Friday, January 22, 2010

NASIHAT BUAT DIRI SEMPENA PRK...

Apabila tibanya musim Pilihan Raya Kampus (PRK), kita biasa mengasak minda mencari strategi kempen, pengaruh dan sebagainya. Sehinggakan terlalu sibuk berfikir, lupa berzikir. Permasalahan ini menyebabkan sebahagian mahasiswa menganggap PRK perlu dijauhi . Siasah seolah-olah kotor sedangkan matlamat sebenar sisasah amat jelas. Ada pula menganggap, lebih baik kita beruzlah sahaja, lupakan urusan PRK sedangkan ianya adalah soal menguruskan umat. Ke mana kita mahu bawa mahasiswa? Adakah cukup sekadar redha dengan ketidak adilan? Biarkan hak mahasiswa diambil oleh mereka yang tidak sepatutnya?

Artikel ini hanya sekadar ulangan artikel saya tahun 2008 sebagai nasihat kepada diri dan sahabat-sahabat seperjuangan.


*****************************************************


SINERGI ZIKIR DAN FIKIR

“Manusia pada hari ini begitu hebat berfikir. Lihat sahaja berapa ramai yang memiliki rumah besar, kereta besar hasil kekayaan kerana hebat berfikir. Surau ini cantik kerana hebatnya manusia berfikir. Tetapi satu yang perlu dimuhasabahkan sejauhmana kita berzikir. Seramai mana manusia yang akan hadir ke surau ini selepas ini walaupun ianya cantik”.

Kata-kata Ustaz Yusainie sebelum menutup kuliah maghribnya di Surau An-Nur semalam (semasa artikel ini ditulis) menyentuh jiwa saya. Kepala saya terus tertunduk ke bawah mengenangkan terlalu sedikitnya zikir saya kepada Allah. Ditambah pula musim-musim peperiksaan ini (ketika itu), begitu ramai mahasiswa memerah otak berfikir untuk cemerlang dalam peperiksaan tetapi soal zikirnya masih kurang. Lantas saya memikirkan untuk menulis artikel ini sebagai muhasabah diri dan untuk manfaat bersama.

Zikir di sini bukan hanya sekadar zikir selepas solat atau yang disebut dengan bibir akan tetapi segala soal mengingati Allah. Solatnya, doanya, bacaan al-Qurannya dan sebagainya. Jika direnung, adalah menjadi sesuatu yang sangat penting soal untuk menggabung jalinkan zikir dengan fikir. Sebagai contohnya, firman Allah dalam surah Yunus ayat 87 :


Dan kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya (Harun) : "Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu tempat solat dan Dirikanlah olehmu sembahyang serta gembirakanlah orang-orang yang beriman".


Ayat ini menceritakan perihal Nabi Musa dan Harun membawa umatnya berhijrah setelah dihalau dan ditekan oleh Firaun. Maka dengan wahyu dari Allah, Nabi Musa menjadikan beberapa rumah di Mesir sebagai tempat solat. Ulama’ tafsir yang haraki dalam menghuraikan ayat ini menyatakan bahawa, “dalam perjuangan, tidak cukup hanya sekadar strategi dan semangat, tetapi perlu dilengkapkan dengan ‘solat’ “. Huraian tersebut mengingatkan kita betapa penting soal ibadah dan tarbiyyah ruhiyyah disamping menyusun strategi dan sebagainya. Maka jelas kepada kita betapa penting soal zikir dan fikir ini dijana bersama.


Rasulullah, Zikir dan Fikir.


Rasulullah antara manusia yang hebat dalam kepimpinan, banyak strategi dan kuat berjuang. Lihat sahaja peristiwa perjanjian Hudaibiyyah dan peristiwa-peristiwa lain yang jelas menunjukkan kebijaksanaan baginda. Strategi hjrah baginda menggunakan pelbagai posisi manusia dan haiwan sangat mengkagumkan. Baginda sangat sibuk dengan urusan umat namun persoalan zikir tidak sekali-kali diabaikan. Lihat sahaja, tatkala pulang dari gua Hira’ kesejukan kerana pengalaan pertama berjumpa dengan Jibril, Rasulullah meminta Khadijah menyelimutkanya. “Selimutlah aku, selimutlah aku”. Maka Khadijah menyelimut baginda. Turun ayat surah Muzzamil memerintahan baginda bangun menghidupkan malam mengingati Allah sebagai bekalan ruhiyyah dalam menempuh cabaran dalam perjuangan. Dalam peristiwa yang lain, tatkala Rasulullah solat sehingga bengkak-bengkak kaki baginda, isteri tercinta bertanya mengapa baginda sangup bersolat sehingga sedemikian rupa sedangkan baginda sudah dijamin akan masuk ke syurga? Namun baginda menjawab, “salahkah aku hendak menjadi manusia yang bersyukur?"


Sultan Muhammad al-Fatih, Zikir dan Fikir.


Selepas solat jumaat semalam, perbincangan usrah saya dimulai dengan topik berkaitan konsep ibadat oleh Khalil. Selepas semua anak-anak usrah saya memberi respon berkaitan tajuk termasuk berkaitan sains dan ibadat, saya menceritakan kisah seorang tokoh yang sangat saya kagumi iaitu Sultan Muhammad al-Fatih untuk mengaitannya dengan tajuk ibadah yang menjadi topik utama perbincangan hari itu. Sebelum ini, saya hanya mendengar sedikit cerita berkenaan tokoh tersebut termasuk menonton kartun animasi berkenaan dengannya. Entah mengapa bebrapa hari sebelum ini, jejari saya ringan untuk mencari kisah Sultan Muhammad al-Fateh dengan enjin carian Google.com. Maka banyaklah maklumat baru yang saya perolehi yang menginsafkan dan menjadi muhasabah buat saya. Kehebatan beliau dalam fikir dan zikir sangat mengagumkan.


Saya tercari-cari, apakah hebatnya baginda sehingga telah disebutkan oleh Rasulullah dalam hadis, lebih kurang 800 tahun sebelum kelahiran al-Fateh ketika peperangan Khandak :


"..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Akhirnya penulis menemui kisahnya. Ringkasnya, semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fateh telah meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Constantinople. Bahkan baginda terus mengkaji tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan cita-cita umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M, baginda telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Sultan Muhammad Al-Fateh juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah mendapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.


Paling mengkagumkan saya, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera ‘Uthmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata:

"Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"

Dipendekkan cerita, baginda telah berjaya membuka kota Constantinople. Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan selepas pembukaan Constantinople, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Benarlah, baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah di dalam Hadisnya itu, hebat dalam zikir dan fikir.


Kisah Umar Telmesani dan Hassan al-Banna, pengajaran dalam Zikir dan Fikir.


Umar Telmesani adalah bekas Mursyidul Am ketiga Ikhwanul Muslimin. Semasa Hassan al-Banna masih hidup, beliau sempat bersama al-Banna dalam satu perjumpaan di Daqhiliah. Setelah selesai dari pertemuan tersebut, al-Banna pulang ke penginapannya bersama Umar dan masuk ke biliknya. Masing-masing mengambil tempat di katil yang telah disediakan untuk berehat dan tidur. Tidak berapa lama kemudian, al-Banna bertanya kepada sahabatnya Umar, “adalah kamu telah tidur?” maka jawab Umar, “belum”. Setelah beberapa minit, al-Banna bertanya lagi dan soalannya dijawab oleh Umar seperti tadi. Setelah beberapa minit, ditanya lagi soalan yang sama dan dijawab oleh Umar seperti tadi menunjukkan beliau belum tidur. Lalu Umar berkata dalam hatinya, “kalau al-Banna bertanya lagi soalan yang sama kali ini, aku nak berpur-pura tidur”.


Tidak lama selepas itu, al-Banna bertanya lagi soalan yang sama dan kali ini Umar tidak menjawab. Lalu Hassan al-Banna bangun perlahan-lahan dari katil kerana menyangka Umar telah tidur lalu pergi ke bilik air untuk memperbaharui wudhu’nya dan terus ke ruang tamu untuk menunaikan solat tahajjud. Al-banna tidak mahu qiamullailmya diketahui orang. Masya Allah… Saya pernah mendengar cerita kehebatan al-Banna yang selalu menaiki keretapi dan solat jemaah di masjid, daerah berbeza sambil memikirkan masalah umat dan berdakwah siang dan malam. Hebat sekali zikir dan fikir beliau…


Perjuangan Islam : Zikir dan Fikir.


“Kita sangat tumpukan gerak kerja kononnya kerana cintakan Allah tetapi ibadah yang kita lakukan tidak menunjukkan kita sebenar-benarnya cintakan Allah. Solat kita bagaimana. Tahajjud kita entah ke mana. Betulkah kita bergerak kerja kerana cintakan Allah?” kata-kata Kak Na dalam satu liqo’ tarbiyyah beberapa bulan yang lalu menggoncang hati saya. Satu muhasabah yang menaikkan bulu roma saya. Allahuakbar…..benar, kekadang kita mengakui bahawa kita sudah berjuang dan berkorban kerana cintakan Allah, akan tetapi ianya tidak terjelma dalam ibadah kita. Mungkin ada sedikit masalah dalam hati kita. Bukan kerana jalan perjuangan yang tidak benar, akan tetapi masalah hati yang mengundang musibah. Masalah sebeginilah akhirnya membawa fitnah kepada jalan dakwah dan perjuangan Islam.


Adalah kita hendak mengadap Allah dalam keadaan sedemikian? Mengadap Allah dengan muka yang tebal mengakui, “aku telah bersusah payah, berjaga malam merancang strategi dan bergerak kerja untukMu Ya Allah….” Tetapi dalam masa yang sama Subuh entah ke mana? Tahajjudnya semakin jauh. Al-Quran ditinggalkan…… Alangkah takutnya kita sekiranya catatan amalan dan gerak kerja kita akan dicampakkan Allah ke muka kita kerana masalah-masalah hati yang berpenyakit. Apakah zikir kita terabai kerana kita terlalu banyak berkorban untuk berfikir? Adakah pengorbanan, sibuk dan fikir kita lebih daripada Rasulullah? Adakah strategi kita lebih hebat dari Sultan Muhammad al-Fateh? Adakah letihnya kita dalam perjuangan mengatasi al-Banna? Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah…….

Sesungguhnya, orang-orang beriman itu diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran :


“Orang-orang yang berZIKIR (ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Dan mereka berFIKIR tentang apa yang diciptakan Allah seraya berkata, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya segala ciptaanMu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari azab neraka…”


Konklusi


Dengan ZIKIR, diharapkan ianya mejadi bekalan bagi kita yang bercita-cita untuk menjadi murabitun agar tidak menjadi mutasaqitun di jalan dakwah. Semoga Allah mengampunkan kita disamping kita mampu meningkatkan FIKIR dan memperkasakan ZIKIR sebagai bekalan dalam perjuangan Islam. FIKIR bukan alasan untuk meninggalkan ZIKIR, ZIKIR bukan alasan untuk melupakan FIKIR….


" Ya Allah, ampunilah kami hambaMu yang dhaif lagi hina, tetapkanlah hati-hati kami di atas landasan perjuangan agamamu.... Ameen..."


Wallaua’lam…..

4 comments:

Saladin86 January 23, 2010 at 6:43 PM  

Allahu akbar...barakallahu fik...ulasan mengenai zikir n fikir oleh ust mmg benar2 mnyentuh hati saya n memuhasabah diri saya..semoga peringatan ni menjadi satu tazkiyatun an-nafs bagi diri saya..

Azan Safar... January 24, 2010 at 9:00 PM  

sokong.. Manakan turun pertolongan Allah seandainya kita tidak menjaga hak-hakNya yang seharusnya kita jaga..

Sabda Nabi "Ihfazillah Yahfazka"

"Kamu 'jaga' Allah, Allah akan jaga kamu"

Siiru 'ala barakatillah..

jagung January 27, 2010 at 1:57 AM  

InsyaAllah Hebat dalam bergerak kerja PRK..
Lebih hebat dalam pergantungan dan amalan...

aisya March 27, 2010 at 12:56 PM  

salam us, tlisan us amt mnyth ati ana, anan nk cpy tzkrh us utk bt pkrgsian dng shbt2 lain...arap us halalkan..k,syukran, wslm

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP