Tuesday, May 26, 2009

TARBIYYAH FIKRIYYAH : KE ARAH MELAHIRKAN MAHASISWA BERFIKIRAN KRITIKAL

Saya gembira selepas satu diskusi bertajuk ”Islam Mendepani Isu Semasa” bersama sahabat-sahabat mahasiswa semalam. Biar orang katakan kepada saya ”syok sendiri” namun saya berpuas hati. Saya bukan berpuas hati dengan pembentangan saya, tetapi berpuas hati melihat partisipasi sahabat-sahabat mahasiswa. Tahniah kepada Ustazah Aisyah Yusof sebagai penganjur. Pertama kali dalam hidup saya, saya membuat pembentangan dalam kira-kira 30-45 minit tetapi hadirin memberi respon lebih satu jam. Saya terfikir sesuatu melihat suasana semalam, namun saya masih gagal meluahkannya kepada orang lain. Biarkan ianya berlegar dalam fikiran saya.


Akhir program, saya dapat mengumpulkan respon sahabat-sahabat mahasiswa sebanyak 20 kali. Jika satu respon ada tiga isi, banyaklah yang saya dapat dari sahabat-sahabat semalam. Paling membanggakan apabila seramai 7 lelaki dan 6 perempuan yang memberi respon tersebut. Ini yang saya nantikan. Mahasiswa dari pelbagai bidang mengeluarkan pandangan masing. Di sini dapat dilihat betapa potensi yang berbeza dikalangan mahasiswa sangat diperlukan dalam menggerakkan sesuatu gagasan.



Saya hanya membentangkan secara kasar dengan membawa tiga teras isu iaitu sosial, ekonomi dan politik yang berlegar dan menyatakan Islam adalah penyelesaiannya. Namun, partisipasi sahabat-sahabat mahasiswa dalam diskusi semalam membuatkan saya banyak menerima dari memberi. Seronok mendengar Nik Umair dari Fakulti Pengajian Islam memberi pandangan tentang kajian mengenai sistem pendidikan barat. Ahmad Kamal dari Fakulti Pengajian Islam juga tidak melepaskan peluang memberikan pandangan dan pengalaman berkaitan sistem pendidikan di Malaysia dan perbandingannya dengan luar negara. Ustazah Rabiatul Adawiyyah yang juga dari Fakulti Pengajian Islam turut mengambil peluang berkongsi kajian ilmiahnya berkaitan kebejatan gejala sosial yang semakin parah pada hari ini.



Dibangkitkan pula oleh Faizal dari Fakulti Kejuruteraan berkenaan pandangan negatif sesetengah masyarakat terhadap perbankan Islam di Malaysia hari ini. Rahmah dari Fakulti Ekonomi bangkit membela perbankan Islam yang sedikit sebanyak menunjukkan penigkatan hari ini. Sahila dari Fakulti Ekonomi menjelaskan sistem ekonomi campuran yang diamalkan di Malaysia. Izzawati dari Fakulti Sains dan Teknologi memberi pandangan bahawa soal pembangunan ekonomi bukan sahaja tugas mereka di bidang ekonomi akan tetapi tanggungjawab bersama. Lalu dia mebentangkan satu wawasannya untuk membentuk jaringan pakar-pakar Muslim dalam pembangunan ekonomi ummah.


Nabilah dari Fakulti Pendidikan mengajak hadirin berfikir dan bersedia menghadapi isu feminisme. Khairul Anwar dari Fakulti Pendidikan mengambil peluang menyebut soal transformasi sistem pendidikan yang dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri. Masih banyak yang tak tertulis di sini termasuk respon dari Ustazah Hafizah, Farid, Hakim dan Hafiz. Tahniah kepada sahabat-sahabat. Saya teruja dengan pandangan yang dikemukakan kalian. Seperti kata Nabilah, dalam proses brainstorming, kita perlu telus dan berani mengemukakan pandangan dan isi hati walaupun masih ragu-ragu kerana takut melakukan kesilapan kerana kekadang yang kita sangkakan salah itu adalah sesuatu yang paling tepat.



Walaupun selepas diskusi tersebut ada sahabat memberi pandangan bahawa ada respon yang keluar dari isu asal perbincangan, saya tetap memberi kredit kepada sahabat-sahabat saya ini. Permulaan yang baik. Saya yakin, masih banyak ideal, pandangan dan sensitiviti yang masih terpendam dalam hati mahasiswa. Maka di sinilah tarbiyyah fikriyyah diperlukan bagi menggilapnya bagi melahirkan anak-anak muda berfikiran kritikal. Bak kata Aisyah Zainudin dalam diskusi dalam kelompok yang lebih kecil dua malam lepas, gabungan pemikiran mikro dan makro dari perempuan dan lelaki mampu membuahkan hasil yang hebat. Harapan kepada sahabat-sahabat yang berpeluang, perbanyakkan wacana, diskusi dan brainstorming dalam proses tarbiyyah fikriyyah. Saya masih mengharapkan pandangan sahabat-sahabat untuk memperkasakan tarbiyyah fikriyyah ini. Saya sedang membuat eksperimen tarbiyyah fikriyyah kepada 7-10 orang sahabat-sahabat saya. Semoga pandangan dari sahabat-sahabat dapat menjayakan eksperimen ini agar mampu melahirkan momentum yang dahsyat satu hari nanti.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP