Sunday, July 20, 2008

ALAHAI MALANG SI KATAK NORMAL...

Pertandingan maraton peringkat hutan simpan, sempena meraikan ulangtahun kelahiran Raja Katak akan diadakan pada minggu depan. Pertandingan tersebut terbuka kepada semua katak yang tinggal di situ. “Ish, jauhnya, 5 km!” Rungut beberapa ekor katak yang terpandang pada poster yang ditampal pada sebatang pokok. Namun, 10 ekor katak nekad menyertainya kerana hadiahnya lumayan. Maka bermulalah sesi latihan.

“Apalah bodoh sangat kamu semua ni, 5 km tu jauh,” sapa seekor katak yang kebetulan lalu di tempat katak-katak yang berminat menyertai pertandingan maraton itu sedang berlatih. “Lebih baik balik tidur lagi baik,”.”Tak usah la kamu terlibat benda-benda buang masa macam tu”. Demikianlah antara suara-suara sumbang yang berbunyi setiap hari ketika mereka berlatih. Akibatnya, pada hari pertandingan, 4 ekor katak menarik diri kerana merasakan diri tidak mampu menghadapi laluan yang jauh dan mencabar.

Katak-katak selebihnya tetap nekad. Setelah beberapa kilometer, mereka rasa terlalu letih. Di pertengahan perlumbaan, mereka terpaksa berhadapan dengan cabaraan bertemu dengan kata-katak lain yang bertindak sebagai penonton. “Tengok la tu, mereka dah letih, aku dah cakap, ini semua kerja bodoh!” kata seorang penonton. “Mereka takkan mampu, jauh lagi garisan penamat,” rungut penonton yang lain. Akibatnya, kesemua katak tadi berhenti dan menarik diri kecuali seekor katak. Dia terus melompat dengan sepenuh tenaga dan akhirnya dia menang dan mendapat hadiah lumayan yang dijanjikan.

Seorang wartawan menghampiri katak tersebut untuk menemuramahnya. “apakah rahsia kejayaan sehingga kamu berjaya sebegini,” tanya wartawan tersebut. Namun tidak ada jawapan. Wartawan tadi bertambah bengang apabila 3 kali soalan sama diajukan namun tiada jawapan. Kebetulan, adik katak yang menjadi juara tadi datang lalu dia menjawab, “sebenarnya, abang saya ni pekak”. Maka wartawan tadi mendapat jawapan yang tepat kepada soalannya tadi iaitu “pekak”.

Begitulah lumrah kehidupan kita, pelbagai pandangan dan kritikan orang lain terhadap apa yang kita usahakan dan kita perjuangkan. Sekiranya, kita tidak berprinsip dan hanya mengikut kata orang lain semata-mata, kita akan gagal. Merenung kepada ayat dalam surah Al-Maidah, ayat 54 :

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya."


Salah satu kelebihan golongan yang didatangkan Allah sebagai pengganti mereka yang berpaling tadah ialah, “mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela”.

Justeru, penulis tidak menyeru supaya kita menjadi katak atau merosakkan telinga kita untuk menjadi pekak, tetapi marilah kita memasang “filter” di telinga kita agar tidak terpengaruh dengan kata-kata atau kritikan yang hanya untuk menjahanamkan kita. Alangkah malangnya katak-katak yang normal, dan beruntungnya katak yang pekak tadi. Wallahua’lam.


5 comments:

Muhammad Hafizan bin Abd Hamid November 2, 2009 at 9:11 AM  

smg kita tidak menjadi seperti katak yang malang..

Ahmad Tajuddin November 2, 2009 at 10:51 AM  

x sangka ye katak2 nie ade bwt competition mcm 2???mantap2....
katak2 yg malang 2 moga2 kita x termasuk dlm golongan spt itu....

Anonymous November 2, 2009 at 11:09 AM  

xdak video ka...

Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, November 2, 2009 at 11:11 AM  

ano,

payah nak cari katak yg sanggup berlakon cerita ni.... : )

Anonymous November 5, 2009 at 2:25 AM  

Nauzubillah...katak2 malang yng normal i2 xkn jd sebrtuah katak yg pekak trsebut...slame mne mreka tdk thu mnggunakn akal, telinga dn mate dngn sebaiknye nikmat anugerah Allah kpde mreka..ke arah jlan yg diredhaiNya.

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP