Saturday, April 17, 2010

BERUSRAH "SAMPAI" KE TURKI, BERTEMU DENGAN KEJAHILAN DIRI


"Haji, ada air tak dalam bilik?" dahaga saya selepas maghrib tadi menyebabkan terpacul soalan itu kepada Haji Ismail, siak Masjid al-Hasanah. "Ada. Yang sejuk pun ada, dalam peti ais" jawab Haji Ismail tadi. Saya terus melangkah ke bilik kecil di sudut hadapan sementara menantikan Ustaz Kushairi yang datang dari Seremban untuk memulakan kuliah maghrib tadi. Sambil menghilangkan dahaga, saya terpandang satu buku karangan Ustaz Rashidi Jamil yang bertajuk "Tribute Buat Nenda". Saya membelek-belek kulit buku tersebut. Saya terlihat kata-kata yang menarik hati saya pada kulit belakang buku tersebut berkaitan kata-kata Ibnu 'Athoillah dalam karangannya, kitab al-Hikam :

"Sebaik-baik dalam hidupmu ialah ketika kamu menyedari kekurangan diri dan kembali kepada kerendahan dirimu"

Ringkas, tetapi entah mengapa hati tertarik dengan kata-kata tersebut sehingga saya mengambil telefon bimbit saya yang tidak secanggih mana dan menaip kata-kata tadi. Cukup hanya sekdar mampu di"save"kan dalam "draft".

Entah kenapa, hati saya hari ini teringatkan sahabat saya dari Turki, Sadik Ozata. Sudah lama tidak berusrah dengannya kerana beberapa kekangan. "Malam ini saya agak "free", teringin pulak nak berusrah kembali dengan sahabat saya dari Turki itu" terlintas di hati saya ketika kuliah maghrib tadi. Setiap minggu biasanya Sadik tidak akan jemu menghantar mesej kepada saya walaupun sudah lama saya tidak berusrah dengannya. Mesej itu adalah untuk mengajak berusrah dengannya dan sahabat-sahabat bagi mencari hikmah-hikmah dalam Rasail Annur, karangan Badiuzzaman Said Nursi. Biasanya pada setiap petang Jumaat, ada sahaja mesej dari Sadik. Tetapi entah kenapa sehingga waktu maghrib tadi, saya belum menerima mesej usrah seperti biasa daripadanya. Saya menjadi serba salah untuk hadir, takut-takut menjadi tetamu yang tidak diundang.

"Entah-entah Sadik dah berputus asa untuk ajak aku berusrah sebab sudah lama tidak berkesempatan?" fikir hati saya ketika itu.

Tidak lama kemudian, mesej yang dinantikan tiba. Terus saya menaip mesej untuk mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk ke rumah Sadik bagi meyelongkar khazanah Rasail Annur. Kuliah Maghrib hari ini berkaitan, "bercita-cita mati dalam Islam". Alhamdulillah, banyak input yang diperolehi, membuktikan terlalu banyak kekurangan dalam diri. Jahil sungguh diri ini disamping masih banyak kekurangan amalan serta titik-titik hitam di hati. Kesedaran ini sedikit sebanyak menjadi nikmat apabila menghayati kembali kata-kata Ibnu 'Athoillah tadi.

Kuliah Maghrib tadi agak panjang, risau kalau-kalau tidak sempat berusrah kerana biasanya usrah bermula selepas maghrib. Ditolak campur dengan masa minum, berbual dengan AJK masjid, tersilap lorong dan lain-lain lagi maka saya sampai agak lewat. Lebih kurang 9.45 malam. Alhamdulillah, usrah malam ini bermula agak lewat, jadi saya masih sempat. Sebentar kemudian sahabat saya, Ammar dan Abu Khuzaifah tiba. Setelah selesai urusannya, Sadik memulakan usrah.

"Tajuk malam ini adalah berkaitan "buah-buah (natijah) beriman kepada malaikat" Sadik memulakan usrah malam ini. Persepsi awal saya, tajuk ini agak "simple". Tetapi, usrah malam ini menyebabkan saya kagum terhadap penulisan Badiuzzaman Said Nursi ini. Saya teringat ketika belajar Psikologi Dakwah bersama Ustaz Zamri Syafiq beberapa tahun lalu berkaitan "reinforcement negative" dan "reinforcement positive" dalam dakwah. Metod yang digunakan oleh Said Nursi dalam bab beriman dengan malaikat tadi menarik minat saya.

Saya tersenyum sendirian ketika penyampaian Sadik tadi. Mana tidaknya, pembawakan penerangan oleh Said Nursi begitu mudah menarik minat dan kefahaman saya. Terasa bodoh kerana kurangnya fikir sehingga perkara semudah itu pun saya tidak tahu sebelum ini. Selalunya pendekatan pendakwah-pendakwah dan penulisan berkaitan "beriman dengan malaikat" lebih cenderung kepada "reinforcement negative".

"Kalau kamu buat maksiat, jaga-jaga, adanya Raqib dan 'Atid yang mencatat kerja jahat kamu!" "Hari ini mungkin kamu selamat, tapi Ingat! Dalam kubur nanti adanya Munkar dan Nakir". "BIla Izrail tarik nyawa kamu, kamu akan rasai kesakitan yang teramat sangat".

Semuanya "reinforcement negative", tetapi tidak salah. Memang berguna pendekatan begitu pada satu-satu masa. Namun apa yang saya dapat malam ini agak berbeza. Mungkin saya rasai perbezaan yang ketara kerana kejahilan dan kurang belajar, mendengar kuliah-kuliah dan sebagainya. Itu berpunca dari kelemahan saya.

Seperti yang saya katakan, khazanah peninggalan Said Nursi yang saya dapat pada malam ini agak berbeza kerana menggunakan pendekatan "reinforcement positive". Sebab itu rasanya tajuknya diletak berkaitan "buah-buah beriman kepada malaikat". Menarik, memebawa kepada pemikiran positif, menggalakkan beramal soleh, membawa ketenangan dan kesenangan kepada jiwa dalam menghayati konsep "beriman kepada malaikat".

Mana tidaknya, dalam berbicara persoalan Izrail pun, Said Nursi mengajak kepada pemikiran positif. Begitu juga Raqib, 'Atid, Munkar dan Nakir. COntohnya, dalam mengenali Raqib dan "Atid, biasanya kebanyakan pendakwah dan penulis akan menggunakan pendekatan "reinforcement negatif". Maka, biasanya kita akan diingatkan dengan kata-kata seperti :

"Kalau kamu buat maksiat, jaga-jaga, adanya Raqib dan 'Atid yang mencatat kerja jahat kamu!", "Tidak sedikit pun amalan jahat kamu akan terlepas dari catatan mereka!", "Kamu ingat mereka tak nampak walaupun kamu buat maksiat di tempat gelap????" dan lain-lain lagi.....

Pendekatan Said Nursi berbeza. Dalam hal Raqib dan 'Atid misalnya, beliau menyentuh berkaitan keinginan kita agar setiap kerja atau kata-kata kita yang bernilai dan baik sama ada melalui syair, filem dan penulisan. Sudah pasti kita ingin agar perkara baik tadi dicatit, dirakam atau dikira oleh Allah sebagai amalan baik yang akan mendapat ganjaran di akhirat. Maka, dengan adanya keyakinan dan keimanan kepada malaikat, kita tidak akan bimbang kerana perkara baik tadi tidak sedikit pun akan terlepas dari perhatian malaikat-malaikat Allah.

"Contohnya, dalam bekerja mungkin kita ingin agar usaha kita yang bersungguh-sungguh, berkualiti, terbaik dan sebagainya dilihat dan dinilai oleh Bos di tempat kerja kita.Mungkin hasil penilaian akan menyebabkan kita dinaikkan pangkat dan sebagainya. Tetapi mungkin tidak semua kerja kita yang berkualiti tadi dilihat oleh Bos kita kerana dia hanya seorang manusia. Malaikat tidak pernah lalai dalam mencatit amalan baik kita," tambah Sadik lagi.

"Wah, ini menjadi motivasi mukmin dalam beramal. Walaupun mungkin kecil amalan tersebut, disebabkan kita optimis malaikat tidak pernah lepas untuk mencatit, maka kita akan termotivasi untuk terus melakukan amal soleh dengan istiqamah," fikir saya ketika itu sambil tersenyum. Tersenyum pertama kerana kagum. Tersenyum kedua kerana tergelakkan diri sendiri yang jahil sehingga benda semudah ini tidak pernah terfikir sebelum ini. Baru hari ini nak belajar bertatih...

Selesai usrah, saya, Ammar dan Abu Khuzaifah terus menjamah masakan Turki, kombinasi masakan Sadik Ozata dan Umar, dua sahabat Turki yang sentiasa berazam tinggi untuk menginfakkan diri mereka di jalan dakwah, untuk menyebar luaskan kefahaman yang ada dalam Rasail Annur.

Jika usrah sebelum ini saya, Ammar dan Fadhil bertuah kerana sempat berusrah dengan tetamu dari Turki yang hebat iaitu Ustaz Ali Kurt, Naib Presiden United of NGOs of Islamic World (UNIW) sebuah pertubuhan yang menghimpunkan lebih 250 NGO-NGO Islam dari seluruh dunia, kali ini saya, Ammar dan Abu Khuzaifah mendapat peluang yang berbeza. Selesai makan, Sadik menghubungi murabbinya, Ustaz Said Nuri, amir jama'ah yang mengkaji dan menyebarkan intipati Rasail an-Nur di Turki.



Kecanggihan teknologi menyebabkan kami "sampai" dan berpeluang dengan Ustaz Said Nuri. Laptop dan webcam menjadi pengantara kami. Sadik memanggil saya dan sahabat-sahabat kerana katanya Ustaz Said Nuri ingin bertanya pandangan kami. Maka kami "berusrah di Turki""tiba" di Turki memalui web cam. Melalui Sadik yang menjadi penterjemah, Ustaz Said Nuri bertanya pandangan kami berkaitan Rasail Annur. Maka, saya menjawab seperti di atas, betapa saya kagum metod yang agak berbeza dalam penulisan Said Nursi ini iaitu berkaitan "reinforcement positive" yang menjadi penggalak dan motivasi. Setelah Sadik menterjemahkan kata-kata saya tadi kepada Ustaz Said Nuri, maka beliau menjelaskan bahawa memang begitu metod yang digunakan Said Nursi kerana beliau mengkaji pendekatan Rasulullah s.a.w. Memang kebanyakan metod baginda dalam berhadapan dengan mad'u begitu.

Ustaz Nuri berpesan kepada kami agar kami mewaqafkan diri untuk kerja dakwah disamping doa. Kami sempat melambai melaui web cam sebelum menamatkan "usrah jarak jauh" dengan beliau. Web cam di Turki dipusingkan, membolehkan kami melihat wajah saudara-saudara di Turki yang bersama dengan Ustaz Said Nuri di Turki ketika itu. Sadik menjelaskan bahawa mereka sedang bermesyuarat di sana. Mereka termasuklah pelajar yang terdiri dari pelbagai bidang di sana. "Mereka mewaqafkan diri untuk dakwah. Maka kamu pun mesti begitu" pesan Sadik kepada saya, Ammar dan Abu Khuzaifah.

Alhamdulillah, setelah merenung kehidupan sepanjang beberapa jam yang lalu, saya mendapat pelbagai pengajaran. Bermula dengan penemuan kata-kata Ibnu 'Athoillah di kulit buku tadi, saya sangat bersyukur. Saya cuba hayati kembali kata-katanya. Semoga pengalaman sepanjang beberapa jam tadi, saya mendapat sebahagian dari apa yang disebut sebagai "sebaik-baik hidup ialah apabila menyedari kekurangan diri" dalam kata-kata dalam kitab al-Hikam tersebut..... Allahuakabar, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Masih kurang fikir, masih kurang zikir.....

Wednesday, April 14, 2010

GAMIS BANTAH PENDIRIAN NAJIB DALAM ISU AFGHANISTAN

Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) memandang serius keputusan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk menghantar bantuan ke Afghanistan setelah mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

GAMIS menandang, tindakan tersebut agak terburu-buru memandangkan isu Afghanistan yang belum selesai sehingga hari ini. Amerika dilihat seolah-olah terdesak setelah banyak negara menarik balik tentera pengaman mereka keluar dari Afghanistan. Malaysia seolah-olah akan menjadi mangsa keadaan di samping akan dilihat sebagai boneka Amerika dalam isu ini setelah krisis di Afghanistan masih tidak dapat diselesaikan.

Menurut Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, Dato' Seri Najib tidak boleh terburu-buru dalam isu ini. Walaupun atas nama kemanusiaan sekalipun, dunia akan melihat Malaysia seolah-olah ingin ditarik oleh Amerika dalam kes yang mereka sendiri cipta kerana masih menemui jalan buntu untuk menyelesaikannya. Malaysia juga perlu mengambil berat aspek keselamatan negara serta wakil yang akan dihantar memandangkan ancaman dari al-Qaeda sebelum ini yang telah mengisytiharkan perang terhadap mana-mana negara yang mahu bersengkongkol dengan Amerika walaupun atas alasan bantuan kemanusiaan dan latihan.

"Amerika dilihat begitu tedesak dalam isu Afghanistan ini. Dalam keadaan negara-negara seperti Perancis, Kanada, Korea Selatan dan lain-lainnya menarik balik tentera pengaman di Afghanistan setelah mendapat tekanan dari masyarakat dunia yang mengutuk tindakan tersebut, tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia telah membuat keputusan yang seolah-olah ingin menarik Malaysia untuk terlibat dalam isu yang dimulai oleh kezaliman dan kerakusan Amerika itu" ujar Mohd Idris lagi.

GAMIS berharap Perdana Menteri mempertimbangkan dalam aspek keselamatan wakil yang akan dihantar ke sana memandangkan masyarakat dunia pada hari ini dapat melihat ancaman yang diterima di sana. Jumlah askar negara luar yg maut atas alasan kononnya utk tujuan pembangunan dan latihan adalah tinggi. Hal demikian termasuklah dari Australia seramai 11 orang, Britain 270,Kanada 140,Denmark 31,Belanda 43,Perancis 41,Jerman 43, Itali 22,Romania 12,Spannyol 17,Turki 3,Amerika Syarikat 951 dan ramai lagi yang tidak dinyatakan jumlahnya di sini.Manakala yang cedera dan cacat pula melebihi 5000 orang.

GAMIS turut mengutuk pendirian bersama Perdana Menteri Malaysia serta Presiden Amerika Syarikat di Washington dalam isu pembangunan Nuklear Iran kerana Malaysia seolah-olah dilihat hanya mengangguk atas beberapa pendirian Amerika. Pendirian Amerika dalam isu nuklear ini dilihat tidak adil kerana seolah-olah memejam mata dalam isu yang melibatkan sekutunya termasuklah Israel. Dalam keadaan isu APCO di Malaysia yang bersangkut paut dengan agen Yahudi belum selesai, pendirian-pendirian Perdana Menteri di Washington seolah-olah menambahkan lagi barah kepada rakyat Malaysia.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan masih berada di Washington untuk menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

Thursday, March 11, 2010

JOM KE UMMAH TALK (PBBB dan GAMIS)


p/s : Dari lebuhraya, exit BANGI. Ikut "pukul 3" rounabout pertama setelah keluar tol. Selepas kira-kira 2km anda akan dapat melihat MasTeras Jernang. Berdekatan Kolej Poly-Tech MARA...

Tuesday, February 23, 2010

BERSAMA MERIAHKANNYA.... KEM AL-FATEH 2 (GAMIS)


LAYARI : http://kemalfateh2.blogspot.com

Thursday, February 18, 2010

SAYA DILANGKAHI KALI KE-2... (TAHNIAH SYAFIQ)


Syafiq dan Aisyah


Tanggal 14 Februari baru-baru ini, saya tidak sempat bersama dalam majlis perkahwinan anak usrah saya, Syafiq. Maka, sudah dua orang anak usrah saya yang sudah mendirikan rumah tangga setelah Izwan mendahului beberapa tahun lepas. Agak terkilan kerana saya tidak dapat hadir ke majlis kedua-dua mereka kerana urusan yang bertembung dengan hari kejadian.











Izwan mendahului............ Syafiq mengekori Izwan...

Apapun, saya doakan yang terbaik kepada mereka semoga berbahagia dunia akhirat serta meneruskan perjuangan yang belum selesai. Sekalung tahniah saya ucapkan. Banyak pengalaman bersama mereka yang tidak dapat saya lupakan.













Saya sedang menantikan, siapa pula selepas ini. Mungkin majlis di kejauhan? Syakir? Ruzaimy? Acap? Sahril (walau sekarang sibuk sebagai MPP)? Tak mustahil juga Hafizan...... Atau Usrah Gegar pula yang akan melangkahinya? Khalil dulu kot? Ihsan? Shahrul? Hasyrul? Mungkin juga Hayyi? Yusran? Tak pelik juga kalau Azan si adik bongsu yang lebih awal....













Tapi saya juga tidak terkejut kalau tiba-tiba Nazri (bekas anak usrah, sekarang bos saya. Saya hanya khadamnya...) yang lebih awal menghantar kad kepada saya. Saya tidak kisah, saya sudah biasa dilangkahi..... Saya tetap doakan kalian diberi yang terbaik ALLAH... Yang penting, agenda perjuangan tidak ditinggalkan...



Jangan marah bos.... : )

Thursday, February 11, 2010

HIKMAH BERSAHABAT : TAZKIRAH 5 MINIT YANG CUKUP BERHARGA (ANALOGI HARIMAU VS NYAMUK)

"Ana dapat satu perbandingan mudah daripada pengisian Ustaz Hasrizal baru-baru ini", Akil memulakan bicara selepas keluar dari kelas Kajian Teks Dakwah semalam. Ringkas, tapi cukup bermakna. Itu yang saya dan sahabat-sahabat dapati semalam.

Seronok bila berfikir dan mengenang nostalgia-nostalgia bersahabat. Banyak manfaat yang saya dapati daripada sahabat-sahabat saya. Biasanya saya mendapat mutiara-mutiara nasihat daripada sahabat-sahabat saya dalam keadaan santai. Ketika berbual-bual, gelak tawa, makan-makan, gurau senda dan sebagainya. Masa bergurau senda kekadang masih sempat diisi dengan nasihat yang kekadang hanya mengambil masa yang cukup sedikit tapi manfaatnya cukup besar. Selalu saya sebut, "sentuhan minima, impak maksima".

Itulah yang saya selalu dapati dari sahabat-sahabat. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas anugerah sahabat-sahabat yang baik kepada saya.


Kebiasaan saya dan sahabat-sahabat "melepak" di Kafe Canselori selepas kelas. Walaupun kekadang duit tidak ada atau perut sudah kenyang, sekurang-kurangnya pasti ada sedikit makanan rohani yang dijamah bersama sahabat-sahabat walau hanya satu pengisian ringkas, 2 in 1. (bukan gambar semalam)

Apa yang saya nak kongsikan di sini, bagaimana perbandingan yang sahabat saya Akil sampaikan kepada saya dan sahabat-sahabat semasa berbual-bual semalam. Perbandingannya cukup menarik, mengajak manusia berfikir. "Berapa orang yang mati akibat dibaham harimau setahun?" Kami terfikir dengan apa yang disampaikan Akil semalam. Benar, boleh dibilang dengan jari di sebelah tangan. Watak harimau yang terbayang ialah haiwan ganas, besar, kuat, digeruni dan lain-lain. Namun, bilangan yang mati dibaham Pak Belang ini melalui statistik terlalu sedikit berbanding dengan manusia yang mati akibat nyamuk.

Apa yang terbayang di fikiran kita, nyamuk adalah serangga kecil, lemah, sekali jentik pun boleh mati dan lain-lain. Namun, statistik menunjukkan, kematian akibat nyamuk saban tahun jauh lebih tinggi daripada akibat dibaham harimau. Apabila disebut nyamuk, kita akan terbayang demam denggi, JE, cikungunya (Us. yang menyampaikanm tazkirah yang saya ikuti semalam menyebut demam "Cikgu Ya" disebabkan sukar menyebutnya : ) ).

Mesej yang hendak disampaikan semalam ialah kekadang kita sebagai muslim selesa atas dasar kita tidak pernah melakukan dosa-dosa besar. Kita mungkin tidak membunuh, meminum arak, berzina dan lain-lain lagi tetapi kita selalu lalai dengan dosa-dosa kecil yang telah kita kumpulkan dengan begitu banyak. Kita kurang menyedari dosa kecil yang kita lakukan sedangkan ianya menjadi saham untuk memudahkan kita memasuki neraka yang kita tidak ingini.

Perbandingan yang disampaikan menyebabkan kami teruja. Mudah sekali perbandingannya dan cukup tepat. Sememangnya kita cukup selesa tinggal di bandar dan pekan yang tidak ada harimau di kiri dan kanan tetapi kekadang kita kurang berfikir soal serangan nayamuk, si serangga kecil yang mampu membawa kepada kemudharatan.

Mesejnya, berhati-hati dengan dosa kecil yang terkumpul. Jangan hanya kerana terlalu memikirkan soal melarikan diri dari harimau semata-mata sehingga kita lupakan kesan nyamuk, si serangga kecil yang pernah membunuh Namrud satu ketika dahulu.

"Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami sama ada besar atau kecil, sengaja atau tidak sengaja, sekiranya Engkau tidak mngampunkan dosa kami, siapa lagi yang akan mengampunkan dosa kami Ya ALLAH....."

Monday, February 8, 2010

JOM KE DIALOG ANTARA AGAMA...

sebarkan kepada semua...

(klik pada banner untuk besarkan)

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP