Monday, May 16, 2011

WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK....


WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK..... - belajar di Pasar Jumaat

"Ustaz, minggu depan saya program dengan Bob Lokman di Perak", cerita Abang Ijam (bekas vokalis kumpulan EYE) tatkala singgah sebentar di gerainya di Pasar Jumaat seusai solat Jumaat di masjid. "Abang, kalau minyak wangi botol saiz macam ni berapa harga?", saya bertanya sambil membelek-belek minyak wangi yang dijualnya setelah beberapa ketika berbual. "Sat lagi kita bincang", jawab Abang Ijam sambil memandang kiri dan kanan. Saya faham, dia tengah sibuk melayan pelanggan lain. Saya meminta izin ke gerai lain dan akan kembali selepas beliau selesai urusan dengan pelanggan yang lain. Sambil minum bersama Haji Ismail, saya memerhatikan gerai Abang Ijam. Apabila pelanggan sudah beredar, saya terus ke gerainya.

"Yang ni berapa harga bang?" tanya saya sambil membelek-belek sebotol minyak wangi Kasturi di gerainya. Tanpa berfikir panjang, Abang Ijam terus mengambil minyak wangi tersebut dan terus memberikannya kepada saya. "Ustaz ambil la, saya bagi". Serba salah saya dibuatnya untuk menerima sebotol minyak wangi yang harganya kira-kira sebotol RM20.00 itu. Saya faham hidup sebagai peniaga pasar kerana saya pernah berada di posisi itu sebelum ini. "Tak pa, Allah s.w.t. boleh bagi rezeki kepada saya dengan banyak cara lagi". Jawapannya itu menyebabkan saya mengalah.

Jiwa saya terasa ditarbiyyah oleh seorang penjual minyak wangi. Walaupun apa yang disebutnya tadi adalah subjek yang biasa ditemui di bilik-bilik kuliah, buku-buku dan tamrin bahkan saya sendiri pernah menyebutnya dalam tazkirah, namun hari ini saya rasa ianya membekas dalam hati walaupun yang menyebutnya hanya seorang peniaga minyak wangi dan tempatnya hanya di pasar Jumaat masjid. Benar, itulah yang biasa kita belajar, kalau kita memberi, sedeqah, infaq dan sebaginya, Allah s.w.t. akan membalasnya dengan pelbagai cara. Kalau kita ikhlas membantu, Allah s.w.t. akan membalasnya dengan kebaikan dan mungkin lebih baik daripada apa yang kita berikan. Yang pasti Allah s.w.t. tetap akan membalas, walaupun bukan melalui orang yang kita berbakti. Jadi, usah bimbang untuk memberi dan berkhidmat.


Orang Ikhlas Tetindas? - Ustaz Pahrol Mohd Juoi



"Tajuk : "Keikhlasan Dalam Bekerja Sebagai Satu Ibadah", masa antara maghrib dan Isya', dalam 40 Minit Insyaallah."

Mesej dari Haji Haznan ini diterima setelah saya diamanahkan olehnya untuk menyampaikan ceramah kepada bakal staf-staf baru Petronas dua minggu lalu. Setiap kali menerima amanah sebegini, saya kira ini peluang Allah s.w.t. berikan untuk saya mendisiplinkan diri dengan semangat untuk terus belajar, bertanya dan membaca. Setelah meninjau-ninjau laman sesawang, saya terjumpa artikel yang sangat menyentuh jiwa membacanya. Artikel bertajuk, "Orang Ikhlas Tertindas?" membuka mata hati dan hati saya. Saya yakin, sesiapa yang membacanya akan terdidik hati dan akalnya untuk berfikir. Artikel itu menyentuh berkaitan dengan luahan seorang pekerja sebuah organisasi yang seolah-olah hilang semangat apabila usaha dan kerjanya seolah-olah tidak dipandang atau dihargai sedangkan dia telah bekerja sehabis baik.

Penghujung kisah itu, Ustaz Pahrol telah membawa satu kesimpulan yang menarik, "Jika kita ikhlas dalam kerja atau membantu, Allah s.w.t. tetap akan membalasnya". Mungkin Allah s.w.t. akan membalasnya melalui orang lain. Justeru, apabila membuat sesuatu kebajikan, jangan mengharapkan balasan daripada orang yang telah kita bantu kerana mungkin Allah s.w.t. akan membalasnya melaui tangan orang lain. Walaupun pekerja tadi rasa tidak dihargai, manusia namun hakikatnya Allah s.w.t. telah membalas keikhlasan dan ketelusan dia bekerja dengan sesuatu yang lebih baik iaitu anak-anaknya yang berjaya. Apa yang boleh disimpulkan di sini, orang ikhlas tidak sekali-kali tertindas dan jangan takut untuk berbakti. Alhamdulillah, tugasan sebagai penceramah itu akhirnya telah menjadi satu peluang untuk saya pula ditarbiyah sebenarnya. Terima kasih Ya Allah.

Biasakan Memberi, Anda Tidak Akan Rugi - Belajar Dari Seorang Peniaga Kecil


Ada satu kisah kehidupan sebuah keluarga. Alhamdulillah, semua anak-anaknya berjaya dengan kerjaya masing-masing disamping terdidik sebagai anak yang baik. Anak-anak tersebut dikenali masyarakat sekeliling seperti kata orang tua-tua, "sejuk perut mak mereka mengandung". Apabila diselidik berkaitan keluarga, orang ramai berteka-teki, siapakah ibu dan ayahnya? Anak seorang agamawan? Ulama' ? Rupa-rupanya mereka hanya anak seorang peniaga kecil. Ada yang mencari-cari, apakah rahsia anak-anak ini menjadi anak yang baik?

Akhirnya satu jawapan ditemui. Rupa-rupanya si ayah adalah seorang peniaga kecil yang pemurah. Setiap kali menjual barangan, beliau akan melebihkan timbangan sebagai satu tanda syukurnya. Walaupun mungkin ada pembeli yang tidak memandang dan menghargainya, hakikatnya Allah s.w.t. Maha Melihat. "Jasa" peniaga kecil itu mungkin tidak dihargai pembeli, hakikatnya Allah s.w.t. menilainya dengan nilaian yang besar. Maka Allah s.w.t. membalasnya dengan sesuatu yang lebih berharga dari wang ringgit yang biasanya dikejar para peniaga. Allah s.w.t. telah menganugerahkan kepadanya anak-anak yang baik, harta yang paling berharga bagi ibu bapa.

Jom Jadi Golongan Yang Sedikit!

Pemberian, sumbangan, kebajikan dan pertolongan kita adalah salah satu tanda syukur. Selalu saya sebutkan, apabila ditanya kepada Yusuf Qaradhawi "manakah yang lebih baik antara si miskin yang bersabar dan si kaya yang bersyukur?", maka jawapannya dalam Fiqh al-Aulawiyyat ialah, "si kaya yang bersyukur". Benar, beberapa ayat al-Quran telah membuktikannya "hanya Sedikit di kalangan hamba yang bersyukur". Dalam penghuraian oleh Bapak HAMKA dalam tafsirnya berkaitan ayat ke- 13 dari surah Saba' yang bermaksud :

" ....dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur"

Bapak HAMKA telah memasukkan dalam tafsirnya, Tafsir al-Azhar satu kisah ketika zaman Saidina Umar menjadi khalifah. Ketika sedang tawaf, beliau mendengar seorang Arab Badwi sedang berdoa, "Ya Allah, masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit". Umar hairan mendengarnya. Kenapa dia "mahu masuk dalam golongan yang sedikit" kerana biasanya "banyak" adalah yang sangat diharapkan oleh manusia. Selepas tawaf, Umar bertanya perihal doa tersebut kepada Arab Badwi Tadi. Arab Badwi tadi menjawab, "Bukankah Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran bahawa hanya sedikit di kalangan hambaNya yang bersyukur?" Arab Badwi itu menjelaskan bahawa dia ingin dimasukkan dalam kalangan hamba yang bersyukur. Tersentuh jiwa Umar lantas mengatakan kepada dirinya sendiri, "Wahai Umar, hari ini orang ramai lebih 'Alim daripada kamu". Umar seolah-olah ditarbiyyah oleh seorang Arab Badwi, "guru" yang mengingatkannya ketika itu.

SELAMAT HARI GURU - Jasa Guru Tidak Terperi

Baru-baru ini, semasa pulang ke kampung saya sempat pergi solat Jemaah dan kuliah maghrib di sebuah tempat yang bermakna dalam hidup saya. Tempat yang tidak seberapa itu adalah tempat saya mula mengenal A, B, C, 1, 2, 3, mengenal dan menghafal doa-doa dan sebaginya. Saya terkenang guru-guru saya. Sempat juga melawat rumah ibu saudara saya yang mula mengajar saya mengenal al-Quran ketika saya masih kecil. Yang pasti, semalam, dia adalah guru yang pertama menerima ucapan "Selamat Mhari Guru" tahun ini sebelum pulang ke Bangi. Hakikatnya, guru kita terlalu ramai. Yang mengajar kita walau satu huruf, itulah guru kita. Yang mengingatkan apa yang kita lupa, itulah guru kita. Walaupun di pasar, di kedai, di jalanan, mereka tetap guru kita.

Selamat Hari Guru kepada semua "guru-guru" saya sama ada di sekolah, DQ, Universiti hatta yang pernah mengajar, menyedarkan dan mengingatkan saya walaupun dia hanya seorang petani, penjual di pasar, sahabat-sahabat dan adik-adik usrah saya. Anda semua tetap guru saya walau tidak berjawatan di kelas-kelas dan bilik kuliah.


Yang pasti, hamba Dhaif ini tidak mampu membalas jasa kalian, hakikatnya yakinlah bahawa keikhlasan anda akan dilabas oleh Allah daripada pelbagai ruang dan cara..... WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK....

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP