Friday, March 13, 2009

TARBIYYAH : MAHU VS PERLU

budak_baru_belajar: sekadar renungan wat dirimu yg bergelar urusetia tamrin... kau mahu mematikan ego peserta, apakah ego dihatimu mati apabila kesilapanmu ditegur peserta? kau mahu peserta ikhlas ditarbiyyah, apakah apakah dirimu ikhlas ketika mentarbiyah? kau mahu peserta merasakan susah dalam perjuangan, apakah kau meletakkan dirimu dalam kesusahan yg sama?

blurz: per slhnyer 'dak bru blaja' nk luahkn prasaannyer...huhu, teruskn..nk jd da'ie telinga kne tebal

Tersenyum penulis membaca luahan pembaca di shoutbox hari ini. Terima kasih kerana memberi rangsangat dan motivasi untuk menulis artikel ini. Luahan tersebut membuktikan generasi tarbiyyah pada hari ini masih memiliki insan berfikiran kritikal yang sangat diimpikan, bukan hanya melahirkan "yes man" yang hanya mampu mengangguk kerana malas berfikir. Alhamdulillah, kedua-duanya adalah aset penting untuk Islam. Semoga ianya menjadi motivasi berguna untuk insan dhaif ini.

Apa yang penulis ingin simpulkan di sini, betapa pentingnya "perlu" diutamakan dari "mahu" dalam konsep tarbiyyah ini.

Kepada Sang Murabbi



"Kamu kena ingat, hendak menjadi pendidik bukan mudah. Tidak cukup dengan berjiwa mu'allim, kena ada muaddib, murabbi an muhazzib".

Demikian pesanan Ustaz Mahmud Zaim, kepada penulis dan sahabat, Faisal. Ustaz Mahmud adalah murabbi kami di Kedah ketika masih bertatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Banyak cerita yang dikongsi bersama kami sehingga hari ini.

Ketika mana menjadi murabbi, penting untuk mengutamakan "perlu" dari "mahu". Secara normalnya, manusia tidak suka dibenci. Namun, dalam mentarbiyyah, kekadang apa yang dimahukan itu perlu dikorbankan kerana ada sesuatu yang lebih perlu.

Renungi kisah Nabi Musa dan Khidir, ketika mana Nabi Musa menimbulkan persoalan tentang beberapa tindakan Khidir (membocorkan perahu si miskin, membunuh kanak-kanak dan lain-lain), Khidir tidak menjawab. Hal demikian kerana beliau tahu keperluan untuk tidak menjelaskan hal demikian ketika itu walaupun tindakannya boleh menghilangkan kepercayaan Nabi Musa kepadanya dan menimbulkan kemarahan Nabi Musa.

Dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah s.a.w. tetap teruskan perjanjian tersebut walaupun ramai sahabat seolah-olah tertanya-tanya tindakan baginda. Zahirnya, pada pandangan sahabat, tindakan Rasulullah s.a.w. seolah-olah mengundang musibah kepada umat Islam. Hakikatnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui. Pandangan Rasulullah s.a.w. lebih jauh ke depan berbanding para sahabat ketika itu, sehingga terbukti dengan kemasukan ramai kaum Quraish dalam agama Islam dan pembukaan Kota Makkah.

Sesuatu yang perlu para murabbi menghayati ialah :

"Manusia hanya menghukum yang zahir, Allahlah yang menghukum yang tersembunyi."



Dalam hal ini, pandangan Allah s.w.t. lebih diutamakan. Dalam pada masa yang sama, penulis tidak menafikan betapa pentingnya murabbi mempertimbangkan pandangan dan tahap pemahaman dan pemikiran mad'u. Pendakwah dan murabbi harus tabah menghadapi persepsi mad'u. Yang penting, matlamat jelas dan kita sanggup mengorbankan sedikit maslahah yang bersifat sementara demi maslahah jangka panjang yang lebih besar dan berkekalan.

Korbankan sedikit maslahah sementara, demi maslahah yang lebih besar mendatang.

Marhalah-marhalah dalam tarbiyyah harus dikuasai oleh murabbi dalam menyusun strategi. Pendekatan marhalah pertama mungkin berbeza dengan pendekatan marhalah seterusnya. Ianya sememangnya perlu berubah mengikut keperluan semasa. yang penting, "perlu" mesti diutamakan dari "mahu".

Teringat dulu-dulu, penulis pernah menerima kritikan seorang anak usrah melalui sms ketika penulis sedang membajak di sawah. Tersenyum penulis membacanya ketika itu. Dalam pemikiran penulis "dia akan menjadi insan yang memiliki pemikiran kritikal satu hari nanti". Alhamdulillah, hari ini penulis seronok melihatnya hasil berdikari dan usahanya sendiri. Semoga dia akan menjadi insan hebat yang terus membawa amanah besar meletakkan Islam di tempatnya.

Ada sekumpulan anak usrah penulis yang penulis letakkan target mentarbiyyah mereka selama 10 tahun dalam fikiran penulis. Maka, penulis perlu menyusun pendekatan berbeza. Mana mungkin transformasi fikrah yang mahu dibentuk hanya dengan pendekatan yang statik. Justeru, pendekatan berbeza ini memerlukan pengorbanan. Risikonya, penulis akan dibenci pada ketika klimaksnya kerana pendekatan yang mungkin "pelik" dari kebiasaanya atau sebelumnya. Namun, penulis tetap perlu utamakan "perlu" dari "mahu" kerana mempertimbangkan perlunya"dikorbankan sedikit maslahah sementara, demi maslahah yang lebih besar mendatang".

Inilah risiko yang kita tidak "mahu". Namun,sebagai murabbi, kita tetap "perlu" infaqkan diri walaupun risikonya ialah kita akan dibenci.

Buat insan yang masih menagih tarbiyyah.

"Semua manusia perlukan tarbiyyah walau siapapun sama ada peserta, urusetia dan termasuk saya sendiri "

Ungkapan Ustaz Taufik satu ketika dahulu ketika penulis dan sahabat-sahabat diprogramkan. Kata-katanya ketika itu menusuk kalbu kami sehingga hampir menitiskan air mata. Kata-kata tersebut mengingatkan penulis agar tidak merasa cukup dengan tarbiyyah yang ada dalam diri. Maka penulis masih perlu mengutamakan "perlu" dari "mahu".

Hati mungkin mahukan kesenangan, kekenyangan, kemewahan, keseronokan dan sebagainya. Namun tarbiyyah mungkin menafikannya demi survival perjuangan yang penuh dengan ranjau berpanjangan. Syurga Allah perlu dibayar dengan harga yang mahal. Maka tarbiyyahlah bekalannya. Andai dalam tarbiyyah kita mengharapkan ianya mengikut ke"mahu"an kita, maka kita bimbang kita tidak mampu menghadapi dunia realiti dalam perjuangan hidup.

Konklusi


Kekadang posisi kita sebagai yang ditarbiyyah, maka pandangan kita adalah dari posisi kita. Kekadang posisi kita bertukar kepada pentarbiyyah, maka pandangan kita dari posisi pentarbiyyah. Hidup ini ibrat roda yang berputar. Posisi kita juga akan bertukar. Ketika itu kita akan memiliki kedua-dua pandangan mengikut posisi. Biar di manapun posisi kita, maka utamakanlah "perlu" dari "mahu".

Sememangnya tarbiyyah adalah ke"perlu"an, dan ianya berlawanan dengan ke"mahu"an hati kerana apa yang kita "mahu" mungkin tidak baik untuk kita. Akan tetapi, hakikatnya apa yang "perlu" itu lebih baik untuk kita. Sebagaimana firman Allah :

"Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia tidak baik untuk kamu" (al-Baqarah : 216)

Semoga Allah tetapkan kita dalam hidayahnya dan bersama perjuangan Islam sehingga akhir hayat. Aminn...



1 comments:

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid March 13, 2009 at 9:54 AM  

salam..
terharu baca email ni..
smg ana trus jd anak didik abg smpi bile2..
smg Allah thabatkan hati kita di jalan Nya..
smg Allah sntsa bg kekuatan dan iringi perjuangan kita semua hingga akhir hayat..amin..
slm juang dr adikmu

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP