JANGAN HANCURKAN MALAYSIA DENGAN MEMANDANG REMEH ISU PRK...
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 30 menjadi kefahaman kita bahawa Allah s.w.t. menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi. Inilah tugas besar manusia yang tidak boleh diabaikan. Menjadi tanggungjawab manusia untuk memimpin dunia kea rah kebaikan, keadilan dan kesejahteraan. Dalam berbicara mengenai “future leader” di Malaysia yang kita cintai ini, mahasiswa menjadi manusia yang bertanggungjawab memikirkan soal amanah untuk memimpin negara untuk masa akan datang.
Penulis tertarik dengan pandangan Stephen R. Covey dalam bukunya yang terkenal, “The Seven Habits of Highly Effective People”, tabiat ketujuh yang dihuraikan beliau ialah “sharpen the saw”. Apa yang perlu kita lihat, kepimpinan mahasiswa di kampus harus diasah dengan sebaiknya. Corak kehidupan dan pergerakan mahasiswa pada hari ini menentukan keadaan Malaysia akan datang. Pada pandangan penulis, Pilihanraya Kampus (PRK) adalah salah satu platform penting yang tidak seharusnya diperkecilkan nilainya dalam konteks “sharpen the saw” ini .
Sedih memerhatikan sebilangan mahasiswa yang masih menganggap PRK hanya sekadar suatu benda kecil yang tidak mendatangkan kebaikan kepada mahasiswa dan pembinaan negara akan datang. Hal demikian kerana sikap individualistik dan “aku tak pedulisme” yang tinggi. PRK seharusnya dilihat sebagai medan pembinaan intelektual, softskill dan jati diri yang tinggi. Ianya sangat penting dalam memikirkan halatuju Malaysia akan datang.
Soal pemilihan kepimpinan juga tidak boleh dipandang pemeh oleh mahasiswa. Seandainya pemimpin boneka bagi sesetengah golongan dipilih, maka anda telah memilih pemimpin Malaysia yang tidak berprinsip pada masa akan datang. Jika anda memilih pemimpin yang menyeleweng di kampus, anda telah memilih pemimpin Malaysia yang akan menjual rakyat dan negara dengan harga yang murah pada masa akan datang. Jika anda memilih pemimpin yang mengamalkan nepotisme, anda seolah-olah sedang memilih untuk melihat masyarakat Malaysia akan didiskriminasikan demi golongan tertentu.
Kepada aktivis mahasiswa, teruskan perjuangan walau dkritik hebat golongan yang pendek akal. Kita inginkan mahasiswa yang mempunyai jati diri yang tinggi untuk memimpin dan mampu berdikari walau hanya dengan kapasiti sebagai mahasiswa. Revolusi di Thailand pada 1930-an telah membuktikan kekuatan mahasiswa untuk merubah sistem pentadbiran negara. Revolusi Iran 1979 juga menunjukkan mahasiswa mempunyai jati diri yang tinggi. Kebangkitan di Algeria pada 1960-an dan Afghanistan pada 1989 menonjolkan kekuatan mahasiswa. Bahkan perjuangan mahasiswa di Indonesia dan Malaysia satu ketika dahulu juga membuktikan bahawa mahasiswa tidak sekali-kali redha negara diperkotak-katikkan oleh penjajah.
Ayuh, semarakkan laungan “student power”! Semua mahasiswa harus memainkan peranan yang penting selari dengan misi dan visi yang jelas. Perkasakan solidariti tidak mengira bangsa, ideologi dan posisi kita demi menjana perubahan. Teori functional menyebut berkaitan setiap individu mempunyai peranan masing-masing. Tidak kira kita sebagai pimpinan gerakan mahasiswa atau aktivis, kita perlu bergerak seiringan,memimpin perubahan.
0 comments:
Post a Comment