Monday, May 4, 2009

AZHAR, SEMOGA KEMBALI KE MEDAN PERJUANGAN

Kes 1:

"Engkau menangis Azhar? Sergah aku pada Azhar ketika aku melihat air matanya sedang mengalir. Sergah bukan kerana marah dan benci, tetapi sekadar provokasi kepada sahabat-sahabatnya untuk sedarkan mereka. Aku agak simpati melihat air jernih yang mengalir di pipi Azhar yang sedang dijadikan kambing hitam. Namun, aku mesti utamakan "perlu" dari "mahu" dalam proses tarbiyyah. Aku bukan sedang bergurau dengan mereka, namun aku dan sahabat-sahabatku sedang memproses manusia demi survival dakwah. Maka aku jadikan Azhar sebagai sampel bagi menggegarkan jiwa generasi tarbiyyah yang kami mahu sedarkan dalam training yang disusun.

Akhirnya, air mata Azhar semakin melaju apabila dipeluk sahabat-sahabat setia yang mengikat janji setia sehidup semati kerana Allah s.w.t. Rasa bersalah di hatiku dibuang jauh-jauh kerana aku bukan berjuang untuk individu, namun masa depan Islam yang masih jauh.

Kes 2 :

"Azhar, anta ni lalai! Anta cari balik Zargos (amanah yang diberi kepadanya)!", aku menengking dalam training kepimpinan. Aku keraskan hatiku kerana aku bukan ingin melahirkan pengikut, tapi pemimpin harapan masa depan. Terkebil-kebil mata Azhar mencari Zargos yang telah hilang sambil memanggil-manggil nama Zargos. Namun tidak ada sahutan kerana Zargos bukan insan seperti pembaca. Walaupun sedang membengiskan diri, namun sekali lagi aku simpati kepada Azhar. Aku tetap keraskan hatiku, Bukan kerana ego, tetapi matlamat jangka panjang yang disasarkan.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan

Hubungan aku dengan Azhar dan sahabat-sahabatnya ibarat abang dan adik-adik. Walaupun mereka bukan adik-adik kandungku, namun mereka adalah adik-adik seaqidah, seperjuangan. Hubungan yang cukup istimewa Allah anugerahkan. Mungkin ada sedikit sebanyak khilaf antara kami, namun kami tetap mesra. Ada sahaja gurauan yang aku bawakan setiap kali berjumpa dengan Azhar walaupun kami tidak lagi belajar di tempat yang sama. Pernah aku agak kecewa apabila tidak sempat bersama Azhar dan sahabat-sahabat ketika Azhar menelefonku, mengajak berusrah bersama-sama mereka di kampusnya. Pertembungan tugasan, menyebabkan aku menolak pelawaannya walaupun hobiku adalah berusrah.

Pernah Azhar memboncengku, menghantarku pulang dengan Modenas Kriss miliknya. Azhar tidak menolak permintaanku walaupun jarak antara rumahnya dan rumahku agak jauh. Hubungan aku dan Azhar hanya terpisah ketika training yang sementara. Di luar program, tidak ada status istemewa buatku walaupun umurnya 2 tahun lebih muda dariku. dan sekadar juniorku sebelum ini. Pernah kami brainstorming bersama untuk gerakkan pelajar di sekolah masing-masing. Pernah kami berbincang bersama-sama untuk wujudkan sinergi gerakan-gerakan pelajar di sekolah masing-masing walaupun hasrat dan matlamat kami belum tercapai. Azhar yang ku kenal, tidak mudah melenting, walaupun sering menjadi mangsa gurauanku setiap kali berjumpa.

Azhar hari ini


Azhar sekarang tidak lagi mampu ketawa seperti sebelum ini. Hanya diam tidak berkata menahan kesakitan pembedahan apadiksnya baru-baru ini. Terlantar di katil Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


"Dah pergi jenguk Azhar? Kesian kami tengok". Kata-kata Ihsan dan Syaukani Sabtu lalu membangkitkan perasaan simpatiku. Aku bertekad untuk menjenguknya andai ada kelapangan. Semalam, motor Azizan yang ku pinjam dipandu untuk melawat Azhar. Aku singgah sebentar di Pusat Asasi UIAM PJ, mengambil As'ad untuk membawaku berjumpa Azhar. Sampai di PPUM, terserempak Zaki dn sahabat-sahabat dari UIAM Gombak yang juga ingin melawat Azhar. Kami bergerak seiringan...

Simpati aku melihat Azhar yang sedang terlantar di atas katil sambil matanya terpejam. Aku tahu, Azhar tidak dapat tidur, namun digagahnya juga untuk menahan sakit, luka pembedahan yang belum sembuh. Selepas beberapa ketika, Azhar membuka matanya. Dia cuba mengangkat tangannya yang kurasakan terlalu berat untuk dia lakukan kerana semangat yang tinggi ingin menyambut sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak pernah melupakannya. Cepat-cepat kami menyambut tangannya untuk meringankan beban. Aku bertambah simpati.

Azhar sudah berhari-hari tidak dapat berkata-kata kerana menahan kesakitan dalam perutnya yang belum stabil. "Sudah 4 hari Azhar tak makan, masukkan air saja", ujar ibunya sambil menyelak sedikit pakaian yang menutup badan Azhar untuk menunjukkan kepada kami kesan jahitan pepbedahan di perutnya. Hatiku semakin tersentuh melihat ibunya yang setia disisi. Kasih ibu..... Hampir aku menitiskan air mata, namun aku amarahkan ego dalam jiwaku, menahan air mata ini dari terus jatuh menyembah bumi.

"Tengok wajah Azhar ana teringat nostalgia silam, apa yang ana pernah buat padanya", luah aku pada As'ad yang menemaniku petang itu. "Tu la anta, jahat sangat kat dia", usik As'ad sambil tersenyum. As'ad turut menceritakan luahan hati ayah Azhar ketika mereka bertemu sebelum ini berkaitan kos perubatan Azhar yang tidak tetanggung. Sekali lagi, aku menahan sebak didada kerana aku tahu latar belakang keluarga Azhar. Bukan aku tidak pernah melawat orang lain di hospital, namun hatiku hari ini berbeza kerana ada hubungan lain yang Allah limpahkan dalam hati ini. Tak tahu aku hendak gambarkan pada kalian...

Mereka bukan keluarga berada. Aku tahu kesusahan hidup yang mereka alami kerana aku juga bukan dari keluarga berada. Aku hanya sekadar petani sambilan bila aku pulang ke kampung membantu ibu bapa mencari rezki.

Lama aku berfikir, bagaimana aku ingin membantunya sedangkan dompetku pun hanya tinggal beberapa keping wang kertas yang paling rendah nilainya disamping wang simpanan dalam bank yang sudah tidak boleh dikeluarkan lagi kerana tidak cukup baki minimum. Aku hanya mampu berdoa agar Azhar cepat sembuh untuk teruskan perjuangan yang masih jauh. Aku kenal Azhar, insan kecil berjiwa besar. Aku berdoa agar terbuka hati insan-insan yang mampu untuk membantu keluarganya. Sempat aku berwasiat kepada As'ad untuk melakukan sesuatu bersama sahabat-sahabat yang lain bagi membantu Azhar.

Semoga Azhar cepat sembuh dan kembali ke medan perjuangan....


0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP