MENANTI DISKUSI PASCA MALAYSIA BARU ALA NAJIB
Diskusi Intelektual yang masih menjadi fantasi
Sebagai 'future leader', mahasiswa tidak boleh memandang enteng soal pentadbiran dan halatuju negara. Mahasiswa perlu cakna dengan perkembangan dan kesan terhadap rakyat. Walaupun masih di alam universiti, perkembangan semasa perlu diketahui. Ditambah pula dengan sosiopolitik Malaysia hari ini yang memecut laju, idealisme mahasiswa tidak boleh ketinggalan di belakang. Apa sahaja boleh berlaku hari ini. Semalam kata lain, hari ini buat lain dan esok lain yang berlaku. Jika pemikiran mahasiswa masih belum melaju, Malaysia akan ketinggalan pada masa akan datang.
Atas hakikat ini, penulis dahagakan diskusi intelektual berkaitan kerajaan baru di bawah pimpinan Dato' Seri Najib. Diskusi yang diharapkan lebih besar skopnya dari debat minyak dato' Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri penerangan sebelum ini. Diskusi yang panelnya diwakili Menteri atau Timbalan Menteri yang baru. Lagi baik sekiranya pihak kerajaan diwakili Perdana Menteri baru. Tidak cukup sekadar itu, barisan panelis turut dibarisi pihak pembangkang, ahli akademik dan pimpinan mahasiswa.
Kerajaan
Relevannya panelis diwakili kerajaan agar rakyat tahu apakah dasar kerajaan baru. Penulis yakin, ramai yang masih belum faham semasaknya apakah maksud slogan Dato' seri Najib, " Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Rakyat juga ingin tahu apakah Dasar Ekonomi Baru yang sangat dipertahankan oleh UMNO akan diteruskan? Apakah jaminan kepimpinan baru dalam membawa Malaysia ke arah negara yang aman dan selamat? Demokrasi selepas ini bagaimana? ISA? Kebebasan media? Dan lain-lain lagi....
Pembangkang
Wakil pembangkang sangat diperlukan sebagai 'check and balance'. Hal demikian bagi memastikan slogan yang dilaungkan tidak sekadar retorik. Penilitian dan pandangan pihak pembangkang juga bagi memastikan kesahihan apa yng dicanagkan pihak kerajaan selari dengan tindakan pasca pemerintahan baru ini. Hal demikian juga bagi memberi ruang pihak pembangkang membawakan persepsi awal mereka setelah meneliti tindakan kerajaan dato' Seri Najib. Pandangan pihak pembangkan seperti mengatakan pembebasan 13 tahana ISA dan penggantungan Harakah dan Suara Keadilan sebagai gimik popular Dato' Seri Najib, nama Dato' Seri Najib belum dibersihkan dari kes pembunuhan Altantuya, Dato' seri Najib adalah boneka Tun Mahathir, berlaku sikap 'double standard' dalam pemilihan kabinet baru dan sebagainya. Peluang sebegini dinantikan rakyat untuk melihat respon masing-masing.
Ahli Akademik
Pandangan ahli akademik sangat berpengaruh kepada rakyat pada hari ini. Hal demikian kerana rakyat sudah bijak memilih dan inginkan penjelasan yang tepat dan fakta yang lengkap. Pandangan mereka sangat diperlukan selaku kumpulan ilmuwan yang tidak bersifat kepartian tetapi mengutamakan kebenaran. Mungkin pihak kerajaan akan mengemukan pandangan yang boleh memberikan kebaikan dan mengambil peluang mendapat sokongan politik kepada rakyat. Begitu juga pandangan dari pihak pembangkang. Namun, sebagai golongan yang menjaga amanah terhadap ilmu yang dimiliki, diharapkan mereka mampu memberikan pandangan terbaik.
Mahasiswa
Suara mahasiswa sebagai golongan bijak pandai juga harus didengar. Mahasiswa berhak memberi pandangan di samping saranan dan harapan. Mahasiswa harus diberi ruang dan peluang untuk membawa idealisme sendiri. sedikit sebanyak, hal sedemikian dapat melatih 'future leader' yang dinantikan masyarakat akan datang. suara mahasiswa juga penting untuk menunjukkan mahasiswa sentiasa bersama rakyat dalam meperjuangkan hak, keadilan dan kemakmuran. Mungkin ada pandangan mahasiswa yang boleh diberikan dalam penambah baikan sistem ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan sebagainya.
Rakyat sebagai hakim
Setelah dinilai baik dan buruk, rakyatlah sebagai hakim untuk membuat pilihan. Hal sedemikian agar rakyat tidak lagi dipermainkan oleh politik kotor sesetengah pihak yang mahu memperbodohkan mereka. Rakyat berhak mengemukakan pandangan dan saranan demi kebaikan bersama.
Mungkin ada yang berpandangan, sudah ada program-program sedimikian di kaca televisyen, tetapi ianya masih ada batasan yang disekat untuk kepentingan pihak tertentu. Namun, apakah diskusi sebegini hanya sekadar fantasi atau akan berlaku secara realiti? wallahua'lam...
0 comments:
Post a Comment