Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Saturday, January 2, 2010

TERIMA KASIH KEPADA SAHABAT GAMIS

Terima kasih kepada sahabat-sahabat GAMIS yang turun memeri komitmen yang baik dalam Operasi Kehadiran Dirasai (ORKED) sempena Sambutan Tahun Baru 31 Disember baru-baru ini. Kehadiran lebih 600 mahasiswa daripada pelbagai kampus pada malam tersebut membuktikan bahawa kalian masih mempunyai sensitiviti bermasyarakat di samping tanggungjawab sebagai da'ie.

Operasi pada malam tersebut bukanlah untuk menghukum mana-mana pihak, akan tetapi ingin menunjukkan semangat mahabbah GAMIS kepada anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan Malaysia pada masa akan datang. Operasi kita pada malam tersebut adalah semata-mata menunjukkan sikap dakwah kita seperti kata al-Banna dalam wasiatnya iaitu, "asas dakwah kita ialah kasih sayang".

Semoga usaha kita akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Mungkin ada yang berbicara soal sedikitnya kesan gerakan malam tersebut, tetapi saya melihat usaha sahabat-sahabat adalah permulaan yang baik. Sekali lagi, saya mewakili kepimpinan GAMIS mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen kalian.

Saya masukkan sedikit-sebanyak gambar suasana malam tersebut.


















* terima kasih kepada jurukamera-jurukamera tak rasmi

Wednesday, October 21, 2009

ISU YURAN : BERITA BAIK BUAT MAHASISWA UKM

Assalamualaikum,

Sebentar tadi saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM dan rakan-rakan pimpinan Persatuan Mahasiswa Sains Politik bersama rakan-rakan mahasiswa Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSSK) menemui Bendahari UKM untuk berbincang isu yuran mahasiswa UKM. Terkejut apabila ramai pegawai keselamatan "meraikan" kehadiran saya dan rakan-rakan. "Biasalah, kalau nak perjuangkan isu mahasiswa, ramai akan "menjaga" keselamatan kita," saya katakan kepada rakan-rakan saya tadi.

Saya (berbaju merah di tengah) bersama pimpinan dan rakan-rakan dari Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan yang turut memberi sokongan.

Kehadiran kami "disambut" hebat oleh berpuluh-puluh pegawai keselamatan yang menati dari pelbagai posisi. "Ada bawa garam? Takut kena gas nanti," Haris sempat bergurau sambil disambut tawa riang dari sahabat-sahabat lain. Mana tidaknya, hendak naik lif pun pegawai keselamatan iring. Itulah nasib saya dan rakan-rakan aktivis mahasiswa di UKM. Selalu diambil perhatian. Gambar diambil, video dirakam dan sebagainya. Yang pasti, kami bukan ingin membuat demontrasi di situ. Secara jujurnya, saya dan rakan-rakan gembira kerana kehadiran kami diraikan dan diberi perhatian. Terima kasih kepada mereka yang terlibat.

Pegawai keselamatan yang turut bersama di pejabat Jabatan Bendahari bersama kamera yang mungkin sudah muak mengambil gambar kami.

ALhamdulillah, saya bersama rakan saya saudara Taufik dan Hilman yang mewakili pimpinan Persatuan Mahasiswa Sains Politik dapat bertemu dan berbincang dengan Bendahari UKM. Antara yang dibincangkan tadi adalah isu sistem pakej baru dalam yuran pengajian dan isu mahasiswa yang berhutang tidak boleh membuat pendaftaran awal yang akan menyebabkan pinjaman PTPTN mereka ditahan untuk semester depan termasuklah akan didenda RM15.00. Perbincangan tadi telah menghasilkan beberapa keputusan positif kepada mahasiswa.

1 : Isu pakej baru yuran yang menyebabkan pelajar lama terpaksa membayar yuran lebih walaupun jumlah jam kredit yang diambil adalah sedikit.

Respon Bendahari : Bayaran yuran bagi pelajar lama kembali mengikut sistem lama iaitu mengikut bilangan jam kredit yang diambil. Sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang telah membayar lebihan yuran kerana pakej baru, bayaran tersebut akan ditolak kembali pada semester hadapan. Bagi mahasiswa baru, pakej baru diteruskan kerana lebih menguntungkan berbanding sistem lama kerana jumlah jam kredit yang bertambah.

2 : Isu mahasiswa yang berhutang tidak boleh membuat pendaftaran awal yang akan menyebabkan pinjaman PTPTN mereka ditahan untuk semester depan termasuklah akan didenda RM15.00

Saya berpandangan, mereka yang tidak membuat pendaftaran awal bukan kesemuanya kerana kelalaian tetapi benar-benar menghadapi masalah kewangan (termasuk saya sebenarnya). Justeru, jika mereka tidak dibenarkan mendaftar dan ditahan pinjaman PTPTN saya rasa tidak sepatutnya.

Setelah berbincang, Bendahari bersetuju untuk menghantar surat kepada Bahagian Akademik yang membolehkan semua mahasiswa yang masih berhutang boleh membuat pendaftaran awal. Jadi, insyaAllah dalam masa terdekat semua mahasiswa yang masih berhutang boleh membuat pendaftaran awal kursus semester depan. Itu jaminan Bendahari.

Pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa, untuk mendaftar kursus setelah peluang ini dibuka. Sekiranya masih berlaku permasalahan, mohon disampaikan kepada saya di zunnun_almisri03@yahoo.com atau rakan-rakan MPP Mahasiswa yang lain.

* Saya bersimpati kepada pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengikut dan memantau saya dan rakan-rakan aktivis. Bagi kami, tidak ada apa yang dirisaukan. Cuma kepada pihak-pihak bertanggungjawab, simpatilah kepada pegawai-pegawai keselamatan yang masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

* Terima kasih kepada sahabat saya, Jumran yang mengingatkan saya isu ini tadi dan Sakinah yang tolong mencetak pekeliling daripada pihak akademik untuk dibawa bersama dalam perjumpaan tadi sebagai bahan bukti.

Sekian, terima kasih. Wassalam...

MOHD IDRIS BIN MOHD YUSSOFF,
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.


Monday, October 5, 2009

PEMBEKUAN PENEMPATAN MAHASISWA FAKULTI PENDIDIKAN : GAMIS MOHON MENTERI MEMBUAT PENJELASAN

Bangi - 5 OKTOBER - Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) memohon kepada Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat penjelasan berkaitan isu pembekuan penempatan bagi mahsiswa Fakulti Pendidikan di Institiut Pengajian Tinggi dan Institut Perguruan.

Menurut maklumat yang diperolehi dari rakan-rakan mahasiswa di Universiti Pendidkan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UPSI mengeluarkan kenyataan bahawa semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.

Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa 3 Oktober lalu.

Dalam pada itu katanya, pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia.

Menurut Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuat penjelasan agar mahasiswa terutamanya dalam bidang pendidikan tidak keliru akan isu ini. Hal demikian adalah berkaitan masa depan mahasiswa yang tidak boleh diperjudikan dengan mudah.

Menurutnya lagi, respon yang diterima daripada mahasiswa Fakulti Pendidikan, mereka amat bimbang jika pembekuan penempatan ini benar-benar berlaku. Justeru, GAMIS memohon agar pihak kementerian menjelaskan situasi yang berlaku dengan sebaiknya. Jika tidak, masalah pengangguran di kalangan graduan akan semakin meningkat di negara kita.

Sekiranya tidak ada penjelasan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat, GAMIS akan bertemu menteri bertanggungjawab untuk mendapat penjelasan sebenar agar ianya tidak mendatangkan permasalahan kepada beribu mahasiswa dalam bidang ini.

Thursday, July 9, 2009

KASIHAN MARWA AL-SHERBINI

Sedih melihat kisahnya. Semoga mendapat tempat terbaik di sisi Allah. Wanita yang sedang mengandung ini dibunuh dengan kejam kerana islamiphobia. 18 tikaman ditusuk di badannya. Suami yang bangun ingin mempertahankannya pula ditembak. Perkara ini berlaku kerana pihak pemerintah Jerman yang masih anti Islam. Apa agaknya berlaku kalau yahudi yang dibunuh seperti kes ni? Berita boleh didapati di http://www.eramuslim.com/berita/dunia/ribuan-orang-mengelilingi-pemakaman-pahlawan-jilbab.htm

Apa pandangan anda?

Monday, June 22, 2009

USRAH PELIK BIN AJAIB....

Baru tadi saya berusrah dengan ahli-ahli usrah baru dengan pendekatan yang lebih berbeza. Saya katakan kepada mereka, saya sangat suka membuat eksperimen dalam usrah. Saya suka mengkaji dan belajar tentang psikologi manusia yang pelbagai. Maka saya akan terus dan terus berusrah dengan manusia yang pelbagai sifat dan kedudukan. Namun, belum terlintas dalam diri saya untuk berusrah sebegini pelik. Lepas solat maghrib, saya sempat menekan kekunci untuk mengunjungi beberapa blog. Dengan pelbagai berita yang baru dan menyeronokkan, saya turut terhibur bila berkunjung ke politikbanjar.blogspot.com. Tersentuh hati saya. Ya, Allah, pelik bin ajaib. Usrah bersama dengan non-Muslim. Saya tercabar. Justeru, mulai sekarang saya akan tanamkan azam dan iltizam untuk membuat yang lebih baik dari ini insyaALLAH....



Maklumat lanjut, sila ke

http://pemudacheh.blogspot.com/2009/06/usrah-pas-bagan-datoh-turut-dihadiri.html

Thursday, June 11, 2009

AL-FATIHAH BUAT AMMAR (MESIR)


Al-Fatihah buat junior di Darul Quran JAKIM sebelum ini yang meninggal dunia akibat kemalangan di Mesir. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Saya kenal Ammar dan iltizamnya untuk Islam kerana kami pernah berbincang bersama dan pernah bersama satu keretapi ketika pulang ke kampung ketika belajar di Darul Quran JAKIM dulu. Semoga Allah s.w.t. merahmati rohnya. Ya Allah, bagaimanalah kesudahan hidupku ini pula nanti? Entah bila aku akan mengadapMu. Amalku masih kurang, jihadku masih lompang, namun aku rindukan syurgaMu yang tenang.

"Ya Allah, panjangkan umur kami sekiranya umur yang panjang itu lebih baik untuk kami. Matikan kami sekiranya mati itu lebih baik untuk kami, ameen...."

Boleh rujuk http://muhammadabdullah.blogspot.com/2009/06/tribute-for-ammar.html (blog Syed Muhammad)

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP