Wednesday, July 9, 2008

PENONTON BOLA SEPAK VS PENGURUS BOLA SEPAK

“Apalah Ronaldo ni, sepak la bola tu ke kiri gol!” “Kepala dia botak sangat, licin. Sebab tu tanduk bola naik ke atas.””Bo**h betul Ballack tu, main macam budak kampung!””Nistelrooy tu patut masukkan 4 gol. Peluangnya banyak dipersiakan.”

Demikianlah dialog-dialog biasa penonton bola sepak musim Euro 2008 kali ini. Maka ramailah yang “berqiamullail” di kedai-kedai nasi kandar dan sebagainya, bersengkang mata menonton perlawanan-perlawan an pasukan pujaan masing-masing. Kekadang, penulis tersenyum sendirian melihat pelbagai gelagat yang berlaku. Ada yang menepuk meja makan hingga tertumpah teh tarik yang ditempah. Sehingga terkejut dan takut pula pelayan yang hendak mengambil tempahan. Ramailah pada ketika itu “pemain-pemain handalan” yang bukan berada di bangku simpanan, tetapi bangku penonton. Penulis bukannya anti bola sepak atau “mengharamkan” menonton perlawanan bola sepak di stadium atau melalui televisyen tetapi sekadar berkongsi pandangan berkaitan situasi yang berlaku.

“Nasir, Loqman, anta dua orang ni pernah tonton bola di stadium?””Tak pernah”, jawab mereka berdua ringkas kepada penulis. Demam Euro 2008 mengingatkan penulis dialog dan peristiwa ini setahun lalu ketika penulis keluar makan bersama dua orang adik junior sekolah lama dahulu selepas berusrah. Kebetulan malam itu kami makan di restoran berhampiran Stadium Darulaman dan kebetulan juga pada malam tersebut, pasukan Hijau Kuning terlibat dalam perlawanan. Oleh kerana selepas kami menjamu selera pada malam itu, perlawanan berbaki lima hingga sepuluh minit, maka pintu stadium telah dibuka untuk memberi ruang kepada penonton-penonton yang mahu pulang awal. Justeru, penulis mengambil peluang mengajak kedua-dua mereka mendapat pengalaman baru untuk melihat suasana stadium “secara percuma”ketika perlawanan bola sepak berlangsung. Penulis memohon keampunan daripada Allah, moga-moga ajakan penulis pada malam itu tidak termasuk yang disebut oleh Rasulullah sebagai “man sanna sunnatan sayyiatan….”

Setelah beberapa minit menonton perlawanan tersebut, pengadil meniupkan wisel menandakan masa perlawanan telah tamat. Kami segera keluar untuk mengelakkan kesesakan lalulintas yang terpaksa dihadapi andai kami terlewat nanti. Dalam perjalanan ke kenderaan, kami ketawa mengenangkan suasana penonton bola sepak pada malam itu yang seolah-olah lebih hebat dari Nelson San Martin, Marlon Alex James, Hasmawi Hassan dan sebagainya sehingga kekadang kami pun hampir terpengaruh dengan mereka, mengkritik, marah dan sebagainya. Begitulah lumrah penonton bola sepak tidak kira di stadium atau di hadapan televisyen.




Mengkritik

Tidak dinafikan, mengkritik adalah suatu keperluan sebagai “check and balance”. Tetapi perbandingan yang dimaksudkan penulis di sini adalah situasi mengkritik bagi mereka yang berjiwa pengurus bola sepak dan pengkritik yang berjiwa penonton bola sepak. Dialog-dialog di awal penulisan ini melihatkan bagaimana situasi pengkritik yang berjiwa penonton bola sepak. Berbeza dengan pengurus bola sepak, membuat kajian, bertanya, melihat kepada situasi dan berhati-hati dalam dalam mengkritik pemainnya. Pengurus bola sepak tidak akan mengkritik secara membuta tuli kerana mungkin kritikan sedemikian akan melemahkan lagi semangat juang anak buahnya. Mungkin persembahan hambar pemainnya kerana kecederaan, letih dan sebagainya. Mengkritik dengan mengambil kira peluang pemain untuk memberi penjelasan dan mengkritik untuk memajukan pasukan.

Begitulah dalam berorganisasi. Sama ada kritikan pemimpin sesama pemimpin, kritikan ahli kepada pemimpin atau kritikan pemimpin kepada ahli. Kritikan perlu melihat kepada situasi dan kondisi. Kritikan mengikut adab-adab yang diajar oleh Islam. Sebagai contohnya, kritikan untuk menambah baik gerak kerja, bukannya merendah-rendahkan ideal orang lain dan menjatuhkan maruahnya. Walaupun para sahabat dan ulama’ silam berbeza pandangan, mereka tidak mengkritik pandangan orang lain dengan sewenag-wenangnya. Sebagaimana kata-kata Abu Hanifah An-Nu’man :


“ Pendapat aku betul, pendapat kamu mungkin salah. Pendapat kamu betul, mungkin pendapat aku salah”.


Andai kata akhlak sebegini diamalkan sesama kita pada hari ini dengan mengenepikan keegoan diri, dendam peribadi dan mengkritik dengan rasional, Insyaallah gerak kerja sesebuah organisasi akan lebih lancar dan berkesa. Satu hari, Saidina Ali didatangi oleh seorang lelaki yang terus mengkritiknya, “mengapa zaman kepimpinan kamu lebih banyak masalah yang berlaku berbanding zaman kepimpinan sebelum kamu?”. Jawapan mudah Saidina Ali, “sebab ramainya orang seperti kamu”. Berapa ramai manusia hanya hebat mengkritik, tetapi tidak boleh membantu dalam memajukan organisasi dan membantu gerak kerjanya.


Idealistik dan realistik.


Mungkin kekadang pandangan seorang penonton bola sepak nampak seperti sesuatu yang idealistik tetapi kurang realistik. Benar, mungkin sekiranya pemain itu menanduk ke kiri, bola akan masuk ke gawang gol tetapi situasi pada ketika itu mungkin juga tidak mengizinkan. Contohnya, pemain hampir jatuh ke kanan atau pemain tersebut ditolak oleh pemain pasukan lawan, maka keadaan dan kemampuan tidak mengizinkan. Maka, situasi, kondisi dan kemampuan perlu diambil kira sebelum sesuatu ideal itu diketengahkan. Bagi pengurus bola sepak yang baik, pandangan-pandangan yang idealistik serta modus opurandi yang realistik akan diketengahkan sekiranya perlu bagi memajukan pasukannya.

Begitulah dalam berorganisasi. Sekiranya terlalu banyak pandangan-pandangan yang terlalu idealistik tidak digabungkan dengan realistik, maka orang lain akan menjauhi kita dan lama kelamaan, pandangan-pandangan kita akan dibakul sampahkan dengan mudah walaupun ianya baik. Dengan erti kata lain, formula di bawah mungkin boleh diguna pakai :


IDEALISTIK + REALISTIK = BOMBASTIK

IDEALISTIK – REALISTIK = RETORIK


Proaktif.


Penulis begitu tertarik mendengar huraian Ustaz Hasrizal Jamil di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi beberapa minggu yang lalu berkaitan sikap “proaktif” dengan erti kata lain seperti yang dibawakan oleh Stephen R. Corvey, “mampu tekan butang pause sebelum bertindak”. Dalam situasi penonton bola sepak, marah menjadi jalan mudahnya apabila perlawanan bola sepak tidak sebaik yang diinginkan. Tersenyum kita dibuatnya apabila kekadang bukan sahaja pemain yang dimarahnya, bahkan pengadil juga menjadi mangsa. Paling menyedihkan, pengutip bola juga menjadi mangsa maki hamunnya. Berbanding seorang pengurus bola sepak, sebelum sesuatu kenyataan hendak dikeluarkan kepada pemainnya, beliau akan berfikir dengan rasional kerana mungkin sesuatu kata-kata itu boleh menurunkan motivasi pemain-pemainnya. Sesuatu masalah itu akan di”brainstorming” kan terlebih dahulu dengan jurulatih dan pemain-pemain untuk menyelesaikannya.


Begitulah dalam berorganisasi, sikap marah dan terburu-buru lebih menjadi alternatif berbanding proaktif. Sikap bertindak sebelum berfikir dengan baik akan membawa keputusan yang kurang baik. Konsep syura yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat terbukti membawa kesan yang terbaik. Walaupun berbeza pandangan, sesuatu perkara dan masalah di”brainstorming” kan sehingga mendapat keputusan terbaik. Bahkan mereka menghormati keputusan yang dibuat dan bersungguh-sungguh melaksanakannya walau berbeza pandangan peribadi. Masalah yang berlaku adalah sikap terburu-buru dan marah kerana dendam peribadi yang menjadi pilihan dikalangan kita. Akhirnya, sesuatu mesyuarat dan masalah tidak di”brainstorming” kan dengan baik tetapi di”blaimstorming” kan , tanpa mengikut adab-adab dan memikirkan kesan tindakan yang diambil.


Jiwa Da’ie vs jiwa Qadhi.


Kita adalah pendakwah, bukan penghukum.”


Demikianlah kata-kata yang pernah disebut oleh Hassan Hudhaibi, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin kedua selepas Hassan Al-Banna. Kata-kata seperti “bo**h”, “main macam budak kampung" dan sebagainya tidak harus dijadikan hukuman kepada orang lain, akan tetapi jiwa pendakwah perlu wujud dalam diri kita masing-masing. Qadhi di sini bukan bermaksud Qadhi-qadhi yang dilantik di setiap daerah atau hakim-hakim yang mengikut lunas-lunas Islam tetapi merujuk kepada sikap yang suka menghukum orang lain tanpa usul bicara dan mengikut hawa nafsu.


Inilah antara sikap yang mengeruhkan ukhwah dan melemahkan organisasi apabila kita dengan mudah menghukum seseorang itu lemah, tidak baik, tidak wala’ dan pelbagai gelaran-gelaran yang tidak sedap didengar terutamanya pada telinga tertuduh. “Si fulan tu tidak faham Fiqh Al-Aulawiyat ke?” soal dan gelar kita dengan sinis. “Si fulan tu lemah dalam memimpin. Benda mudah macam ni pun tak boleh fikir”, hukum kita dengan mudah. Kita lebih berminat menghukum orang lain tanpa cuba merasai perasaan dan keaadaan orang lain ketika itu seolah kitalah yang hebat, kitalah hebat dalam management dan kitalah yang lebih faham. Fiqh Al-Aulawiyat dan Fiqh Al-Muwazzanat pula diputuskan dengan mudah serta mengikut hawa nafsu. Sedangkan jiwa-jiwa sedemikian menjadi barah dalam berukhwah dan berorganisasi.


Lihat sahaja jiwa da’ie yang ada pada Rasulullah. Ada ketika baginda menyatakan jihad adalah sebaik-baik amalan. Dalam situasi yang lain pula, ketika seorang sahabat datang bertemu baginda untuk menyatakan kesediaan beliau untuk pergi berjihad tetapi baginda menyuruhnya pulang menjaga ibunya. Adakah Rasulullah tidak faham Fiqh Al-aulawiyyat dan Fiqh Al-Muwazzanat? Jawapapannya sudah pasti tidak kerana baginda tidak mudah menghukum dengan akal yang pendek seperti kita begitu mudah menghukum Fiqh Al-Aulawiyyat dan Fiqh Al-Muwazzanat.

“Hikmah” dalam berdakwah adalah sesuatu yang subjektif. Penulis tertarik dengan penafsiran As-Syahid Syed Qutub dalam tafsirnya yang terkenal iaitu Tafsir Fi Zilal Al-Quran berdasarkan ayat :


Maksudnya :

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yng baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang egkau serukan itu) engan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.(An- Nahl : 125)


Menurut Syed Qutub, hikmah ialah dengan melihat kepada keadaan sasaran dan suasana mereka, kadar yang perlu supaya tidak memberatkan mereka dan tidak menyusahkan mereka sebelum mereka bersedia. Ia juga termasuk cara penjelasan dan kepelbagaian mengikut keperluan dan jangan sekali-kali berdasarkan semangat yang boleh terkeluar daripada hikmah.


Kekadang, apabila kita terlalu melayan persepsi diri sendiri semata-mata, kita telah menjadi punca perpecahan secara tidak sedar dan merebakkan virus-virus ukhwah yang akan merosakkan organisasi atau persatuan secara tidak sengaja.


Konklusi.


Penulis menyeru kepada diri sendiri yang dhaif ini serta sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita hayati cetusan pandangan ini. Moga-moga kita sama-sama mampu memperbaiki dan mengubah diri kita menjadi insan yang berjiwa pengurus bola sepak yang baik daripada menjadi insan yang sekadar berjiwa penonton bola sepak. Salah satu sikap pengurus yang baik ialah sentiasa bersama dengan pemain-pemainnya walaupun permainan mereka belum sampai tahap memuaskan kerana tugasnya ialah memajukan pasukan tidak seperti penonton bola sepak yang menyokong ketika pasukan pilihannya menang dan mencemuh dan membenci semata-mata ketika pasukan tersebut kalah. Sekali lagi ditegaskan di sini, cetusan ini hanya sekadar analogi mudah, bukan merendah-rendahkan penonton dan peminat bola sepak atau anti kepada sukan bola sepak.


Wallahua’lam, wassalam.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP