Saturday, October 11, 2008

KEHEBATAN ORANG LAIN DIAKUI, KELEMAHAN DIRI DIPERBAIKI

"Eleh. nak tazkirah orang pulak, bukan aku tak kenal dia tu...”, ”hahaha, nak buat blog konon...”, tak payah buat la benda tu, kami pun dah cuba dulu, tak boleh…”, ”berlagak je lebih, bukan hebat pun”......

Satu lagi virus ukhwah yang menempel dalam hati insan lemah seperti kita yang perlu dinyahkan segera ialah hasad dengki. Kekadang kita tidak senang melihat sahabat kita lebih baik dari kita. Kekadang kita suka melihat sahabat kita lebih buruk dari kita. Paling sedih, ada yang tidak kisah andai dia tertewas, yang penting sahabatnya juga tertewas bersama, itu lebih baik baginya.

Egois

Pantang melihat orang lain lebih, ada sahaja kritikannya. Bahkan tidak pula diiktiraf kelebihan orang lain. Walaupun hakikatnya, kelebihan tersebut terselah, namun hatinya tidak merela bibir berkata, ”wah hebatnya!”. Biasanya yang disebut, ”eleh, idealistik la kononnya”, ”biasa je aku tengok dia tu” dan sebagainya...... Virus ini juga menyebabkan seseorang sahabat membenci dan menjauhi kita. Virus ini juga merebak dalam sesebuah organisasi sehingga menyebabkan kurangnya kreativiti serta ijtihad-ijtihad kecil yang baru tidak subur dalam perancangan serta gerak kerja organisasi. Senioriti dan pengalaman juga menjadi faktor virus ini merebak kekadangnya. Kekadang juga, bekas-bekas pimpinan sesebuah organisasi tidak sanggup mengakui kehebatan dan kebaikan adik-adik pimpinan yang baru. Mungkin tidak mahu kehebatan mereka ditenggelamkan oleh adik-adik yang dianggap makan garam lebih lewat daripada mereka. Ayat ini juga ditujukan untuk diri penulis yang satu ketika dahulu pernah memimpin sesebuah organisasi supaya jangan ego dengan apa yang dimiliki ketika berhadapan dengan adik-adik.

Raikan Perbezaan Kemampuan

”Kamu ni, berucap pun macam itik”, ”apesal laporan kamu ni macam budak tak masuk tadika”, ”ini semua kau punya pasal, lembab. Kan kita dah kalah 6-0”, ”takkan nak edit photoshop pun tak tahu?”.......mengapa ayat-ayat sebegini kita selalu gunakan dalam bergerak kerja dalam satu pasukan? Adakah dengan hanya sedikit kelebihan yang Allah s.w.t. kurniakan, kita boleh memperkecilkan orang lain?


”Dah nak kahwin?” terkejut Firdaus Mokhtar menerima sms dari seorang sahabatnya yang buta. ”Eh, macam mana dia boleh taip sms, bos (gelaran panggilan penulis kepada Priseden ISIUKM itu) dalam keadaan buta? Subahanallah...”kata penulis kerana kagum dengan peristiwa tersebut. Firdaus terkejut kerana sahabatnya tadi sudah bertemu jodoh awal daripada dirinya. Penulis pula terkejut kerana mengenangkan seorang buta yang mampu menghantar sms. ”Entahlah, dah banyak kali ana berbalas sms dengannya dulu,”cerita bosku itu lagi. Subahanallah....


Apa yang perlu kita sedari, setiap manusia ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kekadang seseorang sahabat kita mungkin lemah satu aspek berbanding kita, tetapi mungkin dia memiliki sepuluh aspek laik yang lebih baik dari kita. Sebagai contoh, kebiasaannya, orang yang rajin dan baik dalam penulisannya, kurang minat untuk menyampaikan pidato atau kurang baik pidatonya. Tetapi orang yang suka dan baik pidatonya, kurang rajin dan kurang baik penulisannya. Allah ciptakan manusia ini dengan begitu baik sekali, masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Inilah yang menjadikan sesebuah organisasi itu baik serta lengkap melengkapi.


Think win-win


Penulis tertarik dengan ideal Stephen R. Covey dalam bukunya, ”7 Habits of Highly Effective People”. Tabiat yang keempat yang dbincangkan oleh Covey dalam bukunya itu ialah “think win-win”. Selalunya, kita lebih cenderung kepada situasi win-lose (menang-kalah). Jarang sekali kita cenderung kepada situasi win-win (menang-menang).


Kita lebih cenderung mahukan diri kita dipandang tinggi walaupun melihat sahabat kita dipandang hina. Kita lebih berminat untuk sembunyikan ideal dan ilmu yang dimiliki, kerana ”takut” orang lain memandang tinggi kepada sahabat kita berbanding diri kita. Kita pentingkan kecemerlangan diri sendiri semata-mata dan tidak kisah seandainya sahabat kita gagal. Paling buruk, situasi win-lose ini bermaharajalela dalam diri kita sehingga kita sanggup merancang untuk sabotaj dan menjatuhkan sahabat kita sendiri demi kepentingan peribadi.


Marilah kita ke arah situasi win-win, dengan berpandukan ukhwah Islamiyyah. Jika kita hendakkan kejayaan, kita juga mesti berusaha bersama-sama dan membantu sahabat kita mencapai kejayaan. Jika kita mahu menjadi manusia yang hebat, jangan lupa untuk membantu dan bersama dengan sahabat-sahabat kita supaya mereka juga menjadi orang yang hebat. Yang penting, kita perlu kenal siapa kawan, dan siapa lawan untuk menyesuaikan keadaan win-win dan win-lose.

Rumusan

Semoga kita mampu memperkasakan organisasi dan jentera dakwah serta hidup bersama dalam kemanisan Ukhwah Islamiyyah berpandukan apa yang dipesan oleh Said Hawwa untuk kita akui kehebatan orang lain dan dalam masa yang sama kita berusaha memperbaiki diri kita sendiri. Pesanan ini juga ditujukan khas buat diri yang dhaif ini...wallahua'lam...

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP