Monday, October 5, 2009

PEMBEKUAN PENEMPATAN MAHASISWA FAKULTI PENDIDIKAN : GAMIS MOHON MENTERI MEMBUAT PENJELASAN

Bangi - 5 OKTOBER - Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) memohon kepada Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat penjelasan berkaitan isu pembekuan penempatan bagi mahsiswa Fakulti Pendidikan di Institiut Pengajian Tinggi dan Institut Perguruan.

Menurut maklumat yang diperolehi dari rakan-rakan mahasiswa di Universiti Pendidkan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UPSI mengeluarkan kenyataan bahawa semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.

Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa 3 Oktober lalu.

Dalam pada itu katanya, pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia.

Menurut Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuat penjelasan agar mahasiswa terutamanya dalam bidang pendidikan tidak keliru akan isu ini. Hal demikian adalah berkaitan masa depan mahasiswa yang tidak boleh diperjudikan dengan mudah.

Menurutnya lagi, respon yang diterima daripada mahasiswa Fakulti Pendidikan, mereka amat bimbang jika pembekuan penempatan ini benar-benar berlaku. Justeru, GAMIS memohon agar pihak kementerian menjelaskan situasi yang berlaku dengan sebaiknya. Jika tidak, masalah pengangguran di kalangan graduan akan semakin meningkat di negara kita.

Sekiranya tidak ada penjelasan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat, GAMIS akan bertemu menteri bertanggungjawab untuk mendapat penjelasan sebenar agar ianya tidak mendatangkan permasalahan kepada beribu mahasiswa dalam bidang ini.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP