Thursday, March 5, 2009

PPSMI : BERSAMA BANJIRI KUALA LUMPUR 7 MAC


Mengapa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ditolak? Ada yang menganggap mereka yang menolaknya adalah jumud dan mengikut emosi sedangkan kajian kesan perlaksanaannya dan kajian mengikut undang-undang telah dibuat.



Pelaksanaan PPSMI tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.



Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.



Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".



Berasaskan kepada kehendak perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996), adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu.



Kajian dari beberapa pakar hasil PPSMI adalah negatif. Hal demikian adalah kajian terhadap pelajar-pelajar dan guru yang mengajar matapelajaran tersebut. Apatah lagi pelajar-pelajar luar bandar. Laporan pakar-pakar pendidikan luar negara dan UNESCO menunjukkan bahawa perubahan bahasa pengantar dalam keadaan kanak-kanak masih belum menguasai bahasa ibunda akan memburukkan prestasi pembelajaran mereka.



Ini kerana kanak-kanak seharusnya menggunakan bahasa yang mereka paling fahami untuk tujuan
belajar supaya mencapai keberkesanan pembelajaran yang optimum, terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, sekalipun menggunakan bahasa ibunda, kedua-dua mata pelajaran ini masih menjadi satu masalah untuk dikuasai sepenuhnya, maka sekiranya bahasa asing yang mereka kurang biasa dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik,sudah pasti menjejaskan keberkesanan pembelajaran dengan teruk sekali.

Kajian luar negara membuktikan bahawa penggunaan bahasa kedua atau bahasa selain daripada bahasa ibunda dalam peringkat awal persekolahan akan membawa kesan negatif terhadap perkembangan daya pemikiran kanak-kanak dan menyebabkan kemerosotan prestasi akademik dalam mata pelajaran Sains,Matematik dan bahasa. Maka, kepentingan pendidikan bahasa ibunda amat ditegaskan oleh pakar-pakar pendidikan luar negara dan UNESCO.



Di negara kita, beberapa laporan juga membuktikan keberkesanan pendidikan bahasa ibunda dalam proses pengajaran dan pembelajaran:



Satu kajian mikro yang dilaporkan oleh Yayasan Strategik Sosial, sebuah badan di bawah kelolaan Malaysian Indian Congress (MIC) pada 23September 2002 menunjukkan bahawa murid-murid India di SJK(T) yangberasal daripada keluarga berpendapatan rendah mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang berbanding dengan murid-murid India di SKyang mempunyai latar belakang keluarga yang sama.



Data yang dikemukakan pada Mac 2002 dalam Laporan Jawatankuasa Bebas Siasatan Isu Pengasingan Pelajar Mengikut Kaum di Sekolah yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pencapaian murid-murid Melayu di SK lebih cemerlang berbanding murid-murid Melayu diSJK(C) dalam UPSR setiap tahun.Kedua-dua laporan tersebut membuktikan keberkesanan pembelajaran kanak-kanak dengan menggunakan bahasa ibunda, maka, kerajaan tidak harus menukarkan bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris.




Selain golongan sasterawan dan pencinta bahasa yang diketuai oleh bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad sebagai pengerusi Gabungan Membantah PPSMI ini, gabungan ini menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena).

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.



Apa yang perlu difahami, kita tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris tetapi sistem dan cara yang dilaksanakan kurang tepat. Justeru, ayuhlah turun pada 7 Mac ini untuk tunjukkan sensitiviti kita kepada masyarakat akan datang.



0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP