HIKAYAT 3 PERENANG...
Pemuda pertama berenang dengan laju. Kayuhan kakinya terlalu laju ditambah libasan hebat tangannya dengan penuh semangat. Sampai di pertengahan sungai, staminanya hilang ditambah pernafasannya yang tidak seimbang kerana terlalu menumpukan kayuhan dan libasan hikmatnya. Maka dia telah tenggelam di dalam sungai itu.
Pemuda kedua nekad, tetapi dengan mengambil pengajaran kematian sahabatnya. Namun, dia tersilap langkah. Kali ini, dia perlahankan kayuhan kakinya ditambah tangannya hanya melibas perlahan. Kononnya, dia mahu menumpukan pernafasan. Dia telah tersalah tafsir apabila menganggap perlu tumpukan pernafasan dan perlahankan pergerakan. Akhirnya, dia juga tenggelam.
Pemuda ketiga juga nekad ingin menyelamatkan penduduk kampungnya. Dia mengambil pengajaran dari kedua-dua sahabatnya yang sudah mati. Dia bijak mengatur pergerakan. Tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Pemuda tersebut juga bijak mencari ruang, sambil berenang dan sambil bernafas. Setelah berusaha, pemuda tersebut pun sampai ke destinasi dan berjaya menumpaskan musuh serta menyelamatkan penduduk kampungnya. Akhirnya, penduduk kampung tersebut memilih pemuda tadi sebagai pemimpin mereka.
Berenang dan Berjuang
Beginilah ibaratnya berjuang. Perjuangan tetap diteruskan, tetapi tidak boleh hanya dengan semangat sahaja. Kita memerlukan persiapan yang cukup. Namun, kita tidak boleh beralasan mengutamakan dan menumpukan persiapan semata-mata dalam pada masa yang sama perjuangan ditinggalkan.
Pemuda 1
Pemuda ini bolehlah dianggap sebagai pemuda yang berjuang di atas semangat semata-mata dan tergopoh gapah. Dia tidak mempersiapkan bekalan dalam medan da'wah seperti dari sudut fikriyyah, 'ubudiyyah dan jasadiyyah. Maka, akhirnya, dia akan tercicir dalam medan dakwah. Na'uzubillah...
Pemuda 2
Pemuda ini boleh diibaratkan sebagai pejuang yang tertipu dengan bekalan tetapi tidak berusaha bergerak kerja dan menghayati metodologi dalam dakwah. Perkara ini juga berlaku pada sebahagian mahasiswa hari ini yang menganggap lupakan dahulu soal perjuangan, tumpukan hanya kepada ilmu dan zikir. Kita tidak nafikan bekalan ruhiyyah dan 'aqliyyah itu penting. Namun, jangan lupa akan perjuangan yang belum selesai. Penulis teringat satu syair nasihat dari Ibnu Mubarak kepada Fudhail bin Iyadh yang sentiasa berzikir sehingga menitiskan air mata tetapi mengkesampingkan aspek jihad pada awalnya :
“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang menyala. Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa “orang yang mati syahid itu tidak mati” ,ini bukan satu dusta".
Akhirnya, Fudhail bin 'Iyadh insaf dan bersama di medan jihad.
Konklusi
Zaman hari ini sangat menuntut kita bersama dalam medan perjuangan kerana akhir zaman ini ramai yang tidak mengutamakan Islam. Manusia hari ini lebih pentingkan kesenangan hidup dan bersikap ananiyyah (individualistik). Justeru, bersamalah kita infaqkan diri kita untuk berada dalam perjuangan. Dalam pada masa yang sama, bekalan perjuangan tetap perlu disediakan dengan kebijaksanaan kita mengaturnya. Sa'id Hawwa pernah berpesan kepada golongan pelajar dalam satu perhimpunan supaya golongan pelajar hari ini mempersiapkan diri dengan 4 persiapan iaitu persiapan kejiwaan, keilmuan, kebendaan dan gerakan. Semoga kita menjadi pemuda yang ketiga, bijak merancang dan terus berjuang....
0 comments:
Post a Comment