Wednesday, April 28, 2010

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS) BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID



KENYATAAN MEDIA GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA (GAMIS)
BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID


Pendahuluan



Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian Allahyarham adik Aminulrasyid, 15 tahun, pelajar Sekolah Menegah Seksyen 9, Shah Alam yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun namun dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta semasa kejadian. Dalam laporan polis yang telah dibuat, kawan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi ini melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 9 beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam.


Pendirian GAMIS :


Justeru, dalam kes ini, GAMIS berpendirian :

1. Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau apapun kesalahan seseorang. GAMIS berpandangan, kes tembakan ini adalah tindakan keterlaluan tambahan pula, kalaupun Allahyarham adik Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana kerana masih di bawah umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya melibatkan keselamatan awam. Kemungkinan ianya turut menyebabkan rakyat Malaysia berasa tidak selamat walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.

2. GAMIS ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati dalam kenyataan media sama ada media cetak atau media elektronik. Hal demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan isu mungkin boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini, pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat.

3. GAMIS juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. GAMIS amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga. GAMIS berharap, prkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga berpesan agar kita tidak membangkitkan cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita dan fitnah yang dilemparkan.

4. GAMIS berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandang serius kes ini. GAMIS berharap satu jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya. Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu lama dalam penyiasatan bahkan masih ada yang belum diselesaikan. Dalam kes Allahyarham Adik Aminulrasyid, siasatan adil dan segera sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia.


Penutup

GAMIS turut bersedih dalam isu ini. serta ingin menugcapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. GAMIS juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang. Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih terjamin pada masa akan datang.

Al-Fatihah....



7 comments:

a i m i e April 28, 2010 at 2:11 PM  

setuju dengan kenyataan di atas. sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan, orang ramai tiada hak untuk membuat sebarang tuduhan melulu, mereka tidak ada di tempat kejadian. sebaiknya, berhenti membuat spekulasi dan berdoa agak siasatan yg dijalankan benar2 telus dan saksama agar kebenaran dapat dirungkai.

Anonymous April 28, 2010 at 2:38 PM  

salam,

saya setuju sangat dengan kenyataan di atas. Kerajaan perlu buat sesuatu dengan segera kepada pihak POLIS serta media. Media di Malaysia semakin parah.

Polis diharapkan dapat menjaga keselamatan namun akhir2 ini, polis seolah-olah plak yg mengancam ketenteraman awam.

Ilyana Fauzy April 28, 2010 at 5:12 PM  

Pelajar tu SMKS 9. bukan Section 7 :)

Anonymous April 29, 2010 at 12:00 PM  

assalamualaikum. sangat setuju dengan cadangan tersebut. kalau perkara sebegini terus berlarutan, lebih banyak nyawa terkorban nanti. peristiwa sebegini pernah terjadi pada junior saya. sangat menyedihkan

Anonymous April 30, 2010 at 11:41 AM  

matang pendirian gamis kali ini..tidak menunjukkan untk berpihak kepada sape2 tetapi memberi cadngan yang boleh membantu keadaan...
kalu ikut skil psikologiu memang tepat...

teruskan bekerja utk mahasiswa!!!

Anonymous April 30, 2010 at 6:46 PM  

setuju tp slagi kite sume brname manusia mmg xakan trlpas dri kesilapan. cume klau bole kesilapan tak diputar belitkn..

harap jgk media skrng lbih bertanggungjawab. bkn mudah mngalas tugas sbgai pnghebah mklumat jd mreka prlu lbh tliti dlm ape2 tulisn yg dikluarkn. stuju dgn GAMIS.

takziah bwt mngsa.. harap ap yg da trjadi ni jdkn sempadn dan tauladan...

Anonymous May 24, 2010 at 9:59 AM  

Memang saya tiada di tempat kejadian. Saya cuma mendengar khabar-khabar daripada orang sekeliling.

Pada saya, keluar sekitar waktu tersebut, dan tanpa izin pemilik kereta adalah suatu yang tidak munasabah dilakukan oleh mereka yang elok peribadinya.

Pihak polis juga tidak boleh terus dipersalahkan. Saya juga tidak akan berdiam diri jika sesuatu yang akan mengancam nyawa saya bakal berlaku. Pada saya, polis tidak akan sesuka hati melepaskan tembakan kecuali pada saat-saat yang terlalu genting.

Pihak media pula, tidak perlu menghebah-hebahkan sesuatu yang tidak pasti, kerana ia bakal mengundang fitnah.

Harap kes ini dapat diadili dengan saksama dan telus. Insya Allah.

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP