Thursday, July 24, 2008

BUNGA...


“Azizan, jom tengok Bunga”, ayat biasa penulis tatkala keboringan. Azizan antara peminat setia Bunga bersama penulis. Kepetahan, ketenangan dan kehebatan Bunga menarik perhatian kami. Walaupun masih kecil, persembahannya seolah-olah spontan dan tidak gemuruh. Video yang dirakam sekitar 3-4 tahun lalu itu menjadi minat kami walau ditonton berulang kali. Memang penulis begitu berminat mendengar pidato-pidato dari Indonesia. Ketika umur penulis sekitar sekitar 5-6 tahun, penulis menjadikan seorang pendakwah cilik dari Indonesia sebagai ikon. Disamping itu, mendengar suara seorang kiyai bernama K.H. Zainuddin MZ berpidato adalah antara hobi penulis ketika kecil. Penulis begitu kagum kepada pemidato-pemidato Indonesia kerana intonasi suara yang disampaikan mampu menyentuh jiwa dan perasaan. Lihat sahaja dalam drama atau filem Indonesia, intonasi suara pelakonnya walau masih kecil menunjukkan seolah-olah lakonan itu benar-benar berlaku kerana skrip yang sangat dihayati.

Peminat setia Bunga...

Merenung kisah Bunga tadi, kita melihat Indonesia begitu bersungguh-sungguh berusaha melatih pendakwah-pendakwah cilik sejak kecil. Tidak hairanlah mengapa mereka mampu melahirkan pemidato-pemidato hebat sehingga kini. Bunga yang dilatih melalui satu program realiti tv PILDACIL (Pemilihan Da’ie Kecil) sudah pasti mampu menjadi lebih baik dan lebih hebat satu hari nanti. Kembali pula kepada negara Malaysia yang kita cintai. Kanak-kanak tidak dilatih melalui program-program ilmiah seperti PILDACIL, tetapi Bintang Kecil pula yang menjadi alternatifnya. Bagaimana akan terbentuknya modal insan yang kita war-warkan?

Isu mengkaderkan pejuang-pejuang kecil tidak boleh dilupakan. Fikirkan 20-30 tahun akan datang. Merenung kepada Hadis kisah Ashab Al-Ukhdud dalam artikel penulis sebelum ini, bagaimana sensitiviti ahli sihir yang memikirkan soal pengkaderan bakal penggantinya satu hari nanti harus dicemburui kita sebagai umat Islam pada hari ini. Jika ahli batil begitu bersungguh-sungguh memikirkan soal generasi akan datang, bagaimana kita sebagai umat Islam? Cukup hanya sekadar Bintang Kecil sebagai pilihannya? Fikir-fikirkan…



INDONESIA....




MALAYSIA....


Generasi yang dibentuk sejak kecil mampu menjadi generasi remaja atau pemuda yang begitu berkualiti sehingga mampu menjadi harapan kepada agama, bangsa dan negara. Sejarah juga telah membuktikan bagaimana golongan pemuda memainkan peranan penting dalam perjuangan di medan jihad. Dalam peperangan Uhud sebagai contohnya, pembawa bendera Islam, Mus’ab bin Umair, seorang anak muda dan sebahagian besar yang gugur sebagai Syuhada’ seramai 70 orang adalah golongan pemuda. Anas bin Nadhir yang baru berusia 16 tahun juga telah syahid dengan 80 liang tikaman di seluruh badan. Selain itu, kita melihat bagaimana Islam dibuka di benua kecil India di tangan seorang panglima muda yang baru berusia 17 tahun iaitu Muhammad Abu Qassim.

Jika kita merenung kepada sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu pula, Wali Songo juga menggunakan pendekatan dakwah dengan melatih kader bagi meneruskan perjuangan menyebarkan ajaran Islam. Contohnya seperti Malik Ibrahim yang menjadi perintis membawa Islam ke Daerah Ampel yang selepas itu disambung oleh Sunan Ampel. Sunan Ampel pula menyiapkan kadernya yang melahirkan Sunan Giri dan anaknya sendiri Sunan Bonang. Dari Sunan Bonang lahirlah muridnya Sunan Kalijaga. Dengan itu, kelahiran Wali Songo tidak sunyi dengan kelahiran tempat pendidikan dan persantren sebagai pengkaderan.

Marilah bersama-sama kita fikirkan soal mengkaderkan generasi-generasi harapan pada masa akan datang. Dalam situasi dunia yang caca merba pada hari ini, soal modal insan yang ideal harus diambil perhatian. Jika tidak, nantikan……


Wassalam….

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP