Thursday, September 4, 2008

UKHWAH : SUMBER MOTIVASI

Tatkala wafatnya Rasulullah s.a.w., para sahabat begitu sedih. Saidina Umar antara yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa Baginda telah wafat kerana terlalu sayangkan Rasulullah s.a.w. sehingga beliau mengisyhtiharkan, barang siapa mengatakan Muhammad telah mati, dia akan mati. Sayangnya para sahabat terhadap Baginda tidak terhingga. Namun datang seorang sahabat yang sangat tinggi ketabahannya walaupun beliau juga sangat rapat dan sayangkan Rasulullah s.a.w. iaitu Saidina Abu Bakar yang bertindak meneutralkan para sahabat yang sedang sedih. Beliau memberi motivasi kepada para sahabat dengan katanya, ”barangsiapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah bahawa Muhammad telah wafat, dan barangsiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak akan mati”. Saidina Abu Bakar menambah dengan membacakan ayat dari Surah Ali Imran :

”Dan Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah s.w.t. sedikit pun. Allah s.w.t. akan memberikan balasan kepada orang yang bersyukur”.

Saidina Umar pernah menggambarkan bahawa apabila dibacakan ayat tersebut, mereka seolah-olah baru tersedar. Seolah-olah inilah kali pertama mereka mendengar ayat tersebut. Maka ketahuilah Saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lainnya bahawa Rasulullah telah wafat. Demikianlah sirah yang dicatat oleh Mustafa Siba’ie dalam kitab sirahnya yang selalu penulis ceritakan tatkala bersama usrah, ketika sesi ceramah dan pengisian untuk menggambarkan kehidupan para sahabat yang begitu hebat. Benar, sememangnya ukhwah adalah salah satu sumber motivasi.

Memang sudah lama jari-jari ini tidak menaip untuk meng”up date”kan blog ini terutamanya setelah lap top yang menjadi teman setia telah dicuri orang. Teringat lagi peristiwa beberapa minggu lalu, tatkala diri ini lemah kerana kurang sihat, Allah s.w.t. uji dengan kehilangan lap top serta dompet yang berisi sedikit wang beserta kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, kad pelajar UKM dan lain-lain benda yang turut menghuni dompet penulis. Yang ditinggalnya hanyalah wang sejumlah RM1.30. ”Baik juga pencuri ni, tinggalkan sedikit untuk aku”, fikir penulis. Apapun, penulis tidak melenting kerana yakin itu adalah kaffarah dari Allah s.w.t. Alhamdulillah, Allah s.w.t. beri kaffarah di dunia, moga-moga terampun dosa-dosa penulis yang masih banyak. Mungkin itu rezki si pencuri. Penulis sangat yakin, setiap yang Allah s.w.t. berikan, pasti ada hikmahnya.

Apalah nilainya lap top dan barang-barang yang hilang itu berbanding ukhwah yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada penulis. Anak buah usrah dan sahabat-sahabat seperjuangan lebih bernilai di sisi penulis. Mereka selalu membuatkan hati ini gembira tatkala kesedihan. Kami selalu gembira bersama, menangis bersama dan.... tak sanggup lagi penulis menulis pengalaman yang terlalu banyak ketika bersama kerana air mata yang sedang mengalir tatkala artikel ini ditaip memberi isyarat hati ini terlalu sebak mengenangkannya Terlalu banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Benarlah kata orang, pengalaman adalah guru yang sangat berharga.



Benar, tatkala kita ditimpa musibah kita akan terkenang banyak perkara. Di sinilah kita dapat melihat manisnya berukhwah. Teringat lagi penulis, dalam keadaan Allah s.w.t. memberikan sedikit ujian kesihatan baru-baru ini, penulis menerima mesej dari sahabat-sahabat seperjuangan yang mendoakan semoga cepat sembuh. Yang peliknya, kekadang mesej dari sahabat yang kini sedang belajar di kampus lain lebih awal dari sahabat UKM. Terkesima..... disamping mesej-mesej dari sahabat seperjuangan yang memberi kata-kata semangat turut mengubat jiwa penulis.

”Hari ni kami buat perjumpaan GEGAR UNITED. Mengumpulkan anak-anak usrah dari beberapa usrah kami........”

Menarik. ”Dah jadi ’datuk’ rupanya aku ni walau belum mendirikan rumah tangga”, bisik hati penulis. Mesej yang diterima dari Ihsan dan Syaukani (usrah Ar-Ruhul Jadid) sedikit sebanyak mengubat hati penulis. ”Mereka dah besar, dah hebat-hebat belaka”. Gembira hati ini bila mendengar kejayaan mereka menghidupkan usrah, menghimpunkan lebih 30 orang anak-anak usrah mereka ketika itu mengikut khabarnya. Walaupun mesej mereka tidak ku balas ketika itu, hati ini tersentuh menerima berita tersebut walau tidak dapat bersama dalam majlis bersama mereka.

Tatkala penulis diuji dengan ujian kesihatan dan kehilangan, sahabat usrahlah yang sibuk membantu. Ke klinik, Jabatan Pendaftaran Negara dan......... Walaupun sibuk dengan urusan perjuangan, namun masih sempat meluangkan masa untuk sahabat seusrah. Itulah sahabat usrahku yang terasa kemanisan ukhwah bersamanya di samping sahabat-sahabat lain. Benarlah kata orang lagi, ukhwah itu penting, usrahlah penjananya.

Walaupun tidak sempat menaip artikel, kekadang penulis sempat mencuri masa melayari blog-blog anak-anak usrah dan sahabat-sahabat seperjuangan. Maka banyaklah berita-berita gembira yang diperoleh. Perkahwinan anak usrahku merangkap pasangan naqib (satu ketika dahulu di DQ) baru-baru ini turut menggembirakan hati ini walau tidak sempat bersama di majlis walimahnya. Walaupun tindakannya berkahwin seolah-olah ”melangkah bendul” diri ini, namun penulis tetap gembira.





Adik-adik usrahku di sekolah lamaku di Kedah tidak pernah ku lupakan. Ada yang sudah berpindah ke sekolah dan institusi lain. Teringin sangat hati penulis hendak melihat mereka berjaya dan menjadi pemimpin berjasa kepada agama dan masyarakat. Kenangan bersama mereka banyak mengajar penulis berkaitan psikologi dan metodologi dalam berdakwah. Teringat satu ketika dahulu, tatkala sedang asyik dibuai nikmat berusrah, tiba-tiba surat tawaran kemasukan ke UKM tiba, memisahkan hubungan kami bersama. Masa untuk bertemu mereka setelah penulis menyambung pengajian ke UKM sangat minimum. Namun, kekadang, tatkala berkelapangan penulis akan cuba menjenguk mereka di sekolah walau hanya sebentar. Sebab itulah, tatkala mahu menghidupkan blog ini satu ketika dahulu, salah satu matlamat penulis adalah agar blog ini mampu menghubungkan kami walau nun jauh di utara tanah air.

Kepulangan beberapa sahabat seperjuangan penulis dari tanah Arab ke tanah air sedikit sebanyak menghiburkan diri yang kerdil ini. Pertemuan dengan mereka banyak mengubat kerinduan setelah setahun berpisah. Tidak lupa juga buat sahabat-sahabat yang tidak dapat pulang, perjumpaan-perjumpaan di gerbang maya seolah-olah mereka sangat dekat dengan penulis. Semoga mereka berjaya dan penulis mampu meraikannya bersama.


Lumrah berukhwah, ada pertemuan, ada perpisahan. Jumaat ini, Hafizan, Izwan dan beberapa sahabat akan berangkat ke Syria. Sudah lama penulis tidak bertemu mereka, entah bila kami akan bertemu lagi. Mungkin setelah mereka pulang nanti, mereka tidak lagi mengenali MOHD IDRIS ini kerana kekerdilanku berbanding mereka yang sudah menjadi ulama’-ulama’ muktabar ketika itu. Begitulah yang diri ini hadapi satu ketika dahulu tatkala sahabat-sahabat seperjuangan berangkat ke Mesir, Yaman, Jordan Riyadh dan sebagainya. Kerdil rasanya diri ini yang hanya mampu menuntut di tanah tumpah darahku. Namun, penulis amat gembira dengan kejayaan mereka. Kejayaan anak-anak usrah dan sahabat seperjuangan yang menjadi harapan kepada agama dan negara akan menjadi semangat dan motivasi kepada penulis selamanaya. Biar diri tidak dikenang, asalkan hati tenang dan senang....

Adik beradik seusrahku dan sahabat seperjuanganku, kalian adalah sumber inspirasi dan motivasi diri ini. Memang masih banyak masalah yang sedang mengganggu jiwa ini, yang hanya tersimpan buat diriku. Masalah-masalah inilah yang sedikit sebanyak mengganggu tumpuanku dalam pembelajaran dan gerak kerja. Maaf, penulis terlalu berat untuk berkongsi bersama kalian. Walaupun masalah yang menghuni hati ini terlalu berat, namun kalian masih mampu membuatkan hati ini terhibur. Kejayaan kalian, kata-kata semangat, tazkirah, senda gurau dan sebagainya masih mampu membuatkan bibir ini tersenyum walaupun kekadang ianya amat berat. Walaupun gambar-gambar kenangan yang kita rakam bersama telah hilang bersama lap top ku, namun, kenangan bersama kalian akan tetap berkekalan di dalam jiwa ini. Terima kasih.....hanya itu yang ku mampu katakan.... Kerana Allah kita bertemu, kerana Allah juga kita berpisah....

”Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya (yang sebebar). Amiinn...”

1 comments:

my October 28, 2008 at 11:37 PM  

dari adik persijilan 06..membaca coretan penulis, membuatkan ana teringat kembali kenangan silam bersama akak2 dan abg2 diploma di DQ..sedih sambil tersenyum mengenangkan..semoga terus thabat dalam perjuangan.

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP