MEREJUVENASI SISTEM USRAH (SIRI 1)
Fleksibelkan pendekatan usrah
"Saya rasakan saya sudah tidak relevan untuk berkongsi pendekatan usrah saya dengan anda. Mungkin sudah tidak sesuai untuk saya memberi pengisian kepada nuqaba' di Darul Quran". Saya pernah memberi pandangan sedemikian kepada sekumpulan adik-adik saya yang masih belajar di Darul Quran dan tinggi keazaman mereka untuk menjadi naqib terbaik. Ya, pendekatan saya dulu mungkin sudah tidak relevan kerana zaman mereka berbeza. Arus peredaran dunai hari ini terlalu melaju. Banyak eksperimen-eksperimen baru yang perlu dibuat untuk menambah baik metodoogi usrah. Dengan erti kata lain, naqib tidak boleh malas dengan hanya menghidupkan budaya "copy and paste".
"Ustaz, kita akan terus buat pendekatan usrah sebeginikah masa depan?" tanya salah seorang ahli usrah saya. "Tidak, kita mesti pelbagaikan," jawab saya secara spontan. Lalu dia mencadangkan, "mungkin kita boleh kumpulkan ahli keluarga masing-masing dan kita buat family day di mana-mana pusat peranginan". Saya lantas bersetuju walaupun saya belum berkeluarga. Kumpulan usrah saya kali ini agak unik. kesemua mereka boleh dikatakan berumur 35-42 tahun dan sudah berkeluarga. Mana mungkin saya boleh menggunakan lagi pendekatan usrah seperti saya adaptasikan bersama adik-adik saya di SMKAK, Darul Quran dan UKM. Saya akan terus membuat eksperimen demi eksperimen agar pendekatan usrah tidak mati ditelan zaman.
Marhalah usrah itu bagaimana?
Pengisian dan pendekataan usrah perlu mengikut marhalah. Ada yang berpandangan marhalah usrah itu mestilah ta'rif, takwin dan tanfiz. Namun pada pandangan saya 3 marhalah tersebut bukanlah sesuatu yang qat'ie. Saya pernah berbincang soal marhalah tarbiyyah KAMMI, Indonesia dengan saudara Rijalul Imam, Ketua Umum KAMMI yang baru. Apa yang saya dapati beliau menjelaskan beberapa marhalah mereka yang bukannya tiga seperti di atas. Saya membuat kesimpulan, asas konsep marhalah dalam tarbiyyah ini mestilah tadarruj (berperingkat-peringkat). Mungkin 4, 5 atau berapa pun asalkan konsepnya ialah tadarruj. Maka perlaksanaan usrah mestilah tadarruj.
Persoalannya, bagaimana marhalah itu hendak ditetapkan? Mengikut masa? Mengikut umur? Saya berpandangan, marhalah tersebut mengikut situasi dan kondisi ahli usrah. Saya tertarik dengan penghuraian konsep "al-Hikmah" yang dibawakan oleh as-Syahid Sayyid Qutub dalam tafsir Fi Zilalil Quran dalam membicarakan firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nahl ayat 125. Beliau membawa hikmah itu mengikut tahap pemikiran dan kefahaman serta situasi sasaran. Maka, nuqaba' perlu bijak membaca tahap kefahaman dan pemikiran ahli usrahnya agar pengisian dan pendekatannya sesuai.
Pendekatan dan pengisian bagi ahli yang baru marhalah pertama sudah pasti berbeza dengan marhalah keempat misalnya. Ini mungkin menyebabkan ahli usrah saya tidak senang apabila pendekatan saya dengan mereka berbeza dengan ketika mana mereka di marhalah pertama dahulu. Saya tidak takut dibenci mereka kerana pandangan saya, saya tidak boleh terus "memberi" sesuatu kepada mereka sebagaimana di awal usrah dahulu. Saya lebih cenderung untuk membuat provokasi agar mereka "mencari" pada marhalah sekarang. Saya berpandangan, dengan itu mereka akan mampu menjadi insan yang jauh lebih baik dari saya. Walaupun saya "mahu" mereka tidak membenci saya, tetapi saya perlu uatamakan apa yang "perlu" untuk mereka.
Pengisian usrah perlu ditiupkan "ruh" agar hidup dengan suasana
Ada pelbagai pandangan sama ada manhaj atau teks usrah perlu dibakar, ditukar, di"edit" atau dikekalkan? Bagi saya, ini juga memerlukan kebijaksanaan naqib. Adalah tidak wajar jika naqib hanya sekadar membacakan teks usrah yang mungkin sudah digunakan 10 tahun dahulu semata-mata. Bagi saya, intipatinya tidak bermasalah, cuma penyampaian dan penghuraiannya mungkin perlu berubah agar ada ruh dalam perbincangannya. Isi perbincangan tidaklah terawang-awang dan bernostalgia semata-mata. Ruh yang bersifat semasa perlu ditiupkan agar ilmu tersebut tampak subur dan relevan.
Misalnya, tidak ada masalah untuk membincangkan topik "muqaddimah aqidah muslim" pada hari ini. Cuma penghuraiannya bagaimana? Mungkin boleh diselitkan soal pertentangan ideologi-ideologi pelbagai yang semakin membarah pada hari ini termasuklah perubahan-perubahan yang berlaku di dalamnya. Misalnya neo darwinisme itu bagaimana? Bagaimana pula neo sosialisme? Perancangan musuh-musuh terbaru dalam merosakkan aqidah juga perlu dikitengahkan.
Jika nuqaba' dan ahli usrah dari Fakulti Sains apa salahnya kaitkan tajuk perbincangan dengan kajian sains hari ini. Saya seronok bersahabat dengan sahabat-sahabat perlbagai bidang kerana pengetahuan saya semakin bercambah dengan bantuan dan pengetahuan yang mereka kongsikan kepada saya. Dengan merujuk teks usrah serta pembentangan kajian terbaru saya rasakan golongan ini sangat beruntung kerana ilmu yang mereka perolehi tidak sekadar bersifat hafalan dan terawang-awang. Namun ianya semakin terpasak dan subur dalam sanubari.
Begitu juga dengan sirah. Kita yakin sirah itu bukan sekadar teks yang dibaca hanya sekadar untuk mengisi telinga atau menjadi "cerita sebelum tidur" namun ianya ditinggalkan dengan pengajaran yang sangat berguna. Maka sewajarnya ianya dipersembahkan agar pengajarannya dapat diambil dan diimplimentasikan. Apabila berbicara soal jihad dalam perang Khandak, apakah kita hanya menanti Amerika atau Yahudi menyerang Malaysia barulah ruh Khandak itu baru hendak dijelmakan? Sedangkan pengajaran Khandak itu cukup luas dan bermakna serta tidak hanya sekadar menjadi sejarah.
Konklusi
Saya tinggalkan dahulu beberapa pandangan ini. InsyaAllah akan kita sambung kemudian agar usrah itu nampak bermaya dan sentiasa relevan untuk diadaptasikan dalam masyarakat.
0 comments:
Post a Comment