Tuesday, July 29, 2008

SECEBIS TABAH SEORANG SALESMAN DAN SALESWOMAN…

“Adik, buku ini bagus. Isinya berkaitan tentang solat ketika musafir. Hari ini ada promosi, cuma RM10 sahaja, percuma VCD berkaitan perlaksanaan solat ketika musafir,” kempen seorang saleswoman atau salesman yang hampir setiap hari berlegar-legar di sekitar gerai-gerai makan di Bandar Baru Bangi ketika penulis menikmati makan tengah hari bersama sahabat-sahabat. “Taka apa lah, kak (atau kekadang abang), dah ada kat rumah,” jawab penulis untuk cuba menolak dengan cara yang sebaik mungkin untuk menjaga hati mereka kerana buku-buku penulis dan sahabat-sahabat serumah pun masih ada yang tidak terbaca di rumah. “Okey, terima kasih adik,” jawab saleswoman tersebut sambil senyum walaupun gagal memujuk penulis dan sahabat-sahabat untuk membeli buku yang dibawa lalu berlalu ke meja makan yang lain.

Begitulah kerja harian mereka setiap hari. Terus cuba menjual apa sahaja yang dibawa ke sana ke mari, walaupun terpaksa mengorbankan perasaan malu. Kekadang, belum sempat menceritakan tentang barang yang dibawa, orang ramai sudah beredar, cuba melarikan diri dari mereka. Ada pula yang ditertawakan, dimarah dan sebagainya. Satu sikap mereka yang begitu penulis kagum ialah ketabahan mereka. Tidak jemu untuk bertemu pelanggan walaupun mereka tahu, bukan senang hendak mempengaruhi pelanggan. Tambahan pula ketika keadaan ekonomi yang agak menekan rakyat Malaysia hari ini. Walaupun, terpaksa menyampaikan skrip yang sama ketika bertemu orang ramai, mereka tidak jemu. Tetap tabah. Berbekalkan senyuman di bibir, mereka akan berlalu dan menuju ke tempat lain untuk menjual barang yang dibawa.

Pemikiran penulis terarah kepada satu hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

“ Sesungguhnya Islam itu bermula dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali menjadi dagang seperti ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang terasing (yakni yang kekal istqamah bersama Islam walaupun ia menjadi asing di tengah-tengah manusia)”

Lantas penulis teringatkan buku-buku sirah yang pernah dibaca serta isi-isi kuliah atau ceramah berkaitan dakwah Rasulullah s.a.w. Pelbagai mehnah tribulasi yang terpaksa ditempuhi baginda. Diejek, diancam bunuh, dipulaukan, dilemparkan najis dan sebagainya. Bayangkan betapa susahnya di awal dakwah baginda. Ramai yang tidak dapat menerima dan mempercayai isi kandungan dakwah baginda. Awal hadis di atas sudah menggambarkan kesusahan masyarakat ketika itu menerima Islam yang dibawa baginda. Rasulullah s.a.w. tetap tabah. Ada riwayat menyebut, seorang pedagang dari Taif begitu simpati dengan baginda yang bersusah payah menyampaikan dakwah kepada kaum musyrikin, namun mereka menolaknya. Maka pedagang tersebut menjemput Rasulullah s.a.w. ke Taif kerana penduduk Taif tidak seperti musyrikin Makkah. Mereka begitu menghormati tetamu. Namun, tatkala Rasullah s.a.w. tiba di sana, penduduk di situ yang lebih awal dihasut oleh musyrikin Makkah yang bencikan dakwah baginda. Sedih rasanya mengenangkan Rasulullah dibaling batu oleh anak-anak kecil. Namun baginda tetap tabah. Bahkan didoakan pula semoga mereka mendapat hidayah.

Terlalu banyak yang berlegar di fikiran penulis berkaitan ketabahan Rasulullah s.a.w. berhadapan dengan cabaran dalam usaha menyampaikan Islam, namun tidak mampu rasanya menulis kesemuanya di sini. Hasilnya, sehingga hari ini kita sama-sama dapat menikmati nikmat islam. Sebak rasanya, mengenangkannya. Kerdil rasanya diri ini apabila melihat ketabahan salesman dan saleswoman bersusah payah. Hakikatnya, apa yang dimiliki oleh mereka hanyalah secebis tabah jika hendak dibandingkan dengan ketabahan Rasulullah s.a.w.

Penghujung hadis di atas bermain-main di fikiran penulis. “Islam akan kembali dagang”. Ya Allah…. jika ketabahan salesman dan saleswoman pun diri ini tidak mampu tandingi, jauh sekali Rasulullah s.a.w….

“Ya Allah, tabahkanlah hati kami dalam menempuh rintangan dan dugaan. Tetapkanlah kaki-kaki kami di atas landasan perjuangan agamaMu. Semoga kami istiqomah dalam perjuangan ini hingga ke akhir hayat. Amin ya Robbal ‘Aalamin….”

Wallahua’lam….wassalam….

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP