Tuesday, March 24, 2009

KERAKUSAN POLITIK KEPARTIAN YANG MELAMPAU : MEROBEK DEMOKRASI MALAYSIA

Beberapa peristiwa yang sedang dan akan berlaku menyebabkan berlaku pencabulan terhadap demokrasi di Malaysia. Isu tindakan tatatertib terhadap Ali Rustam dan Datuk Norza, pergolakan dalam wanita Umno, tekanan terhadap Khairy selaku calon ketua pemuda Umno, perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, ketidakpuasan terhadap calon PKR Bukit Selambau dan sebagainya. Tak tertaip penulis di sini.



Terbaru, tindakan pergantungan dua akhbar iaitu Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan merupakan satu lagi pencabulan demokrasi. Apa yang ingin penulis tekankan di sini, rakyat sudah muak dengan politik sedemikian. Tindakan sedemikian menunjukkan seolah-olah Umno dan BN takut kepada bayang-bayang sendiri. Umno dan BN akan dianggap pengecut kerana dalam keadaan kekuatan jentera mereka termasuk jentera kerajaan yang disalahgunakan untuk kepentingan parti, mereka masih mahu melakukan ketidak adilan secara terang terangan.





Menurut akhbar Berita Harian :



Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, ketika mengesahkan perkara itu berkata, tindakan berkenaan tidak dapat dielak kerana kedua-dua akhbar didapati memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin.



Pada pandangan penulis, alasan yang diberikan masih belum konkrit. Jika benar terdapat fakta yang diputar belitkan, mengapa Umno dan BN tidak menjawab kembali dengan fakta mereka yang kononnya betul? Mengapa tidak diperdebatkan isu-isu yang dibawa? Apa yang jelas di sini, Umno dan BN menganggap Harakah dan Suara Keadilan sebagai ancaman kerana boleh menghuru-harakan pemimpin-pemimpin mereka dengan pembongkaran-pembongkaran salah guna kuasa dan politik wang terutamanya ketika hampir dengan Perhimpunan Agung Umno dan peralihan kuasa Perdana Menteri. Umno dan BN dilihat bacul dan pondan apabila bertanding dalam tiga pilihan raya kecil dalam keadaan bisa lawan dicabut terlebih dahulu.




Apa yang paling penulis risaukan, pemikiran rakyat hendak dilesukan dengan hanya mendapat maklumat dari media berat sebelah yang merupakan jentera kerajaan yang disalah gunakan. Minda masyarakat yang tidak berpeluang mengakses internet sebagai salah satu medium lain akan dilemahkan. Minda rakyat akan lebih terbuka sekiranya mendapat sumber yang pelbagai. Biar rakyat yang membuat keputusan, berita dan fakta mana yang mahu diterima. Penulis juga kurang bersetuju jika pemuda hari ini hanya membaca Harakah dan Suara Keadilan kerana minda mereka masih kurang berkembang. Kemampuan minda untuk menganalisa berita dan fakta amat penting.



Peristiwa perjanjian Hudaibiyyah sebagai buktinya. Apabila ruang komunikasi antara orang Islam dan Quraisy dibuka, begitu ramai yang memeluk Islam dalam masa yang singkat. Apabila bertembungnya hak dan batil, akhirnya hak tetap akan tertegak. Mungkin ini yang ditakuti oleh Umno dan BN. Biar apapun tindakan yang diambil, aktivis dan pejuang tidak harus hilang semangat. Kita harus menjadi seperti yang air yang mengalir, disekat di kiri, kita ke kanan. Disekat di kanan, kita ke kiri. Disekat di bawah, kita ke atas dan sebagainya. Cuma apa yang dilontarkan di sini hanya sekadar simpati dan empati kepada rakyat. Teringat penulis kepada kisah yang diceritakan dalam al-Quran, memang firaun suka rakyatnya bodoh agar dia mudak memperbodohkan mereka dengan kuasa yang ada.




Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan artikel penulis pada kali ini. “Ustaz tak boleh berpolitik…., syeikh, anta tak boleh macam ni….. dan sebagainya…. “ Inilah mungkin respon yang akan diterima selepas ini. Maka penulis akan menjawab sebelum ditanya dengan membawakan ayat al-Quran dari surah al-Hujurat, ayat ke-9 :



“Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai mereka menurut kembali pada perintah Allah. kalau dia Telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil”



0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP