Saturday, April 17, 2010

BERUSRAH "SAMPAI" KE TURKI, BERTEMU DENGAN KEJAHILAN DIRI


"Haji, ada air tak dalam bilik?" dahaga saya selepas maghrib tadi menyebabkan terpacul soalan itu kepada Haji Ismail, siak Masjid al-Hasanah. "Ada. Yang sejuk pun ada, dalam peti ais" jawab Haji Ismail tadi. Saya terus melangkah ke bilik kecil di sudut hadapan sementara menantikan Ustaz Kushairi yang datang dari Seremban untuk memulakan kuliah maghrib tadi. Sambil menghilangkan dahaga, saya terpandang satu buku karangan Ustaz Rashidi Jamil yang bertajuk "Tribute Buat Nenda". Saya membelek-belek kulit buku tersebut. Saya terlihat kata-kata yang menarik hati saya pada kulit belakang buku tersebut berkaitan kata-kata Ibnu 'Athoillah dalam karangannya, kitab al-Hikam :

"Sebaik-baik dalam hidupmu ialah ketika kamu menyedari kekurangan diri dan kembali kepada kerendahan dirimu"

Ringkas, tetapi entah mengapa hati tertarik dengan kata-kata tersebut sehingga saya mengambil telefon bimbit saya yang tidak secanggih mana dan menaip kata-kata tadi. Cukup hanya sekdar mampu di"save"kan dalam "draft".

Entah kenapa, hati saya hari ini teringatkan sahabat saya dari Turki, Sadik Ozata. Sudah lama tidak berusrah dengannya kerana beberapa kekangan. "Malam ini saya agak "free", teringin pulak nak berusrah kembali dengan sahabat saya dari Turki itu" terlintas di hati saya ketika kuliah maghrib tadi. Setiap minggu biasanya Sadik tidak akan jemu menghantar mesej kepada saya walaupun sudah lama saya tidak berusrah dengannya. Mesej itu adalah untuk mengajak berusrah dengannya dan sahabat-sahabat bagi mencari hikmah-hikmah dalam Rasail Annur, karangan Badiuzzaman Said Nursi. Biasanya pada setiap petang Jumaat, ada sahaja mesej dari Sadik. Tetapi entah kenapa sehingga waktu maghrib tadi, saya belum menerima mesej usrah seperti biasa daripadanya. Saya menjadi serba salah untuk hadir, takut-takut menjadi tetamu yang tidak diundang.

"Entah-entah Sadik dah berputus asa untuk ajak aku berusrah sebab sudah lama tidak berkesempatan?" fikir hati saya ketika itu.

Tidak lama kemudian, mesej yang dinantikan tiba. Terus saya menaip mesej untuk mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk ke rumah Sadik bagi meyelongkar khazanah Rasail Annur. Kuliah Maghrib hari ini berkaitan, "bercita-cita mati dalam Islam". Alhamdulillah, banyak input yang diperolehi, membuktikan terlalu banyak kekurangan dalam diri. Jahil sungguh diri ini disamping masih banyak kekurangan amalan serta titik-titik hitam di hati. Kesedaran ini sedikit sebanyak menjadi nikmat apabila menghayati kembali kata-kata Ibnu 'Athoillah tadi.

Kuliah Maghrib tadi agak panjang, risau kalau-kalau tidak sempat berusrah kerana biasanya usrah bermula selepas maghrib. Ditolak campur dengan masa minum, berbual dengan AJK masjid, tersilap lorong dan lain-lain lagi maka saya sampai agak lewat. Lebih kurang 9.45 malam. Alhamdulillah, usrah malam ini bermula agak lewat, jadi saya masih sempat. Sebentar kemudian sahabat saya, Ammar dan Abu Khuzaifah tiba. Setelah selesai urusannya, Sadik memulakan usrah.

"Tajuk malam ini adalah berkaitan "buah-buah (natijah) beriman kepada malaikat" Sadik memulakan usrah malam ini. Persepsi awal saya, tajuk ini agak "simple". Tetapi, usrah malam ini menyebabkan saya kagum terhadap penulisan Badiuzzaman Said Nursi ini. Saya teringat ketika belajar Psikologi Dakwah bersama Ustaz Zamri Syafiq beberapa tahun lalu berkaitan "reinforcement negative" dan "reinforcement positive" dalam dakwah. Metod yang digunakan oleh Said Nursi dalam bab beriman dengan malaikat tadi menarik minat saya.

Saya tersenyum sendirian ketika penyampaian Sadik tadi. Mana tidaknya, pembawakan penerangan oleh Said Nursi begitu mudah menarik minat dan kefahaman saya. Terasa bodoh kerana kurangnya fikir sehingga perkara semudah itu pun saya tidak tahu sebelum ini. Selalunya pendekatan pendakwah-pendakwah dan penulisan berkaitan "beriman dengan malaikat" lebih cenderung kepada "reinforcement negative".

"Kalau kamu buat maksiat, jaga-jaga, adanya Raqib dan 'Atid yang mencatat kerja jahat kamu!" "Hari ini mungkin kamu selamat, tapi Ingat! Dalam kubur nanti adanya Munkar dan Nakir". "BIla Izrail tarik nyawa kamu, kamu akan rasai kesakitan yang teramat sangat".

Semuanya "reinforcement negative", tetapi tidak salah. Memang berguna pendekatan begitu pada satu-satu masa. Namun apa yang saya dapat malam ini agak berbeza. Mungkin saya rasai perbezaan yang ketara kerana kejahilan dan kurang belajar, mendengar kuliah-kuliah dan sebagainya. Itu berpunca dari kelemahan saya.

Seperti yang saya katakan, khazanah peninggalan Said Nursi yang saya dapat pada malam ini agak berbeza kerana menggunakan pendekatan "reinforcement positive". Sebab itu rasanya tajuknya diletak berkaitan "buah-buah beriman kepada malaikat". Menarik, memebawa kepada pemikiran positif, menggalakkan beramal soleh, membawa ketenangan dan kesenangan kepada jiwa dalam menghayati konsep "beriman kepada malaikat".

Mana tidaknya, dalam berbicara persoalan Izrail pun, Said Nursi mengajak kepada pemikiran positif. Begitu juga Raqib, 'Atid, Munkar dan Nakir. COntohnya, dalam mengenali Raqib dan "Atid, biasanya kebanyakan pendakwah dan penulis akan menggunakan pendekatan "reinforcement negatif". Maka, biasanya kita akan diingatkan dengan kata-kata seperti :

"Kalau kamu buat maksiat, jaga-jaga, adanya Raqib dan 'Atid yang mencatat kerja jahat kamu!", "Tidak sedikit pun amalan jahat kamu akan terlepas dari catatan mereka!", "Kamu ingat mereka tak nampak walaupun kamu buat maksiat di tempat gelap????" dan lain-lain lagi.....

Pendekatan Said Nursi berbeza. Dalam hal Raqib dan 'Atid misalnya, beliau menyentuh berkaitan keinginan kita agar setiap kerja atau kata-kata kita yang bernilai dan baik sama ada melalui syair, filem dan penulisan. Sudah pasti kita ingin agar perkara baik tadi dicatit, dirakam atau dikira oleh Allah sebagai amalan baik yang akan mendapat ganjaran di akhirat. Maka, dengan adanya keyakinan dan keimanan kepada malaikat, kita tidak akan bimbang kerana perkara baik tadi tidak sedikit pun akan terlepas dari perhatian malaikat-malaikat Allah.

"Contohnya, dalam bekerja mungkin kita ingin agar usaha kita yang bersungguh-sungguh, berkualiti, terbaik dan sebagainya dilihat dan dinilai oleh Bos di tempat kerja kita.Mungkin hasil penilaian akan menyebabkan kita dinaikkan pangkat dan sebagainya. Tetapi mungkin tidak semua kerja kita yang berkualiti tadi dilihat oleh Bos kita kerana dia hanya seorang manusia. Malaikat tidak pernah lalai dalam mencatit amalan baik kita," tambah Sadik lagi.

"Wah, ini menjadi motivasi mukmin dalam beramal. Walaupun mungkin kecil amalan tersebut, disebabkan kita optimis malaikat tidak pernah lepas untuk mencatit, maka kita akan termotivasi untuk terus melakukan amal soleh dengan istiqamah," fikir saya ketika itu sambil tersenyum. Tersenyum pertama kerana kagum. Tersenyum kedua kerana tergelakkan diri sendiri yang jahil sehingga benda semudah ini tidak pernah terfikir sebelum ini. Baru hari ini nak belajar bertatih...

Selesai usrah, saya, Ammar dan Abu Khuzaifah terus menjamah masakan Turki, kombinasi masakan Sadik Ozata dan Umar, dua sahabat Turki yang sentiasa berazam tinggi untuk menginfakkan diri mereka di jalan dakwah, untuk menyebar luaskan kefahaman yang ada dalam Rasail Annur.

Jika usrah sebelum ini saya, Ammar dan Fadhil bertuah kerana sempat berusrah dengan tetamu dari Turki yang hebat iaitu Ustaz Ali Kurt, Naib Presiden United of NGOs of Islamic World (UNIW) sebuah pertubuhan yang menghimpunkan lebih 250 NGO-NGO Islam dari seluruh dunia, kali ini saya, Ammar dan Abu Khuzaifah mendapat peluang yang berbeza. Selesai makan, Sadik menghubungi murabbinya, Ustaz Said Nuri, amir jama'ah yang mengkaji dan menyebarkan intipati Rasail an-Nur di Turki.



Kecanggihan teknologi menyebabkan kami "sampai" dan berpeluang dengan Ustaz Said Nuri. Laptop dan webcam menjadi pengantara kami. Sadik memanggil saya dan sahabat-sahabat kerana katanya Ustaz Said Nuri ingin bertanya pandangan kami. Maka kami "berusrah di Turki""tiba" di Turki memalui web cam. Melalui Sadik yang menjadi penterjemah, Ustaz Said Nuri bertanya pandangan kami berkaitan Rasail Annur. Maka, saya menjawab seperti di atas, betapa saya kagum metod yang agak berbeza dalam penulisan Said Nursi ini iaitu berkaitan "reinforcement positive" yang menjadi penggalak dan motivasi. Setelah Sadik menterjemahkan kata-kata saya tadi kepada Ustaz Said Nuri, maka beliau menjelaskan bahawa memang begitu metod yang digunakan Said Nursi kerana beliau mengkaji pendekatan Rasulullah s.a.w. Memang kebanyakan metod baginda dalam berhadapan dengan mad'u begitu.

Ustaz Nuri berpesan kepada kami agar kami mewaqafkan diri untuk kerja dakwah disamping doa. Kami sempat melambai melaui web cam sebelum menamatkan "usrah jarak jauh" dengan beliau. Web cam di Turki dipusingkan, membolehkan kami melihat wajah saudara-saudara di Turki yang bersama dengan Ustaz Said Nuri di Turki ketika itu. Sadik menjelaskan bahawa mereka sedang bermesyuarat di sana. Mereka termasuklah pelajar yang terdiri dari pelbagai bidang di sana. "Mereka mewaqafkan diri untuk dakwah. Maka kamu pun mesti begitu" pesan Sadik kepada saya, Ammar dan Abu Khuzaifah.

Alhamdulillah, setelah merenung kehidupan sepanjang beberapa jam yang lalu, saya mendapat pelbagai pengajaran. Bermula dengan penemuan kata-kata Ibnu 'Athoillah di kulit buku tadi, saya sangat bersyukur. Saya cuba hayati kembali kata-katanya. Semoga pengalaman sepanjang beberapa jam tadi, saya mendapat sebahagian dari apa yang disebut sebagai "sebaik-baik hidup ialah apabila menyedari kekurangan diri" dalam kata-kata dalam kitab al-Hikam tersebut..... Allahuakabar, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Masih kurang fikir, masih kurang zikir.....

6 comments:

hasanhusaini April 17, 2010 at 7:09 AM  

Tiba-tiba terasa 'cemburu'...Nanti ana balik Malaysia, jangan lupa untuk kenalkan ana kepada 'Usrah Turki' tu...

Anonymous April 17, 2010 at 6:00 PM  

samar-samar...

ukht wardah April 17, 2010 at 8:00 PM  

asif tnye..ust. berusrah guna bhsa arab ye?

fadhil ibn kadir April 17, 2010 at 9:29 PM  

aduss....melepas satu lagi mutiara Ilmu... nati jgn lupa ajak ana lagi tau...rugi rasa x dapat ikut skali usrah kali ni

Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, April 17, 2010 at 10:31 PM  

lukisan alam : sahabat ana fasih berbahasa melayu

ghuraba' April 18, 2010 at 10:44 AM  

Teringt ada dlm hadis sebut pasal "yassiru wa la tu'assiru, basyyiru wa la tunffiru".Kl ada kenal jgk aktivis muslimah dr turki, bleh la pkenalkan pd kami, bleh kami buat usrah.

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP