Showing posts with label cerita. Show all posts
Showing posts with label cerita. Show all posts

Sunday, October 25, 2009

KISAH SULAIMAN : KASIH ADIK

Sesaja reka cerita rehat minda.....

Kasih adik (sekadar gambar hiasan)


Telefon bimbit diambil tatkala Sulaiman teringatkan ibu bapanya. Mengenangkan perasaan mereka berdua di kampung, Sulaiman mendail nombor bagi menghubungi ibu bapanya. Suara ayahnya menyambut salam kedengaran tatkala telefon diangkat. "Ayah sihat? Macam mana sawah? InsyaAllah dalam dua minggu lagi abang balik, nak tolong ayah di sawah", janji Sulaiman pada ayahnya. Sahutan ayahnya menandakan dia gembira, mengenangkan tulang empat keratnya memang menantikan anak sulongnya itu yang sudah lebih sebulan tidak pulang.

Satu sahaja yang sedang difikirkan Sulaiman ketika itu, bagaimana mahu gembirakan hati ibu bapanya yang kesunyian disamping perjuangannya yang belum selesai. Kekadang, fikirannya terganggu mengenangkan masih banyak yang belum dilakukan untuk mengisi kesunyian kedua ibu bapanya. Ibu bapanya sudah setahun kesunyian setelah adik Sulaiman pergi. Tetiba Sulaiman mengenangkan adiknya itu. Yang selalu dimarahi dan sebagainya. Namun, itulah satu-satunya adik kesayangannya.

Masih terbayang di fikirannya, adiknya itu dimarahi kerana tidak dapat menyelesaikan soalan matematik yang telah diajar Sulaiman. "Lembab la engkau ni!" Kata-kata itu menyebabkan mengalir air mata adiknya, diherdik abang tersayang. Kini, Sulaiman pula yang mengalirkan air mata mengenangkannya. Semuanya tinggal kenangan. Sulaiman menyesal, mungkin kerana keegoannya yang pernah mendapat A1 dalam matapelajaran Matematik Moden ketika SPM dahulu menyebabkan dia seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan adiknya tidak dapat menjawab soalan yang telah diajarnya ketika itu. Sulaiman menyesal.

Pernah satu ketika, Sulaiman membelek penulisan adiknya dalam sebuah buku. Buku yang menjadi diari adiknya.

13 Ogos 2006

Hari ini aku bergaduh dengan abang. Tapi, mungkin ini salahku. Aku menyesal kerana tidak memohon maaf kepada abang. Mungkin kerana egoku besar. Aku rasa bersalah. Aku tahu, tindakan yang abang lakukan kerana sayangkan aku. Maafkan adik abang....

Sulaiman tidak dapat menahan air matanya dari terus jatuh menyembah bumi. Terlalu banyak penulisan yang menunjukkan luahan perasaan si adik yang menunjukkan betapa adiknya itu sayangkan Sulaiman. Tidak pernah dilafazkan kepada Sulaiman, namun hari itu, buku tersebut menjadi saksi.

"Adik, kenapa gunting baju sekolah abang?!!!!" Adiknya pernah dimarahi oleh ibu Sulaiman tatkala si ibu melihat ada kesan koyak di baju sekolahnya. Sulaiman hanya mendengar ibunya marah dari tingkat bawah. Dia hanya mendiamkan diri membiarkan adiknya dimarahi. Sedangkan itu salah dan kelalaian dirinya. Sulaiman tergunting baju tersebut ketika sedang asyik menyiapkan projek Pendidikan Seninya di sekolah. Sulaiman menyesal, tidak sempat membela adiknya.

Sulaiman teringat pula satu kisah yang pernah diceritakan ayahnya. "Ayah pernah bergurau dengan adik sebelum ni. Ayah tanya kepada adik, "adik sayangkan abang tak? Kalau adik sayang, boleh tak ayah ambil duit dalam akaun adik untuk belikan motorsikal untuk abang. Kasihan abang, tak ad kenderaan nak bergerak ke kelas dan masjid di universiti". Adik memberi respon spontan. "Ayah ambillah semua duit adik (kira-kira RM2000 dalam akaunnya). Belikan motorsikal untuk abang". Ayah hanya tersenyum. Bukan begitu hasrat ayah, sekadar bergurau dan nak tengok fe'el adik semata-mata", cerita ayah. Cerita itu menyebabkan sekali lagi air mata Sulaiman menyembah ke bumi.

Ketika adiknya berumur kira-kira 5-6 tahun, dia pernah membonceng basikal di belakang Sulaiman. Sulaiman hanya mahu bergurau tetapi mungkin terkasar. Ketika sedang menunggang basikal ketika itu, sengaja dia menggoncangkan basikal untuk menakut-nakutkan adiknya itu. Dengan takdir Allah s.w.t., jari kaki adiknya menjadi mangsa apabila terkepit antara rantai dan gear basikal. Berlubang jari kaki adiknya itu. Darah mula mengalir, adik kecilnya itu mula menangis. Sulaiman rasa berdosa sangat ketika itu. Dosanya itu membelenggu fikirannya sehingga hari ini.

Kekadang Sulaiman bingung memikirkannya. Dia cuba melupakannya demi perjuangan yang masih belum selesai. Alhamdulillah, kesibukan dan sahabat-sahabat seperjuangan di sisi yang dikasihinya berjaya melupakan kisah adiknya sebentar. Namun, Sulaiman insan biasa. Kekadang bila bersendirian, nostalgia silam menjelma kembali. Sulaiman bingung. Apa yang telah dia lakukan untuk adiknya sekarang? Adakah cukup sekadar melupakannya demi agenda lain?

Yang pasti, Sulaiman sedang memikirkan bagaimana mahu menggembirakan ibu bapanya yang kesunyian. Sulaiman berfikir, mungkin jika dia pulang dan berhadapan dengan kedua mereka dalam keadaan bersedih, luka hati ibu bapanya semakin bertambah kerana bimbangkan dirinya pula. Kekadang dia berpura-pura tidak menghadapi sebarang masalah demi menggembirakan hati ibu bapanya walaupun luka hatinya semakin parah mengenangkan adiknya. Sulaiman terus begitu.... Menjadi penipu di hadapan ibu bapanya...... Demi perjuangan.... Demi menggembirakan ibu bapanya... sehingga kekadang dia terperangkap dengan penipuannya dan langkahnya terkadang terhenti seketika.....

bersambung......

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP