Tuesday, May 19, 2009

MASALAH SOSIAL : BUKAN 100% SALAH GURU

18 MEI, Bangi - Hari ini dalam sejarah bila pertama kali dalam hidup penulis diraikan bersama guru-guru yang lain di sebuah institusi dalam majlis Sambutan Hari Guru. Senaskhah al-Quran yang merupakan hadiah hari guru yang diterima penulis cukup bermakna. Letih juga bersama pelajar-pelajar dalam acara sukaneka. Namun, keletihan agak terubat melihat gelagat mereka. Ada dari darjah satu hingga tingkatan lima. Macam-macam fe’il yang menyentuh jiwa penulis dan Mubarak, sahabat yang turut serta dalam latihan industri di agensi yang sama.


Di sini, kami diberi tugasan untuk mengajar pelajar tingkatan 1 dan 2. dah macam sahabat-sahabat fakulti pendidikan tahun 3 yang sedang praktikal pula kami kali ini sedangkan sahabat-sahabat sefakulti yang lain berada di agensi-agensi lain. Mereka belajar tentang sistem perfailan, pengurusan, pentadbiran dan lain-lain. Bahkan ada sahabat penulis menceritakan pengalaman menjadi saksi beberapa pernikahan kerana agensi tempat dia berada menguruskan hal-hal pernikahan.



Namun, bagi kami di sini, kami belajar untuk mengajar. Orang lain mendapat pelbagai pengetahuan baru tetapi kami lebih menumpukan bagaimana untruk berkongsi pengetahunan. Ada hikmahnya kami di sini. Alhamdulillah, pelajar-pelajar kami masih beradab sopan sebagai seorang pelajar muslim. Cuma sebilangan kecil sahaja yang nakal (nakal budak-budak sahaja) namun masih berakhlak mulia dan menjaga adab-adab. Setiap kali menuruni tangga untuk pulang, ramai pelajar-pelajar yang menghulurkan tangan dan mencium tangan kami tanda hormat walaupun mereka masih di darjah satu dan bukan murid kami dalam kelas. Maka penulis tidak lupa membacakan doa yang dibacakan Rasulullah kepada Ibnu ’Abbas ketika masih kecil. Dalam hati, penulis berharap mereka adalah generasi akan datang yang akan menjulang Islam agar berada di tempatnya.


Berbeza pula mendengar pengalaman beberapa sahabat-sahabat lain yang terlibat dalam praktikal di beberapa buah sekolah. ”Budak-budak tu mainkan (bergurau-senda) dengan aku mudah-mudah je”, ujar seorang sahabat. ”Nak solat pun kena kejar sana-sini”, tambahnya lagi sambil dahi berkerut kerana bimbangkan remaja zaman kini. ”Sekolah ana pun masalah juga. Nampak yang perempuannya berbibir hitam (macam kesan merokok)”, keluh seorang sahabat lain kerana memikirkan generasi yang akan membawa agama dan negara zaman akan datang.



Allahhuakbar, pening kepala penulis berfikir bersama sahabat-sahabat tentang generasi remaja dan belia hari ini. Di mana silapnya? Mungkin ada sedikit salah dan silap di peringkat guru, namun bukan 100% perlu diletakkan atas bahu mereka. kekadang mereka sudah berhempas pulas mahu mendidik, disaman pula oleh ibu bapa. Ada yang diugut, dibelasah murid bahkan ada pula ibu bapa yang menyerang mereka. Kasihan, apalah nasib guru akan datang. Sahabat-sahabat penulis dari fakulti pendidikan juga resah memikirkannya.


Penulis berpandangan sistem pendidikan di Malaysia perlukan transformasi agar melahirkan generasi harapan masyarakat akan datang. Pendidikan Islam pada hari ini dilihat berada di kelas kedua dan mungkin lebih bawah dari itu. Kesannya, pelajar-pelajar hari ini sudah tidak berminat untuk mendalami ilmu agama. Bahkan ada di kalangan pelajar di aliran agama pun belajar kerana KEWAJIPAN bukan kerana KEPERLUAN. Tidak menganggap mendalami ilmu agama sebagai jihad dan amanah yang terletak atas bahu mereka. Jika mereka di aliran agama sebegini, ini adalah salah satu malapetaka yang perlu dibimbangkan serta perlu diberi perhatian.


Kesan sekularisasi sistem pendidikan menyebabkan pendidikan Islam di Malaysia berada di kelas bawah. Islam tidak dijadikan subjek teras kepada semua peringkat. Subjek pendidikan Islam hanya dipelajari paling tinggi di sekolah menengah bagi sesetengah generasi muda hari ini. Bagaimana mereka di IPTA yang belajar di bidang selain agama? Cukup sekadar subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS)? Belum lagi kita ke kolej-kolej swasta yang tumbuh bak cendawan selepas hujan hari ini. Kalau pun ada, sekadar syarat.


Beginilah yang ditanam oleh Machiavelli. Agama tidak ditolak dalam sekularisme, tetapi sekadar menjadi alat mengukuhkan kedudukan politik supaya pihak yang memperjuangkan agama tidak terlalu membantah. Agama hanya dipandang pada amalan ritual sahaja. Kesan di Malaysia, terdapat di kalangan golongan berpendidikan agama terpisah dengan ilmu yang lain begitu juga sebaliknya. Maka berlakulah salah faham terhadap agama dalam kehidupan seharian. Masalah sosial semakin meningkat apabila akhlak atau moral dianggap hak individu.



Sememangnya sistem pendidikan di Malaysia perlukan anjakan. Penulis memandang, tindakan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) ingin mengadakan satu kongres pendidikan adalah salah satu tindakan yang wajar. Satu kredit kepada Kak Munawirah dan jenteranya yang sedang bertungkus lumus membuat persiapan untuk mengadakan “Kongres Bertindak Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara.” Sensitiviti mahasiswa tentang sistem pendidikan pada hari ini amat penting agar dapat mengembalikan kegemilangan umat Islam dan Malaysia secara amnya. Sistem pendidikan Malaysia perlukan transformasi yang baik agar generasi yang lahir adalah generasi yang boleh membawa agama dan Malaysia ke mercu kegemilangan. Kita sedang menantikan lahirnya generasi kepimpinan yang tinggi integriti dan kompetensi bagi memimpin Malaysia.


Guru tidak harus dipersalahkan 100% bahkan generasi hari ini harus dididik menghargai guru. Apabila penulis mengadakan sesuatu program atau ceramah di kampung, penulis tidak akan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang mula-mula mengajar penulis alif ba ta, A, B, C dan 1, 2,3. Tanpa usaha mereka, mana mungkin kita akan berjaya hingga hari ini. Generasi hari ini selalu lupakan mereka yang mengajar di peringkat pra sekolah, tadika, taska dan pasti sedangkan jasa mereka terlalu banyak. Ditambah dengan gaji yang tidak seberapa, dipandang rendah dan sebagainya namun iltizam mereka sangat hebat dan harus dibanggakan. Buat guru-guruku, Selamat Hari Guru.....



2 comments:

kawe bowling May 19, 2009 at 9:25 PM  

Salam ustaz
wah, dah pandai didik budak2.
lopeh ni bleh la jaga anak sendiri
cepatla cari sorang.
jgn lambat2
nanti melopeh

Cikgu Yang February 25, 2010 at 9:02 AM  

Salam!! Bagus sekali perkara yang diutarakan, terima kongsi ya. Saya memohon untuk memetik gambar yang ada , untuk dimasukan dalam blog saya, bukan untuk business, boleh ya!! Yangazmah@yahoo.com

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP