kuasa sinergi yang saya rasakan boleh disatukan bagi memberi impaks maksima. Kebolehan, kekuatan dan bidang kita mungkin berbeza namun bila disatukan kesannya hebat. Beruntung saya, walau saya lemah, saya masih ada sahabat-sahabat kuat dari pelbagai bidang di sekeliling.


Konklusi

Cita-cita saya, tidak mahu biarkan manusia menganggap sains sebagai Tuhan, namun sains adalah medium untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Mungkin pembaca menganggap, saya hanya seperti Mat Jenin, namun pandangan saya, tidak salah saya berimaginasi kerana rindukan "Andalus" yang telah hilang. Bahkan Albert Einstein pernah menyatakan :
"Imagination is more important than knowledge."

Apakah imaginasi saya hanya tinggal imaginasi? Wallahua'lam. Cuma persoalan yang timbul di benak pemikiran saya, siapa yang sanggup bersama untuk membantu merealisasikan imaginasi saya?

Sama-sama doakan agar saya tidak menjadi Mat Jenin kedua semata-mata.

Tuesday, October 27, 2009

GAMIS : BAJET 2010 HARUS MENJURUS KE ARAH MENGATASI MASALAH PENGANGGURAN SISWAZAH MALAYSIA

Ucapan bajet bagi tahun 2010 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2009 lepas mengundang pelbagai respon serta reaksi rakyat tanpa mengira lapisan. Ada yang gembira ketika bajet ini dibentangkan malah tidak kurang juga ada yang sedikit kecewa dengan peruntukan-peruntukan yang diumumkan.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) selaku gerakan mahasiswa yang membawa suara mahasiswa Malaysia menyambut baik terhadap tiga strategi bajet bagi tahun 2010 yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” yang telah dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri baru-baru ini. Semasa pembentangan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa bajet pada kali ini memberi fokus kepada mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) supaya ianya selaras dengan kewujudan gagasan 1Malaysia.

Namun demikian, pihak GAMIS sedikit kecewa kerana bajet ini dilihat masih tidak mampu untuk mengatasi masalah pengangguran graduan Malaysia yang semakin meruncing. Kita melihat tiada plan tindakan khusus yang disusun bagi mengatasi masalah ini. Mengikut maklumat dan data dari Jabatan Statistik Negara didapati jumlah siswazah yang menganggur di Malaysia sehingga tahun 2008 adalah dalam sekitar 80,000 orang yang mana mewakili 13 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang menganggur.

Jumlah ini mengalami peningkatan berbanding pada tahun 2006 sehingga 2007, jumlah siswazah menganggur adalah sekitar 60,000 orang. Dalam pada itu dikatakan jumlah belia dan graduan Melayu yang menganggur adalah lebih tinggi kerana mereka dikatakan kurang kepakaran dan kemahiran. Isu pengangguran di kalangan siswazah bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Tahun demi tahun masalah ini pasti berulang dan kadar peningkatan ini menjadi beban kepada kerajaan dan masyarakat.

Di Malaysia, kita masih lagi tercari-cari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah graduan menganggur. Persoalan yang timbul tidak dapat tidak mesti dikaitkan dengan teori ekonomi klasik iaitu penawaran dan pembekal. Lebih mudah, jika ada permintaan atau penawaran, sudah pasti ada pihak yang akan memberikan bekalan. Daripada angka statistik pengangguran, tafsiran yang boleh dibuat ialah telah berlaku lambakan bekalan tenaga kerja berbanding keperluan sebenar atau juga disebut penawaran tidak seimbang dengan bekalan.

Kita tidak mahu isu pengangguran siswazah ini hanya dikaitkan dengan teori ekonomi klasik ini semata-mata tanpa ada tindakan khusus dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Di era dunia global masa kini, persoalan lebihan atau lambakan tenaga kerja tidak lagi relevan, atau mungkin tidak sepatutnya wujud. Ini kerana sepatutnya tenaga kerja atau individu pencari kerja boleh menawarkan khidmat mereka di mana sahaja di dunia ini.

GAMIS menyatakan pendirian supaya isu graduan menganggur ini dititik beratkan dan seharusnya ia menjadi salah satu daripada cabangan NKRA yang diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia agar matlamat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai dengan lebih berkesan. Pihak kita berpandangan bahawa di bawah cabang meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan yang terdapat dalam NKRA seharusnya diletakkan strategi khusus yang dilihat boleh membawa ke arah mengurangkan masalah pengangguran siswazah Malaysia.

Ini berasaskan kepada konsep bahawa dalam negara yang pesat membangun, peranan universiti sebagai pusat pengajian bagi membolehkan mahasiswa mendalami serta mengembangkan ilmu pengetahuan, adalah sama penting peranannya sebagai pusat untuk melatih golongan profesional. Pendidikan di universiti bukan sahaja bertujuan menggalakkan perkembangan mental dan rohani mahasiswa, tetapi juga untuk mengasah kemahiran mereka bagi memenuhi tuntutan pekerjaan profesional dan teknikal di kalangan golongan muda dan seterusnya akan menjadi aset kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam hal ini, GAMIS berpandangan bahawa strategi pendidikan yang berkesan perlu diperkasakan di seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia supaya dapat melahirkan graduan yang lengkap dengan pelbagai kemahiran. Justeru itu, peranan pendidikan secara am serta peranan pendidikan tinggi secara khusus dalam memberi latihan ke arah melengkapkan siswazah Malaysia dengan kemahiran dan sikap yang sesuai dengan tuntutan pekerjaan adalah sangat wajar dikaji.

“Kementerian Pengajian Tinggi juga harus menilai semula berkaitan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi terutamanya swasta agar kursus yang ditawarkan benar-benar mengikut keperluan. Asalnya, pertumbuhan pelbagai institusi ini adalah sesuatu yang positif kerana menggambarkan kecenderungan rakyat Malaysia terutamanya anak muda kepada ilmu. Namun, apa yang dibimbangkan ialah pertumbuhanya yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini seolah-olah menunjukkan pendidikan menjadi barang niaga semata-mata. Hasil daripada system yang tinggi kosnya ini masih gagal melahirkan graduan yang poduktif di samping masih gagal memberikan impak yang sepatutnya kepada kemajuan Malaysia” ujar Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff.

Melalui strategi yang kedua, iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan di bawah kata kunci meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, pihak kami menyambut baik langkah kerajaan dalam menjaga kebajikan para penuntut universiti dan juga langkah bagi menggilap kemahiran tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran. Walau bagaimanapun, GAMIS berpandangan bahawa isu peningkatan kadar pengangguran siswazah ini tidak hanya boleh diatasi dengan penuntut-penuntut di setiap IPT diberikan pelbagai kemudahan sebelum dan semasa mereka bergelar penuntut universiti.

Kerajaan perlu mengorak langkah lebih laju ke hadapan dalam mengkaji serta memperkenalkan strategi ‘menjaga kebajikan’ graduan setelah mereka melangkah keluar dari pusat pengajian masing-masing. Ini adalah termasuk usaha kerajaan dalam mengarahkan hala tuju graduan ini supaya dapat mengisi tuntutan pasaran negara agar ianya selari dengan usaha untuk merencanakan golongan muda sebagai agen kepada pembangunan ekonomi negara.

Bagi usaha pihak kerajaan dalam melatih dan menggilap tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran adalah satu langkah yang dilihat bertepatan dengan keperluan konteks masa kini. Namun, setelah diteliti bajet yang diperuntukkan dalam merealisasikan agenda ini hanyalah sekadar menaik taraf, membiayai pengurusan, menyelenggara, mengiktiraf sijil kemahiran dan membina institusi-institusi teknikal semata-mata. Perkara-perkara ini telah pun dilaksanakan secara berperingkat dalam strategi peningkatan ekonomi yang lepas, tambahan pula ianya telah disentuh dalam pembentangan bajet bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang lepas.

Biarpun dilaksanakan secara berperingkat, seharusnya kita menarik nafas lega jika sekiranya kadar pengangguran graduan dapat diturunkan. Kita masih belum melihat bahawa kaedah ini dapat mengurangkan kadar peningkatan pengangguran di kalangan graduan Malaysia.

Pihak kami menyarankan agar peruntukan yang diberikan kepada institusi-institusi kemahiran ini tidak sekadar bertumpu kepada proses menaik taraf dan penyelenggaraan semata-mata. Kita maklum bahawa peruntukan ini adalah untuk menarik golongan muda termasuk golongan siswazah untuk mengikuti latihan-latihan yang telah disediakan di pusat-pusat latihan tersebut. Namun, GAMIS berpendapat bahawa perlunya kepada keperluan terhadap menstrategikan kepakaran dan kemahiran yang dapat digilap daripada golongan anak muda ini supaya dapat bersaing untuk memenuhi kehendak pasaran global agar masalah pengangguran graduan dapat diatasi.

Besar harapan di pihak GAMIS agar strategi yang dibentangkan dalam Bajet 2010 ini dapat diperhalusi lagi kaedah dan langkahnya supaya ianya dapat mengatasi masalah pengangguran di kalangan siswazah Malaysia dengan sekurang-kurangnya ia tidak mengalami peningkatan. Biarpun faktor pengangguran graduan ini berpunca dari banyak sebab namun, GAMIS melihat strategi pembangunan ekonomi yang dibentangkan melalui bajet ini harus menjadi ‘tepukan sedar’ bagi pihak kerajaan khususnya dan rakyat Malaysia amnya dalam memahami implikasi dasar yang penting terhadap usaha-usaha merencanakan mahasiswa sebagai agen pembangunan ekonomi negara.

Disediakan oleh,

SETIAUSAHA AKHBAR / MEDIA,
PRESIDEN,
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA,
(GAMIS)

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP