Monday, January 24, 2011

BASYIIRA VS NAZIIRA

Sudah lama tidak menulis. Ingin saya coretkan nikmat pengalaman yang cukup bermakna anugerah Allah kepada saya yang dhaif. Alhamdulillah, keberadaan saya di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi banyak mengajar saya. Dari berkomunikasi dengan kanak-kanak sehingga orang dewasa. Saya belajar mengenal manusia. Terima Kasih Ya Allah.

Ruh sebagai anak petani tak pernah lekang dari jiwa saya. Walau berjauhan dengan sawah padi, masih bertemankan pokok mangga dan mata kucing (longan) di sini. Minggu lepas, saya membawa Ustaz Imam Supaat, Imam satu Masjid untuk melawat hasil pokok mata kucing jagaan bersama Abang Ayub dan Zaid di belakang pejabat masjid. Alhamdulillah, buahnya yang lebat menyejukkan mata kami yang memandang. Kata Ustaz Imam, dah beberapa kali buahnya tidak boleh dimakan dek kerana gagak dan kelawar yang lebih dahulu merasanya. Kali ini dapat juga kami dan ahli jemaah lain merasanya.Sedang membelek-belek buah-buah yang sedang membesar itu, Kami disapa.

"Ustaz, hari ini saya cuti, jom kita minum," sapa Encik Razman (bukan nama sebebnar). Encik Razman seorang pegawai di sebuah kementerian yang pernah saya ceritakan dalam artikel sebelum ini. Dia selalu menghubungi saya sebelum ini dan pernah berjanji untuk bertemu. Hari ini hajatnya kesampaian. Bersama Ustaz Imam, Zaid dan Haziq kami menuju restoran Nasi Arab Yaman berdekatan. Aduh, saya meluahkan kepada kepada Encik Razman, ini kali keempat dalam minggu ini saya makan kambing sambil memesan sepinggan Lamb Mandy sebagaimana tercatat dalam menu. "Tak pe ustaz, Orang muda....." balas Encik Razman sambil tersenyum.

Sambil menunggu pesanan, Encik Razman menyampaikan hasratnya sebelum ini untuk bertemu saya. Jika sebelum ini hati saya tersentuh kerana luahan dan hasaratnya yang tinggi untuk kembali belajar al-Quran, kali ini saya terkesima mendengar cerita hatinya berkaitan anaknya.

"Ustaz, sebenarnya hari itu saya janji nak berjumpa untuk ceritakan sesuatu. Apapun, saya tahu ini salah saya. Saya ada seorang anak bernama Hariri (bukan nama sebenar). Berbelas tahun dia dibesarkan di US. Alhamdulillah, sekarang baru fasih berbahasa Melayu dan sedang menunggu keputusan SPM. Tetapi saya kecewa dengan diri saya apabila anak saya kurang pengetahuan agama. Saya tahu ini salah saya. sebelum ini, gurunya telah maklumkan kepada saya bahawa Hariri selalu ponteng sekolah. Saya sangat terkejut. Hari ini dia merokok dengan kawan-kawan. Dia tidak ada masalah dengan pelajaran, bersungguh-sungguh dan termotivasi dalam belajar sebab dia bercita-cita nak kembali ke US, tanah kelahirannya".

"Sekarang saya cuba Ustaz. Bawa dia solat jemaah di masjid, ikut kuliah-kuliah dan lain-lain. Dengan saya dia ok, tapi saya risau kalau di belakang saya. Semalam saya bawa Hariri ke kuliah Maghrib. Dia beritahu saya dia tak faham langsung apa yang diajar. Dia pening mendengar penghuraian riba dan lain-lain semalam. Hariri pernah meluahkan perasaannya kepada saya. Kata Hariri, dia hairan dengan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah. Semua Ustaz-ustaz garang katanya, macam nak marah. asyik-asyik bicara dosa, neraka. Dosa, neraka. Bagi Hariri, itu terlalu berat untuk dirinya. Saya sayangkan anak saya. Saya teringin sangat nak bawa Hariri berjumpa dengan ustaz. Kalau boleh nak ajak dia berkawan dengan ustaz".


"Wah, ini "assignment" baru", bisik hati kecil saya."Ana tak pandai main snooker syeikh, bowling boleh la sikit-sikit,"bisik saya kepada Haziq yang sedang menikmati Salad Tuna di sebelah saya sambil tersenyum. "Ana boleh main 'snooker', sebab selalu main 'game snooker' dalam handphone", balas Haziq dengan penuh bangga. Mungkin ini satu pengalaman baru bagi saya.

Dalam perjalanan pulang, saya berfikir persoalan golongan seperti Hariri, kuliah atau ceramah pada pandangannya, kuliah Fiqh Muamalat yang tidak difahaminya, masalahnya dan lain-lain. Teringat juga isu forum bersama Ustaz Hasrizal Jamil @ Saifulislam.com baru-baru ini dalam isu konflik intelektual dan akhlak.

Sampai di bilik, saya sempat membelek pandang sisi Bapak HAMKA dalam tafsirnya, Tafsir Al-Azhar sebagai persiapan kuliah mingguan wanita di Surau al-Sobah petang itu. Kebetulan ayat yang dibincangkan pada petang itu adalah dari ayat 54 - 62 dari surah al-Furqan. Saya seolah-olah mendapat pencerahan apabila pembacaan ketika itu sampai kepada ayat 56 yang bermaksud :

"Dan tidaklah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang Yang beriman) - [BASYIIRA] dan pemberi amaran (kepada orang-orang Yang ingkar) -[NAZIIRA]".

Pada Tafsiran Bapak HAMKA, dalam dakwah kita perlu mulakan dengan BASYIIRA terlebih dahulu sebelum NAZIIRA. Jika kita renung dalam al-Quran, pasangan dua perkataan (BASYIIRA dan NAZIIRA) ini akan dimulai dengan BASYIIRA terlebih dahulu sebelum NAZIIRA.



Tugas Rasulullah s.a.w. adalah BASYIIRA dan NAZIIRA, maka kita sebagai umatnya juga perlulah meneruskan amanah ini untuk menyambung perjuangan baginda. Teringat semasa belajar subjek Psikologi Dakwah Dalam al-Quran ketika di Darul Quran JAKIM beberapa tahun lalu, dalam bab Reinforcement Positive dan Reinforcement Negative, kami belajar meneliti ayat-ayat yang berkaitan dengan kedua-dua perkara ini. Maka, apa yang saya simpulkan dari pembelajaran tersebut, itulah BASYIIRA dan NAZIIRA. BASYIIRA itu yang membawa 'Reinforcement Positive' dan NAZIIRA pulalah yang membawa kepada 'Reinforcement Negative'.

Dalam Fiqh al-Aulawiyyat karangan al-Qaradhawi, beliau ada menyentuh berkaitan "TADARRUJ"(berperingkat-peringkat) dalam dakwah. Mulakan dengan tidak membebankan sasaran dakwah dan mulakan dengan yang meringankan sasaran dakwah. Melihat kepada situasi Hariri tadi, maka sudah pasti pandangan Bapak HAMKA sangat praktikal, mulakan dengan BASYIIRA.

Tatkala Rasulullah s.a.w. berhadapan dengan golongan al-A'rab (arab Badwi) atau mereka yang baru memeluk Islam, Rasulullah akan mulakan dengan BASYIIRA. Terkenang plot filem Sang Murabbi tatkala Ustaz Rahmat berhadapan mereka yang minum arak, beliau mulakan dengan BASYIIRA. Rasulullah s.a.w. mulakan dakwah dengan mengadakan jamuan. Walaubagaimanapun, saya tidak salahkan "Ustaz Garang" yang dimaksudkan Hariri tadi, tidak salahkan isu "Dosa Neraka" yang menjadi isi kuliah serta "Kuliah Fiqh Muamalat" yang diadakan kerana bukan semua yang mendengar seperti Hariri. Apa yang saya maksudkan di sini adalah situasi berhadapan dengan sasaran dakwah di marhalah (peringkat) awal atau pengenalan, maka dahuluilah BASYIIRA.

Begitu juga dengan jiwa da'ie (pendakwah) yang perlu ada dalam jiwa kita adalah berbeza dengan jiwa qadhi (penghukum) sebagaimana kata-kata Hassan Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin kedua iaitu, "kita adalah pendakwah, bukan penghukum"...

Saya selalu berpesan kepada diri sendiri dan teman-teman dalam pengisian program yang diamanahkan, pendakwah dan ahli gerakan janganlah eksklusif. Jangan cepat menghukum mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan Islam. Jangan bersikap keras dengan mereka. Tidak hanya menghukum, tetapi cuba memberi alternatif. Seperti kisah Wali Songo yang berhadapan dengan masyarakat yang gilakan hiburan. Wali Songo mencipta alternatif. Daripada wayang kulit yang berkisahkan mitos yang tidak bermanfaat kepada wayang kulit yang membawakan kisah-kisah sejarah Islam. Daripada lagu-lagu yang kurang manfaat kepada lagu-lagu seperti Tombo Ati dan Ilir-ilir yang lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.

Tanpa menafikan peranan NAZIIRA, BASYIIRA perlu diutamakan merujuk kepada sasaran dakwah. Itulah al-Hikmah dalam dakwah. Kebijaksanaan yang menitikberatkan persoalan latar belakang sasaran dakwah.



"BASYIIRA sebagai 'magnet' marhalah awal dakwah"

1 comments:

Anonymous January 24, 2011 at 11:07 PM  

salam ustaz.ana ada terbaca pasal nih..tapi dia jelaskan dlm bentuk 'reward or punishment'..apa yg dia terangkan lbih kpada kaedah dalam dakwah tetapi dipecahkan kepada 3 iaitu persuasion, manipulation dgn force..namun dijelaskan bhwa persuasion adalah lebih baik namun harus memiliki ability dan skill yg sepatutnya dan juga harus melihat kepada feedback dan capacity of surveillance..

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP