Thursday, April 22, 2010

SPR PERLU ANJUR DEBAT PILIHANRAYA DI MALAYSIA - GAMIS




Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) mencadangkankan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menganjurkan debat terbuka menjelang pilihan raya sama ada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Hal demikian kerana, pendekatan ceramah-ceramah umum yang masih dilaksanakan hari ini masih belum cukup kerana masih bersifat satu hala atau satu pandang sisi. Debat mampu mematangkan pemikiran rakyat sama ada dalam pemilihan wakil rakyat atau memberikan hak dan ruang untuk rakyat menyuarakan pndangan serta membuat keputusan. GAMIS turut kecewa dengan penularan budaya fitnah-memfitnah serta penipuan ahli-ahli politik dalam memenangkan pihak masing-masing yang semakin menjadi-jadi dalam pilihan raya di Malaysia pada hari ini.

Menurut Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, pendekatan kempen pada hari ini masih mnyempitkan pemikiran rakyat untuk memilih calon pilihan mereka. Pendekatan ceramah umum misalnya seolah-olah memberi ruang kepada penipuan fakta-fakta serta janji-jani kosong yang dibuat oleh calon parti-parti politik yang bertanding terutamanya dua kelompok besar dalam arena politik tanah air sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Mohd Idris berkata, "SPR sebagai badan yang bertanggungjawab dalam pilihanraya sepatutnya menjadi orang tengah dan penganjur kepada debat ini. Biar rakyat yang menilai yang mana benar dan yang mana salah. Debat ini juga boleh menjadi ruang rakyat atau masyarakat setempat membuat penilaian dasar perjuangan mana yang ingin dipilih di samping boleh mendengar manifesto daripada pihak-pihak yang ingin bertanding. Mungkin Pilihan raya kecil Hulu Selangor agak sudah lewat untuk dilaksankan tetapi saya berpandangan, SPR masih berpeluang untuk memulakan budaya baru ini pada pilihan raya Sibu serta pilihan raya akan datang".

GAMIS berpandangan, pendekatan ceramah umum yang masih dijalankan seperti hari ini seolah-olah dilihat masih tidak dapat mencapai sasaran dan matlamat sebenar kempen kerana biasanya ceramah yang dianjurkan oleh parti tertentu kebanyakannya hanya dihadiri oleh ahli dan penyokong parti tersebut. Ahli dan penyokong parti lawan biasanya tidak akan hadir. Selain itu, ceramah sebegitu biasanya tidak diminati oleh golongan atas pagar kerana situasi politik kepartian di Malaysia terlalu menebal sedangkan mereka berhak untuk mendapat penerangan melaluinya.Justeru, pendekatan lama ini dilihat masih membuka ruang kepada penipuan medan menaburkan fitnah oleh parti-parti politik kepada penyokong masing-masing. Akibatnya, masyarakat terus menjadi mangsa penipuan terutamanya di kawasan pedalaman.


Debat yang dicadangkan ini juga sedikit sebanyak dilihat dapat mengawal fitnah yang biasanya menjadi strategi yang tidak sihat dalam pilihan raya daripada terus menular oleh pihak yang bertanding. dalam Islam sendiri kita melihat, debat adalah salah satu metod terbaik dalam seruan ke arah kebaikan apatah lagi dalam agenda besar untuk membina negara. Kita juga melihat, debat sebegini sudah lama diamalkan di negara Barat tetapi tidak popular di Malaysia. Ianya perlu untuk mereka yang terbabit untuk membuat penjelasan-penjelasan berkaitan isu-isu yang berlaku di samping membuka ruang seadilnya untuk menyuarakan pandangan.


0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP