Wednesday, October 29, 2008

MOBILASI : KENAL PASTI POTENSI, SUSUN MENGIKUT POSISI

“Agenda pertama pada malam ini adalah kita akan berta’aruf. Kenalkan nama, semester dan program (diploma atau persijilan tahfiz), asal serta nama naqib”, Azan (anak usrah Ar-Ruhul Jadid) memulakan majlis pada malam itu. Maka “cucu-cucu” usrahku seramai lebih kurang 38 orang yang hadir pada majlis Aidilfitri Gegar United (gabungan anak-anak usrah kepada anak usrahku) mula memperkenalkan diri masing-masing . Ada yang dari program diploma dari tiga syukbah, qiraat, dakwah dan syariah ditambah dari program persijilan yang merupakan bakal-bakal profesional huffaz (profaz).

Usrah : Penggilap Bakat dan Potensi

Disamping menyebarkan fikrah Islam yang sebenar, usrah menjadi medan untuk mengasah potensi-potensi manusia yang pelbagai. Bermula dengan konsep ta’aruf, para naqib perlu mula mengkoreksi kelebihan dan kelemahan anak usrah masing-masing disamping meraikan kekuatan dan kelemahan tersebut. Bermula di sinilah, proses “coaching” bermula. Segala peluang yang ada perlu digunakan bagi menggilap kelebihan-kelebihan yang ada. Setelah segala kelebihan dan kelemahan dikenal pasti, maka keperluan-keperluan yang sepatutunya mesti disesuaikan dengan konsep tarbiyyah yang fleksibel. Tarbiyyah di sini bukanlah merujuk kepada apa yang diMAHUkan, akan tetapi merujuk kepada apa yang diPERLUkan.

Stephen R. Covey dalam bukunya yang terkenal, The 7 Habits of Highly Effective People meletakkan tabiat ketujuh sebagai “Sharpen The Saw”. Keperluan-keperluan ke arah pemerkasaan individu perlu diberi perhatian. Hal demikian termasuklah dari sudut keilmuan, kemahiran berfikir, kemahiran memberi respon, kemahiran komunikasi, praktikal, soft skill dan sebagainya. “Aku yakin 38 orang yang hadir pada malam ini mempunyai pelbagai potensi yang sangat diperlukan oleh masyarakat mutakhir ini”, bisik hati penulis sambil melihat anak-anak usrah Ihsan, Syaukani, Azan, Yusran, Hayyi dan Hashrul yang hadir pada malam itu.

Mobilasi : Ke Arah Kesempurnaan Tugas Khalifah

“Ustaz, menurut kajian, kalau kita makan makanan berminyak atau berlemak, elok minum air yang panas sebab air sejuk tidak dapat memecahkan lemak”, tegur Hakim ketika penulis sedang asyik menikmati nasi goreng daging merah serta necafe ‘O’ ais bersama Fikri dan Faiz ketika kami singgah di satu kedai makan untuk menikmati makan malam. “Indahnya ukhwah bersama dengan sahabat-sahabat dari pelbagai fakulti”, bisik hati penulis. Hakim dari Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Ekonomi. Firman Allah dari Surah al-Baqarah, ayat 30:

“Ingatlah ketika TuhanMu berkata kepada malaikat, “Sesungguhnya aku ingin jadikan seseorang (manusia) sebagai khalifah di atas muka bumi….”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa salah satu amanah manusia di atas muka bumi adalah sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Imam Mawardi dalam kitabnya yang mahsyur, Ahkam Sultaniyyah menjelaskan bahawa, tugas khalifah Allah s.w.t. di atas muka bumi ialah :

“Tegakkan agama, dan mentadbir dunia dengan agama”

Penulis bersyukur kerana dianugerahkan Allah s.w.t. dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang cintakan Islam dari pelbagai posisi. Ada yang dari Fakulti Undang-undang, Fakulti Kejuruteaan, Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan sebagainya. Semuanya adalah mereka yang begitu komited dengan Islam dan bersedia menjadi para pejuang agama Allah s.w.t. Potensi-potensi pelbagai yang disusun mengikut posisi tertentu akan memastikan dunia ini dapat ditadbir dengan agama Allah s.w.t. asalkan pejuang-pejuang tadi dimobilasi dengan sebaiknya.

Konklusi

Menjadi tanggungjawab kepimpinan, murabbi, nuqaba’ dan sebagainya meletakkan tugas mobilasi ini sebagai satu tugas yang serius. Peringatan ini ditujukan pertama sekali kepada diri yang dhaif ini. Anak-anak usrah baru dari pelbagai fakulti juga perlu penulis mobilasi sebaiknya kerana mereka semua adalah aset penting yang bertanggungjawab mengetengahkan Islam sebagai cara hidup kepada masyarakat. Semoga Allah s.w.t. memberikan kekuatan untuk kita sama-sama memastikan lahirnya muharrikin yang hebat dunia, hebat akhirat. Wallahu a’lam...

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP